Cinta, kasih dan rindu Rasulullah

Mesej yang diforward bertalu-talu masuk ke kotak YM saya sejak seminggu ini, mengajak mengingati hari kelahiran Rasulullah SAW. Sehinggakan saya rasa ada pekara yang luar biasa akan berlaku. Maulidur Rasul pada tahun ini agak mempunyai nilai tersendiri kerana hanya berselisih sehari dengan Valentine’s Day, hari yang mana pasangan kekasih mengingati dan menghadiahkan sesuatu kepada pasangannya.

Bagi kita orang Islam, cinta yang tertinggi adalah cinta Allah dan Rasul. Tiada yang lebih agung daripadanya. Cinta yang akan membawa kita tenang di dunia dan di alam sana. Jauh lebih mulia daripada cinta manusia yang kita sayangi. Ibu, ayah, suami, isteri, pakwe, makwe, balak, awek dan sebagainya, semuanya tidak bermakna tanpa cinta Allah dan Rasul.

Sejak 3 tahun yang lalu, saya melazimi pengajian Riyadhus Solihin di Jamik Ammar bin Yasir di Kafarsuseh. Walaupun telah hampir 3 tahun pengajian khususi ini, saya baru menghabiskan separuh kitab. Walhal ada sahabat saya yang mampu menghabiskan bacaan kitab ini dalam masa sebulan Ramadhan sahaja. Kitab ini adalah karangan Imam an-Nawawi yang menghimpunkan hadis-hadis untuk memberi pengajaran kepada kita tentang tatacara hidup muslim yang sebenar.

Antara perkara yang membuatkan saya masih bertahan mengikuti pengajian ini ialah cara sheikh mengupas hadis, lebih-lebih lagi apabila menyentuh peribadi Rasulullah. Dari riak wajahnya, amat jelas rindunya kepada baginda. Airmatanya kelihatan hampir berlinangan walaupun bercerita mengenai Rasulullah kurang 3 minit. Seringkali saya bertanya bagaimanakah saya boleh mempunyai perasaan yang sebegitu? Cinta dan rindu kepada seseorang yang kita tidak kenal rupanya dan tidak pernah jumpa. Malah menjadikannya sebagai cinta agung. Sudah banyak kali saya melihat para masyayikh Syam teruja apabila menceritakan peribadi Rasulullah di kala saya hanya mempunyai perasaan biasa. Iri hati saya dibuatnya.

Mungkin maksiat yang saya lakukan menyebabkan cinta tulus itu sukar hadir di dalam diri saya. Kesalahan yang dibuat setiap hari tanpa taubat boleh menghalang rindu itu bertandang dihati. Sudah pasti rindu itu hasil dari perasaan cinta dan kasih yang tidak terhingga kepada baginda, sehingga rindu itu membuatkan kita merasai nikmat yang tiada tolok bandingnya. Dan sudah pasti juga nikmat itu tidak akan diperolehi oleh orang yang selalu berbuat kesalahan.. Oh Allah, bantulah hamba-Mu ini.

Agar cinta itu hadir dalam diri ini.

Agar kasih itu menyerap dalam denyut nadi ini.

Agar dapat menikmati kelazatan cinta dan kasih dalam setiap butiran tasbih tatkala berselawat ke atas baginda.

Agar baginda mengaku diri ini sebagai umatnya.

Agar diri ini berada di bawah panjinya di akhirat sana.

Agar diri ini mendapat syafaatnya.

Agar diri ini bisa meraih cinta-Mu Ya Allah.

 

Saya melihat ada beberapa amalan yang sering dibuat oleh syeikh saya yang pada pandangan saya boleh melahirkan perasaan tersebut pada diri mereka. Antaranya ialah melazimi pengajian hadis dan sentiasa menjalankan usaha dakwah walau apapun pekerjaan “rasmi”nya.

Syeikh saya adalah tukang buat perabot. Namun dia tetap aktif berdakwah, belajar dan mengajar. Pengajian Sheikh As’ad sentiasa diikuti. Pada waktu Dhuha akan mengajar kami. Siang bekerja “rasmi”. Selepas maghrib mengikuti pengajian lain. Selepas isyak mengajar lagi. Di waktu lain, ada sahaja program-program untuk orang muda dan kanak-kanak di masjid dia akan terlibat sama.

Pengajian hadis membuatkan kita sentiasa membaca dan merenung hadis Rasulullah SAW. Dari situ kita cuba untuk mengikutinya dan mengamalkannya. Kerja-kerja dakwah pula membuatkan kita sentiasa mencari-cari contoh Rasulullah apabila berdakwah. Juga menguatkan kita apabila dirintangi dengan cabaran dan tribulasi di lapangan dakwah. Kita dapat merasakan apa yang Rasulullah rasa. Ini membuatkan kita dekat dengan baginda.

Memang rasa cinta, kasih dan rindu itu tidak mudah untuk hadir. Kita perlu berkorban. Kalau orang yang menyambut Valentine sanggup menghabiskan duit untuk memberi hadiah kepada kekasihnya, apatah lagi kita !!

Hadis untuk renungan

روي أن رسول صلى الله عليه وسلم خرج إلى المقبرة فقال السلام عليكم دار قوم مؤمنين وانا ان شاء الله بكم لاحقون وددت انى قد رأيت اخوانا قالوا يا رسول الله السنا اخوانك قال بل أنتم أصحابي واخواننا الذين لم يأتوا بعد وانا فرطهم على الحوض قالوا يا رسول الله كيف تعرف من ياتي بعدك من أمتك قال أرأيت لو كان لرجل خيل غر محجلة في خيل دهم بهم الا يعرف خيله قالوا بلى يا رسول الله قال فإنهم يأتون يوم القيامة غرا محجلين من الوضوء وانا فرطهم على الحوض فليذادن رجال عن حوضى كما يذاد البعير الضال أناديهم الا هلم الا هلم فيقال انهم بدلوا بعدك فأقول فسحقا فسحقا فسحقا

Leave a comment