Syria : Tarsyidus Sohwah

Tarsyidus Sohwah ( Memimpin Perubahan)

Seminggu kebelakangan ini, Syria diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Walaupun keadaan secara zahirnya adalah tenang, tetapi desas-desus untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran selalu sampai kepada kami di sini. Negeri yang telah ‘panas’ di Syria ini adalah Dar’aa, sebuah negeri di selatan Syria yang berhampiran dengan Jordan.

2 hari lepas, telah berlaku demonstrasi secara menyeluruh di Syria. Hampir setiap negeri ada dilakukan demonstrasi termasuklah di Damsyik walaupun tidaklah terlalu besar. Sebagaimana yang dilaporkan, protes yang dilakukan buat masa ini bukanlah untuk menggulingkan kerajaan, tetapi menuntut kerajaan untuk membuat perubahan dan reformasi dalam politik negara dan perundangan. Mereka menuntut lebih kebebasan dan penghapusan Emergency Law (Undang-undang Darurat) yang membolehkan seseorang itu ditahan tanpa bicara. Kalau di Malaysia tu, kita panggil ISA lah.

Telah banyak analisis yang telah dibuat oleh penganalisis-penganalisis politik di seluruh dunia dan tidak mungkin untuk dimuatkan dalam satu artikel. Bagi saya sendiri, agak sukar mengulas politik Syria kerana kami memang dipesan sejak melangkah kaki ke bumi Syria untuk kurangkan perbincangan mengenai politik dalaman, SB berada di mana-mana. Saya hanya mendapat banyak maklumat politik Syria ketika memegang jawatan dalam PPMS kerana PPMS bernaung di bawah Parti Baath, parti pemerintah Syria.

Secara kasarnya, selepas berlaku penggulingan kuasa oleh Hafiz al-Asad, bapa kepada Presiden Syria sekarang, Syria diperintah secara diktator. Hafiz dahulunya ialah ketua tentera Syria. Pemerintahan diktatornya memberi trauma kepada rakyat khususnya apabila mengenang peristiwa pengeboman perkampungan Ikhwan Muslimun di Hama pada 1982. Setelah meninggal, kerusi Presiden Syria diambil alih oleh anak Hafiz, Basshar. Basshar merupakan seorang doktor perubatan. Imejnya agak bersih pada pandangan rakyat. Sejak mengambil alih pemerintahan pada tahun 2000, agak banyak perubahan yang dibuat olehnya khususnya dalam mengubah sosio-ekonomi rakyat. Dasar ekonomi tertutup yang diamalkan sebelum ini diubah kepada dasar terbuka. Ini menyebabkan banyak pelabur-pelabur masuk ke Syria. Beliau amat menyukai Dr.Mahathir sehingga melantiknya sebagai penasihat ekonomi Syria. Malah, hanya dengan 1 lawatan Dr.Mahathir, pelajar Malaysia diberi kouta untuk belajar di Universiti Damascus secara percuma. Basshar sememangnya popular di kalangan rakyatnya.

Namun, ramai yang tidak tahu bahawa pentadbiran Syria dikawal oleh satu kumpulan minoriti daripada Syiah ‘Alawi. Mereka inilah yang berada di sekeliling Basshar. Ibarat “company” dalam kisah Prison Break, mereka mengawal Syria dan menjadikan Presiden hanya sebagai alat. Kumpulan ini dahulunya adalah golongan yang tertindas, akan tetapi apabila telah berkuasa mereka amat menjaga kedudukan tersebut. Ini menyebabkan dalam sesetengah keadaaan, Presiden telah bersetuju dengan sesuatu perkara tetapi ‘tersangkut’ dengan kumpulan ini. Hasilnya, rakyat merasakan hidup mereka tidak bebas kerana sering diganggu oleh SB yang mengawal mereka daripada sebarang aktiviti menentang dan melawan mereka. Alasan yang diberikan ialah “Perkara ini tidak boleh disebabkan berkaitan dengan masalah keselatamatan…bla…bla..bla”. Orang yang belajar agamalah yang sering menjadi mangsa, sama ada di jamik-jamik mahupun di institusi pengajian rasmi.

6 bulan yang lalu, tidak terlintas di benak seorang pun di Syria ini bahawa akan ada sebarang tunjuk perasaan menentang kerajaan. Tetapi hari ini, orang yang tinggal di Damsyik pun sudah berani membicarakan mengenai politik dalaman di tempat-tempat awam.

PERKONGSIAN BERMAKNA

Baru-baru ini, saya sempat mengikuti rombongan Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), UKM mengunjungi Dr.Tawfiq Ramadhan di rumahnya. Beliau adalah anak kepada ulama’ besar Sheikh Muhammad Said Ramadhan  al-Buti, pengarang kitab Fiqh Sirah.

Dalam pertemuan itu, Dr.Taufik banyak juga menjelaskan suasana politik di Syria, sesuatu yang jarang dilakukan sebelum-sebelum ini. Beliau menceritakan bahawa ulama-ulama Syam telah berjumpa dengan Presiden Basshar untuk menyatakan pendirian mereka dalam hal-hal semasa. Kesemua mereka menyatakan bahawa tidak akan mengadakan usaha revolusi & penggulingan terhadap kerajaan. Namun, dalam pertemuan itu mereka banyak menegur tindakan-tindakan kerajaan termasuk menteri-menteri dalam kabinet Basshar yang tidak suka kepada perkembangan Islam. Teguran dibuat secara terus dan tidak bertapis.

Suasana yang tidak stabil sekarang katanya cuba digerakkan oleh seorang pemimpin pembangkang (saya tak ingat namanya) yang ingin mengambil kesempatan dengan suasana tidak stabil di Asia Barat. Dr.Taufik menyatakan, walaupun dia tidak bersetuju dengan Presiden, ia tidak bermakna dia akan melakukan onar dalam Syria dan menggantikan dengan orang yang lebih teruk daripada Basshar.

Perkara utama yang diulas panjang pada pertemuan itu adalah Tarsyidus Sohwah (Memimpin Kebangkitan). Katanya, perubahan yang berlaku sekarang ini memerlukan kepada kajian dan tindakan yang berhati-hati. Sambil memberikan contoh Algeria, Afghanistan dan beberapa contoh lain, sangat penting bagi umat Islam supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama. Kerajaan zalim ditumbangkan tetapi digantikan dengan kerajaan yang zalim juga. Dia memuji kebangkitan rakyat Turki yang dikira berada di landasan kejayaan kerana perubahan berlaku dalam keadaan smooth setelah banyak belajar daripada pengalaman kebangkitan-kebangkitan sebelumnya. Kebangkitan mereka terpimpin dan tindakan mereka tepat mengikut keadaan dan keperluan.

Ulasan ini membuatkan saya teringat kepada pesanan Ayah Chik supaya kita tidak isti’jal dalam mencapai kemenangan. Katanya “Biarlah lambat sedikit kemenangan tu, asalkan ianya masak & matang.” Kemenangan yang tidak masak menyebabkan kedudukan kita tidak kukuh dan goyah menyebabkan musuh mudah mengalahkan kita. Contoh mudah yang dapat dilihat ialah sejarah kemerdekaan negara-negara orang Islam. Kebanyakan perjuangan kemerdekaan diperjuangkan oleh kumpulan-kumpulan Islam tetapi setelah kemerdekaan, ia diambil alih oleh golongan lain. Inilah yang berlaku di Malaysia, Indonesia, Algeria, Syria dan Afghanistan. Begitu juga, setelah kemerdekaan ada golongan Islam yang menentang kezaliman tetapi setelah jatuh sebuah kezaliman, ia digantikan dengan kezaliman yang lain. Itulah yang berlaku di Indonesia selepas Sukarno dan di Mesir pasca Anwar Sadat.

BEKALAN SEPANJANG JALAN

Sebagai orang yang ingin memperjuangkan Islam, sangat penting bagi kita untuk menghayati ayat 88 & 89 surah Yunus. Ayat ini menerangkan kepada kita doa permohonan yang dikemukakan oleh nabi Musa a.s dan nabi Harun a.s kepada Allah yang kemudiannya diperkenankan oleh Allah dengan 2 syarat iaitu istiqamah dan tidak mengikuti jalan-jalan orang yang tidak mengetahui. Katan Ayah Chik, maksud “orang yang tidak tahu” ialah orang yang hendak menang cepat ataupun orang yang berputus asa yang merasakan Islam tidak akan menang. Istiqamah pula ialah tetap teguh di atas jalan perjuangan dan melalui cara-cara berjuang yang betul.

Apapun yang berlaku di Syria pada masa mendatang, saya mengharapkan ia menatijahkan kebaikan untuk masa depan Islam di sini. Menentang kezaliman itu satu kewajipan, tetapi untuk memilih cara yang sesuai, kita serahkan kepada ahlinya di sini. Apabila ahlinya telah memilih, wajar bagi kita semua untuk mendokong dan menyokong. Kerana apa? Kerana kebangkitan itu dipimpin oleh ahlinya.

By budokfelda Posted in Fikrah

8 comments on “Syria : Tarsyidus Sohwah

    • Buat masa ni, dinasihatkan untuk menagguhkan hasrat ke Syria kerana keadaan tidak stabil. Tapi kalau selepas 2-3 bulan, insyaAllah ana akanterangkan. Mintaingatkan ana

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s