Maqosid Syariah
Alhamdulillah, petang semalam baru menghabiskan imtihan subjek Maqosid Syariah ‘Ammah. Saya masih menahan mata daripada tidur malam ini kerana ingin menunggu waktu Subuh yang masuk jam 3.38 pagi. Jarang saya berjaga malam kecuali ketika terlewat tidur.
Walaupun badan dan otak letih diasak oleh soalan imtihan, rasanya wajar diucapkan rasa syukur kerana ditarbiah dengan subjek yang sesusah ini pada tahun ni. Rasa nikmat mengahafal dan memahami pengajian yang diajar selama sesesi ini.
Disiplin ilmu Maqosid Syariah bukanlah baru bagi mereka yang berlatarbelakangkan pengajian agama. Namun begitu, bagi mereka yang mengikuti perkembangan ilmu maqosid, ia sebenarnya telah berkembang dengan pesat berbanding dekad-dekad yang lalu. Sekiranya dahulu ilmu maqosid hanyalah cabang kecil bagi ilmu Usul Fiqh yang akan ditemui dalam bab Maslahah, kini ianya telah menjadi satu disiplin ilmu yang tersendiri sebagaimana disiplin ilmu-ilmu lain.
Alhamdulillah, subjek ini telah dijadikan subjek wajib ditempat saya belajar bagi Syukbah Syariah Islamiah, Syukbah Dirasat dan Syukbah Usuludin (Tafsir). Dan ditambah lagi kesyukuran itu apabila Syeikh yang mengajar kami ialah pengarang kitab yang menjadi silibus subjek ini iaitu Dr Ihsan Miir Ali. Beliau merupakan seorang arkitek profesional. Namun, dengan kegigihan dan kesungguhan yang tinggi beliau telah mendalami ilmu agama dan telah menghasilkan tesis berkaitan dengan Maqosid Syariah Ammah. Tesis beliau itu telah dihasilkan dalam tempoh sepuluh tahun di bawah seliaan ulama terkemuka Dr. Wahbah az-Zuhaili. Akhirnya, tesis itu telah dipadatkan dan diringkaskan sedikit dan dijadikan buku. Buku itulah yang kami guna sebagai silibus.
Selari dengan perkembangan ilmu Maqosid, beliau telah melontarkan satu isu iaitu mencambahkan maqosid yang sedia ada kepada maqosid yang baru mengikut proses pengkajian dan istinbat yang telah dibuat oleh ulama’-ulama dahulu. Kita biasa mendengar Maqosid Syariah yang 5 iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga nasab dan menjaga harta. 5 perkara ini telah digariskan oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali di mana kebanyakan ulama menerimanya dan menghadkan maqosid Syariah kepadanya. Namun begitu, Dr.Ihsan telah memecahkan tembok itu dengan satu manhaj yang telah dikaji dan dibentangkan kepada kami di dalam kelas dengan menyatakan bahawa Maqosid Syariah tidak terhad kepada 5 perkara tersebut sahaja. Perbahasannya panjang.
Nama-nama ulama yang selalu diulang-ulang dalam ilmu Maqosid ialah al-Juwaini, al-Ghazali, al-‘Izz bin Abd Salam, al-Qarafi, Ibnu Sabki, as-Syaukani, Ibnu Taimiah, Ibnu Farhun, Ibnu Humam, as- Syatibi dan juga Ibnu ‘Asyur. Mereka adalah watak-watak penting dalam melakari ilmu Maqosid khususnya as-Syatibi.
Pengajian ilmu maqosid memerlukan asas Usul Fiqh yang kuat dan sedikit pengetahuan Qawaid Fiqh. Jika tidak, pengajian akan tersekat-sekat seolah-olah merangkak. Ilmu Usul Fiqh pula memerlukan asas Fiqh yang kuat, jika tidak pengajian tidak smooth kerana banyak contoh masalah dalam ilmu Usul Fiqh akan diambil dari masalah-masalah Fiqh. Ilmu Fiqh pula, memerlukan asas Bahasa Arab yang kuat. Begitulah tingkatan-tingkatan ilmu yang perlu dilalui sebelum kita memahami disiplin ilmu maqosid dengan baik.
Rasanya setakat ini dulu perkongsian mengenai ilmu Maqosid. Lain masa, insya Allah saya cuba kongsikan lagi berkaitan dengan ilmu ini. Benar kata ulama, semakin kita mendalami ilmu semakin kita rasa bahawa betapa jahilnya diri kita !!
Bait Sting-Gun,
Damsyik.
0215 hour – 28 Rejab 1432 – 29 Jun 2011
Peace Walk for Justice
INI BUKAN RUSUHAN, APATAH LAGI REVOLUSI
UNGGUN BERSIH
Semakin lara kita didera bara,
kita laungkan juga pesan merdeka,
Demokrasi sebenderang mentari,
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita—demokrasi luka,
lama duka kita—demokrasi lara,
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi,
suara bebas yang utuh, kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru,
(di Boston dijirus teh ke laut biru),
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.
Kini menyalalah unggun sakti itu,
kini merebaklah nyala unggun itu.
24—25, 6.2011 A. SAMAD SAID
Membuang Sesawang
Sudah lama tidak mencoretkan apa-apa di blog ni. Dah bersawang blog ni rasanya. Tuntutan imtihan memaksa saya untuk tidak menulis di blog mahupun meng“copy-paste” apa-apa artikel menarik yang boleh diambil dari perpustakaan maya. Terlalu banyak peristiwa yang berlaku di Syria sejak 2 bulan kebelakangan ini, namun sukar juga untuk menterjemahkannya dalam bentuk artikel yang mudah dibaca buat tatapan umum.
Apapun, saya mulakan usaha membuang sesawang di blog ini dengan mengucapkan jutaan tahniah kepada saff kepimpinan baru Pas Pusat dan semua sayap Pas bagi sesi 2011-2013. Kepimpinan baru ini kelihatan segar untuk menggalas tugas dimensi baru bagi Pas menjelang PRU 13 khususnya. Mereka kelihatan lebih bersedia dalam menyambung gelombang yang telah dicetuskan oleh kepimpinan sebelum ini.
Sememangnya pihak lawan akan memainkan isu lama ulama-profesional pasca Muktamar 57 ini. Bagi saya, isu itu akan memakan diri kerana semua orang dalam Pas tahu apa makna sebenar kepimpinan ulama.
Namun, satu pengajaran yang boleh diambil dari pemilihan Pas kali ini ialah perwakilan mahukan pemimpin yang mempunyai nilai kompetensi yang tinggi dalam melayarkan bahtera parti. Kalau dalam perbahasan agama, ia disebut dengan nilai Quwwah. Mereka mahukan pemimpin yang cergas, mampu memberi inspirasi, lasak dan segala nilai extrovert yang lain, tidak kira sama ada dari kalangan ulama mahupun profesional.
Harapannya perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas akan tetap terus subur dan bebas dari penyakit wahan. Siiru ‘ala barakatillah.



..:Recent Comments:..