“Versatile Ustaz to be”

Archive for July, 2011

Kenyataan Media Presiden PAS Selepas BERSIH 2.0

Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang ketika dalam trak Black Maria polis

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang datang dari seluruh negara menyertai himpunan Bersih ini. Alhamdulillah semua mengikut arahan pimpinan dengan tidak melakukan keganasan terhadap pihak polis dan sesiapa sahaja termasuk harta benda awam, walaupun sebahagian kita diganasi.

Ini kerana tujuan kita adalah untuk menyampaikan mesej demokrasi dan pilihanraya yang adil dan bersih, melibatkan pengundi yang benar-benar bertanggungjawab, media yang bebas dan pembentukan semula SPR yang benar-benar adil dan sebagainya.

Tuntutan kita ini memberi gambaran aman dan damai dan bukannya ganas dan melampau. Penyokong Bersih dan Pakatan Rakyat telah menunjukkan budaya demonstrasi yang baik. Walaupun diprovokasi pihak polis, mereka tetap bersabar. Saya ucapkan tahniah kepada yang ditangkap polis. Ini merupakan satu sumbangan awal yang positif.

Disamping itu, kita memberi amaran kepada kerajaan BN, bahawa ini mukadimah kepada kebangkitan rakyat dan jika sekiranya mereka tidak sedia membuat perubahan kepada pilihanraya dan demokrasi,bantahan dan kebangkitan lebih besar boleh berlaku bila-bila masa sahaja dan tidak semestinya sebelum pilihanraya, tetapi juga selepas pilihanraya. Kita tunggu dan lihat respon kerajaan.

Penangkapan saya bukanlah suatu yang besar, kerana masih ramai penyokong kita yang merengkok dalam penjara bertahun-tahun sejak zaman berzaman. Apapun kita sedia bertarung di mahkamah dengan barisan peguam yang lengkap dan mahkamah mesti bebas daripada cengkaman pentadbiran BN.

Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang
Presiden Pas


BERSIH 2.0 : Mengapa Ambiga ?

Oleh : Ust Nik Abduh

Salam Palestin,

Mengapa Ambiga?

Semasa saya berada di Mesir sebulan lepas, ada persoalan dibangkitkan oleh para pelajar di sana berkaitan BERSIH 2.0, penganjur perhimpunan aman yang menuntut reformasi pilihan raya yang telus dan adil, terutama berkaitan pengerusinya, Datuk S. Ambiga. Ia agak hangat apabila kumpulan anti BERSIH, termasuk sesetengah kumpulan Islam mula mempertikaikan kesanggupan PAS menganggotai BERSIH, sedangkan beliau adalah seorang yang disifatkan anti Islam berdasarkan rekodnya yang tersebar, sebahagiannya benar, manakala sebahagian lagi adalah bohong dan fitnah.

Saya telah menjawabnya dan saya fikir jawaban saya mampu menenangkan mereka walaupun agak ringkas kerana soalan-soalan lain yang agak banyak dan pelbagai yang menyuntukkan masa. Tetapi, persoalan itu terus hidup sehingga kini  di tanah air kita apabila ia sentiasa diberi nafas melalui peluru sms dan bicara siber yang bersifat dan bertujuan menyentak dan membantut semangat anak-anak muda Islam daripada menyertai perhimpunan aman pro demokrasi adil yang semakin menjadi kenyataan sabtu ini, insya Allah.

Walaupun agak lewat, saya fikir elok juga untuk para penjengok blog saya meneliti dapatan yang saya muatkan di bawah. Tujuan saya adalah untuk mempertingkatkan kefahaman politik Islam, seterusnya meyakinkan semua bahawa PAS telah mengambil keputusan yang betul, syar’ie dan positif demi kepentingan politik negara dan umat Islam juga yang sentiasa berhadapan kekeliruan oleh penganut Melayunya sendiri.

Pertama, Bolehkah kita berketuakan seorang non muslim? Ini soalan yang jawabannya agak mudah, cuma mudah juga untuk dikelirukan oleh pengeliru yang suka menyusahkan dan menjalani hidup hipokrit.

Untuk institusi dan kumpulan kehidupan sosial, samada dalam masyarakat Islam yang majoriti atau sebaliknya, Islam tidak pernah melarang berketuakan seorang non muslim, lelaki atau perempuan, jika institusi dan kumpulan itu bertujuan baik dan tidak bercanggah dengan agama. Itu dapat dilihat melalui ‘ijmak’ ulama masa kini yang membiarkan penglibatan umat Islam di dalam pelbagai pertubuhan sosial yang bertujuan membina kehidupan manusia yang lebih baik.

Contoh terbaik adalah pertubuhan peringkat antarabangsa seperti PBB. Ia selalunya diketuai non muslim dan tujuannya baik walaupun sering tunduk kepada kekuasaan yang acap kali memusuhi Islam seperti Amerika. Tiada fatwa yang mengharamkan negara-negara Islam – sedangkan mereka adalah ketua-ketua umat Islam – menganggotainya. Jika begitu, anda bolehlah kiaskan secara mudah betapa pertubuhan-pertubuhan yang lebih kecil adalah lebih layak dan syar’ie bagi umat Islam untuk menyertainya.

Maka, pada asasnya, penyertaan PAS di dalam BERSIH 2.0 yang diketuai seorang non muslim adalah harus kerana tujuannya yang murni, malah merupakan tunjang kehadiran Islam di muka bumi, iaitu menegakkan keadilan dan kebebasan hidup.

Adapun untuk sebuah negara, berketuakan non muslim dalam sebuah negara yang umat Islam Islam memiliki kekuatan untuk melantik dan memilih seorang muslim sebagai ketuanya adalah tidak harus. Ini kerana adalah mustahil seorang non muslim akan memandu negara tersebut untuk patuh tunduk kepada syariat Islam di dalam bernegara.

Sebaliknya, jika umat Islam tiada memiliki kekuatan tersebut, seperti memiliki jumlah minoriti, maka berketuakan non muslim adalah harus selagi mereka bebas menjalani hak mereka sebagai seorang muslim. Contoh mudah ialah kerajaan nabi Yusuf alaihissalam. Baginda adalah menteri kepada kerajaan yang kufur. Ada beberapa persoalan mungkin timbul, saya ketepikan dulu untuk memberi laluan kepada topik asal perbincangan.

Kedua, bagaimana jika ketua itu anti Islam? Ada beberapa keadaan. Pertama, jika pertubuhan itu bermaksud anti Islam, maka jelas haram menyertainya. Jika tidak, bahkan untuk turut menyokong matlamat Islam, maka hukum adalah sebaliknya. Kedua, jika ketuanya anti Islam dan secara jelas dilihat begitu, maka hendaklah dilihat kesan baik dan buruknya. Jika keburukan mendahului atau sama atau ditakuti buruknya, maka hukumnya tidak harus. Ini soal ijtihadiah dalam siyasah syar’ieyah.

Lihat juga perbahasan ulama dan fatwa mereka dalam penyertaan umat Islam di dalam pertubuhan-pertubuhan tajaan zionis misalnya. Walaupun zahirnya kelihatan baik, tetapi keraguan adalah besar disebabkan matlamat zionis terhadap Islam adalah jelas, apatah jika ketua pertubuhan tersebut dilihat pro zionis.

Adapun jika ketua tersebut dilihat anti Islam kerana beberapa tindakannya yang menunjuki demikian, maka ia bergantung kepada matlamat pertubuhan tersebut dan perjalanannya, bukan pada ketuanya. Semua bukan Islam adalah biasa dan natural jika beberapa tindakannya dilihat bercanggah atau memusuhi Islam. Jika tidak, terbantutlah kehidupan yang dicanang agama Islam yang sejagat agar Islam menghubungkan sesama manusia, bukan memutuskan! Islam dengan itu akan hanya relevan dalam masyarakat Islam sahaja, bukan masyarakat manusia dan dunia seluruhnya.

Ketiga, bagaimana dengan Datuk S. Ambiga? Saya akan merujuk kepada beberapa dakwaan terhadapnya sehingga beliau dituduh oleh pihak yang menuduh sebagai anti Islam, terutama berkaitan soal murtad dan pluralisme agama.

1) Adakah salah untuk seorang bukan Islam berpendapat dan bertindak menyalahi hukum Islam sedangkan ia tidak menyalahi undang-undang negara? Jika salah, maka adalah baik untuk kita tumpukan dulu pertuduhan dan kemarahan kita itu terhadap orang Islam sendiri yang berkata dan bertindak menyalahi hukum ugamanya sendiri daripada melampiaskan kemarahan kita kepada orang luar yang mungkin saja bertindak demikian hanya kerana melihat telatah umat Islam sendiri yang menolak ugamanya.

Jika tidak salah, maka mengapa kita menganggapnya anti Islam, sedangkan undang-undang negara tidak menganggapnya salah? Adakah agama kita memaksakan mereka sebagaimana ugama kita memaksakan kita? Tidak bukan? Undang-undang negara membenarkan mereka mencabar. Jadi, salahkah mereka bergerak di atas lunas-lunas itu?

Yang boleh memaksakan semua adalah undang-undang yang terpakai di dalam sesebuah negara. Islam tak terpakai di negara kita. Jadi persoalan asas adalah mengapakah tidak dilaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya, atau dalam isu ini, yang berkaitan penjagaan terhadap ugama Islam dan individu muslim daripada dijadikan bahan murahan dan mainan seperti kes murtad oleh umat sendiri.

Maksud saya, pertuduhan anti Islam terhadap individu non muslim seperti Datuk S. Ambiga dan sepertinya adalah berbentuk persepsi dan anggapan. Ia bukan terbukti. Sesuatu yang samar-samar tidak boleh dibina hukum di atasnya. Ia adalah kezaliman. Kezaliman tertolak daripada merajai hukum ugama.

Ya, benar bahawa persepsi dan kesamaran itu berguna untuk sikap berhati-hati. Adakah anda menjangkakan BERSIH 2.0 adalah medan untuk menolak agama? Atau ianya adalah untuk menolak ketidakadilan? Penilaian adalah ke atas BERSIH 2.0, bukan lagi pada individu yang mengetuainya itu. Saya tidak berhujah untuk memperkenalkan BERSIH 2.0 di sini. Topik kita ialah ketuanya sesudah BERSIH 2.0 difahami sebagai kumpulan yang bersih murni matlamatnya.

Lainlah jika anda memang berpendapat bahawa BERSIH 2.0 itu sendiri adalah tidak bersih. Kita bincang di lain kali pula hal itu.

2) Siapakah yang patut bertanggung jawab terhadap tindakan-tindakan oleh kumpulan bukan Islam yang mencabar hukum ugama Islam? Apatah, apabila tindakan tersebut dilakukan melalui lunas undang-undang negara? Sudah pasti jawaban kita adalah jelas bahawa yang bertanggung jawab adalah penggubal dan mereka yang meluluskannya. Hukum-hukum Islam, umat Islamlah – pemerintah Islamlah – yang mesti melaksanakan kedaulatannya sehingga tidak boleh lagi dicabar sewenang-wenangnya.

Malangnya, sebelum non muslim, umat Islam sendirilah yang berada di hadapan menentang perlaksanaan hukum syariat ke atas mereka dan negara mereka juga. Siapakah mereka? Agak malang, bahkan pelik sekali kerana mereka inilah juga yang sering menuduh Datuk S. Ambiga sebagai anti Islam?! Jadi, sudah pasti nyata bagaimana pertuduhan terhadap pengerusi BERSIH tersebut adalah semata-mata untuk mengaburi masyarakat agar turut menolak BERSIH 2.0 tersebut, walaupun pengerusinya ditukar kepada TG Abdul Hadi Awang! Saat itu, pertuduhan khas pula dicipta ke atas TG Abdul Hadi Awang. Mungkin sebagai neo Khawarij!?

Khulasahnya, sebelum anda melihat kepada Datuk S Ambiga, lihat dulu kepada kerajaan Malaysia yang menjadi penghalang kepada perlaksanaan syariat Islam yang sebenar dan begitu takut dan ngeri dengan kemaraan BERSIH 2.0 itu. Mengapa takut kepada pencinta keadilan dan kebebasan jika mereka juga adalah kerajaan yang adil dan pro kebebasan?

3) Apakah yang sebenarnya dituntut oleh bukan Islam? Sudah pasti hak mereka sebagai rakyat yang mahukan keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek. Anda harus faham, sebagai sebuah minoriti ugama dan bangsa, non muslim memiliki perasaan sendiri bahawa mereka merasa masih tidak selesa dan selamat dengan undang-undang dan perlaksanaannya di negara ini yang dilihat tidak mesra minoriti. Ini termasuklah hak beragama dan kawalan terhadap ugama mereka.

Adakah setiap kali mereka bersuara, maka hukumnya adalah ‘anti-Islam’, sedangkan tiada pun Islam sebenar yang menjadi undang-undang di negara ini? Adalah menjadi tuntutan ugama Islam bahawa menjaga hak bukan Islam adalah teras besar kepada undang-undang Islam. Tanpa ini, undang-undang Islam adalah terbantut, lemah dan tidak relevan sebagai ‘rahmatan lil alamin’.

4) PAS konsisten memperjuangkan Islam dan kedaulatannya semenjak sekian lama. Ia pertubuhan politik dan dakwah yang secara jelas memperkenalkan Islam dan syariatnya yang sebenar walau terpaksa berhadapan kesusahan dan tindakan zalim pemerintah. Adakah PAS yang diketuai oleh syura ulama yang menepati maksud kekuasaan sebenar Islam tiba-tiba gagal mengenal Datuk S Ambiga? Ia agak jauh, sukar dan ‘unreachable’ oleh otak yang BERSIH!!

Kelima, mengapa Ambiga? Mengapa tidak PAS yang mengetuai demonstrasi aman BERSIH 2.0, sedangkan PASlah yang dilihat menjadi pemain utama menggerakkan massa? Perhatikan,

1) Agar matlamat BERSIH 2.0 tidak dilihat bermotif politik dan parti politik semata-mata, bahkan dilihat sebagai tuntutan bersama rakyat Malaysia, termasuk yang tidak mesra politik dan orang politik. Rakyat mahu pemerintah mereka adalah yang mereka pilih melalui proses pilihan raya yang adil dan telus. Dengan penglibatan golongan non partisan seperti puluhan NGO yang bergabung di dalam BERSIH 2.0, maka adalah nyata bahawa rakyat seluruhnya telah nampak secara jelas bahawa perjalanan pilihan raya negara adalah di tahap lemah dan sering dimanipulasi oleh pemerintah semasa. Rakyat seluruhnya mahukan reformasi pilihan raya!

Maka, Datuk S Ambiga dicalonkan dan semua pihak menerimanya mengetuai BERSIH 2.0.

2) Agar matlamat BERSIH 2.0 tidak dilihat bermotif ugama semata-mata. Oleh kerana PAS terlalu ‘ugama’, maka sudah pasti BERSIH 2.0 akan gagal mencapai matlamatnya yang mahukan seluruh rakyat yang mahukan reformasi pilihan raya itu turut menyertainya tanpa rasa curiga terhadap motif pihak lain. Ia adalah matlamat yang disepakati bersama.

Kesepakatan melakukan kebaikan adalah dendangan syariah Islam.

3) Agar PAS tidak dilihat sebagai ekstrimis ugama. Walaupun PAS berjaya daripada semasa ke semasa memperkenalkan dirinya sebagai pertubuhan Islam yang sederhana dan ‘wasathiyah’, ia tetap menjadi buruan golongan anti Islam untuk menghancurkannya dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Antara peluru utama ke atas PAS adalah senjata tajaan Amerika yang menghukum golongan Islamis sebagai ekstrimis dan pelampau ugama. Sudah pasti tujuannya adalah menjauhkan masyarakat, terutama non muslim daripada PAS.

Apabila orang yang dilabel pula sebagai anti Islam seperti Datuk S Ambiga bersedia untuk bersama-sama PAS mengetuai perhimpunan rakyat, maka ia adalah kebaikan untuk kedua-dua pihak. Sebagai mana PAS, beliau dan kumpulan non muslim juga tidak gemar di label dengan tuduhan-tuduhan yang negatif yang tidak membantu ke arah perpaduan dan keharmonian hidup di negara ini.

4) PAS memerlukan sokongan semua lapisan dan kumpulan rakyat. Negara dibina dan dibentuk oleh rakyat. PAS mencadangkan alternatif yang dilihat terbaik untuk negara Malaysia iaitu negara berkebajikan yang bertunjangkan Islam sebagai neracanya. Adalah satu kesempatan dan peluang yang baik untuk PAS memperkenalkan dirinya sebagai pejuang bersama menuntuk hak-hak rakyat yang diketepikan oleh pihak pemerintah. Adakah menjadi ‘bos’ dalam semua perkara adalah syarat atau rukun dakwah? Adakah ia juga satu hikmah dalam berdakwah? Tidak bukan?

5) Dekad terakhir dalam sejarah dan politik negara adalah dekad anjakan paradigma rakyat dalam banyak hal. Antara yang menarik adalah pecahnya tembok binaan UMNO yang berusaha memisahkan PAS daripada masyarakat non muslim. Kesan tembok itu adalah buruk. Non muslim mengenal Islam yang diperkenalkan oleh UMNO. Kesannya, tiada yang indah dalam Islam. Melayu UMNO adalah dipenuhi penyakit. Bagaimana si pesakit boleh menawarkan kesihatan?

Apabila tembok pecah, kini non muslim mula melihat dan mengenal Islam daripada PAS. Daripada PAS yang ditakuti, kini menjadi PAS yang disenangi. BERSIH 2.0 adalah sebahagian proses berkenalan di dekad baru ini, dekad yang dipenuhi cita-cita bersama ke arah Malaysia yang lebih harmoni, merdeka dan berjaya.

Sekarang anda telah melihat beberapa perkara penting yang mampu menghapuskan keraguan mengenai penerimaan PAS untuk menyertai BERSIH 2.0 walaupun diketuai oleh seseorang yang menghadapi tohmahan sebagai anti Islam.

Walaupun saya tidak membawa nas-nas penghujahan secara lebih terperinci demi meringkaskan, adalah cukup dengan memahami hujah-hujah yang diberi, kita akan melihat nas-nas ugama itu seperti bersedia untuk tampil.


Menjelang BERSIH 2.0 : Ketahui Hak Anda Apabila Ditahan Polis.

1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS

1.1 Tidak Berpakaian Seragam. Minta Pengenalan Diri Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan pengenalan diri. Katakan; “Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda.”

1.2 Kad Kuasa Polis Merah. Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda. Anda boleh berlalu dari situ. Lain-lain Warna :

  • Biru : Berpangkat Inspektor dan ke atas.
  • Kuning : Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.
  • Putih : Polis Simpanan

*Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.

1.3 Berpakaian seragam. Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.

1.4 Kenderaan Peronda Polis. Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.

2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN

2.1 PengenaIan Diri : Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.

2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain : Tanya dengan sopan, “Adakah saya sedang ditangkap?”

2.3 Adakah anda sedang ditangkap?

Anda sedang ditangkap jika Polis:

• menjawab “ya”;

• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke Balai Polis; atau

• menggari anda.

Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.

2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap?

Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).

3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN

3.1 Pernyataan 112

Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).

3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi

Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda, anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis) mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi arahan polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walaubagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak polis boleh memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap anda mendesak anda supaya bekerjasama.

3.3 Membuat Pernyataan 112

Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.

• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (nota peribadi).

• Catatkan dalam nota peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.

• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.

• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan di dalam nota peribadi anda.

• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.

• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.

3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda

Sebelum menandatangani pernyataan anda, baca dengan teliti semua soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.

• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan nota peribadi anda.

• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas pernyataan tersebut sebelum ditandatangani.

• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir pernyataan anda.

4. POLIS MENANGKAP ANDA

4.1 Tanya: “Mengapa saya ditangkap?”

Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan tangkapan.

4.2 Jangan melawan semasa ditangkap

Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah semasa menangkap anda jika anda melawan.

4.3 Tanya: “Balai Polis manakah saya akan dibawa?”

Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera membawa anda ke balai polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.

4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap

Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:

1. Keluarga atau rakan; dan/atau

2. Seorang peguam.

3. Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).

Maklumkan kepada mereka:

• yang anda telah ditangkap;

• masa, tempat dan alasan ditangkap;

• balai polis di mana anda dibawa.

4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap?

Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:

• Di balai polis, atau

• Di dalam lokap untuk “membantu” penyiasatan polis.

5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN

5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam

Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di balai polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan bahaya kepada pihak lain.

5.2 Pakaian

Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda semasa di dalam lokap.

5.3 Barangan peribadi

Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.

5.4 Kebajikan

Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan secukupnya semasa dalam tahanan.

5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda

Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk siasatan. Tugas polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam, polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).

(more…)


Surat Mursyidul Am PAS kepada Yang di Pertuan Agong

Mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Sukalah patik ingin memaklumkan kepada pihak Tuanku bahawa patik sedang berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah untuk mengerjakan umrah dan Insya-Allah dijadualkan akan pulang ke tanah air pada 10 Julai 2011. Patik di sini mendoakan agar KDYMM Tuanku serta Permaisuri sentiasa dilimpahi keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT.

Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah diberi ampuni untuk mengadap KDYMM Tuanku pada pagi ini dan menyembahkan tuntutan-tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihanraya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya. Patik juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas keprihatinan KDYMM Tuanku terhadap kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin di dalam perlembagaan Malaysia. Sukalah patik mempersembahkan pendirian patik bahawa sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihanraya yang adil tidak akan mendatangkan huruhara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun dan terkini negara jiran iaitu Thailand.

Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik. Semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata. Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibubapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah.  Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT.

Patik yang menjunjung kasih,

YANG AMAT  BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Al-Mursyidul Am

Parti Islam Semalaysia (PAS).

Bertarikh : 3 Syaaban 1432H bersamaan 5 Julai 2011M


Respon Presiden PAS terhadap titah Yang di Pertuan Agong

Parti Islam SeMalaysia (PAS) menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari Ahad 3 Julai 2011 mengenai isu perhimpunan aman Bersih 2.0 yang hangat diperkatakan pada waktu ini. Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan keperihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara kita ini.

Titah Seri Paduka Baginda Tuanku bahawa dalam setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Ini adalah amat tepat sekali dalam merungkai perkara yang dibangkitkan, iaitu pembaharuan terhadap keseluruhan sistem pilihanraya bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini.

Sehubungan dengan itu, maka PAS bersedia untuk menghantar wakil bersama dengan Bersih 2.0 dan rakan parti politik dalam Pakatan Rakyat serta semua pihak yang cintakan keamanan untuk berunding dan seterusnya mengadap ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini. Kesan dari salah faham ini telah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi oleh pihak berkuasa.

PAS percaya bahawa asas penyebab bantahan ini perlulah digali-selidik dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan, terutamanya oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan dalam negara kita pada ketika ini. Ini juga selari dengan titah Seri Paduka Baginda Tuanku supaya pihak kerajaan wajar untuk melaksanakan amanah dengan secara adil dan bijaksana. Tercetusnya idea bantahan ini adalah kerana terlalu banyak kelemahan dalam amalan pilihan raya di Malaysia dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik. Keadaan ini semakin buruk walaupun kita telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun dan sudah dua belas kali pilihan raya umum diadakan. Sejak sekian lama ini, kerajaan Barisan Nasional telah banyak menyalahgunakan kuasa mereka di atas nama demokrasi, walaupun negara-negara di seluruh dunia sudah banyak melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.

 Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

4 Julai 2011 / 2 Syaaban 1432 H


TEKS PENUH KENYATAAN YANG DIPERTUAN AGONG BERKAITAN BERSIH 2.0

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu “Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran”.

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.


Antara Hassan bin Thabit dan A Samad Said

Ramai orang yang memperkatakan tentang Bersih 2.0 sekarang. Dari kelas tinggi Sultan Melayu sampailah ke kelas bawah rakyat biasa yang biasanya tidak tahu apa-apa. Banyak isu yang telah dikaitkan sempena bersih. Antara yang menarik perhatian saya ialah sajak Unggun Bersih nukilan A Samad Said.

Kerana satu sajak ini yang mempunyai 4 rangkap sahaja, Pak Samad telah ditangkap polis. Setelah membaca sajak tersebut, saya merasakan memang benar sajak itu telah memberikan semangat bagi orang yang ingin menyertai Bersih.

Ini membuatkan saya teringat kepada seorang sahabat Rasulullah yang bernama Hassan bin Thabit. Saya mula mengenali nama ini ketika belajar Adab Arab di tahun 3. Hafalan wajib bait syairnya membuatkan saya lebih ingat kepada beliau. Beliau merupakan sahabat nabi dari suku kaum Khazraj dan diiktiraf sebagai Sasterawan kepada Nabi s.a.w. Bahasanya sangat tajam, lidahnya sangat fasih dan kalam-kalamnya amat indah. Jangka hayatnya adalah selama 120 tahun, 60 tahun ketika zaman jahiliyyah dan 60 tahun lagi dalam zaman Islam. Di penghujung usianya, dikhabarkan matanya menjadi buta.

Sebelum kedatangan Islam, suku Aus dan suku Khazraj sering bertelingkah. Hassan merupakan orang yang mewakili Khazraj untuk “mempertahankan” sukunya  dengan puisinya. Apabila bertapaknya Islam di bumi Madinah, suku Aus dan suku Khazraj didamaikan dan dipersaudarakan oleh Rasulullah dan mereka dinamakan sebagai Ansar. Beliau memeluk Islam ketika hijrah Rasulullah tersebut.

Selepas hijrah, Rasulullah menyediakan satu tempat atau sudut untuk Hassan menyampaikan syairnya berdekatan dengan Masjid Nabawi. Kalau dikiaskan dengan kita sekarang, ia seolah-olah sudut pidato di universiti-universiti. Di pentas itulah beliau menyampaikan syair mempertahankan nabi dan memuji baginda dengan bahasa yang puitis dan mampu untuk meningkatkan kecintaan muslimin kepada baginda. Apa sahaja celaan yang dibuat oleh orang kafir Quraisy terhadap muslimin dan Rasulullah, maka beliau pantas akan membalasnya dengan syair yang puitis.

Hassan bukanlah seorang pendekar berani seperti Khalid al-Walid atau Abu Ubaidah. Ketika peristiwa perang Ahzab, beliau dipertanggungjawabkan untuk menjaga muslimah-muslimah yang dikumpulkan di rumahnya kerana dibimbangi tentera Ahzab dapat memasuki Madinah melalui ladang-ladang yang berada di bahagian belakang Madinah. Di antara yang berada di rumahnya ketika itu ialah Safiyyah binti Abdul Muttalib, ibu saudara Rasulullah. Ketika dalam keadaan kuarantin itu, terdapat seorang Musyrikin datang untuk menceroboh. Lalu Safiyyah meminta untuk Hassan untuk membunuh musyrikin tersebut tetapi beliau enggan kerana tidak berani. Akhirnya Safiyyah sendiri yang pergi membunuh musyrikin tersebut dan bukannya Hassan. (Adegan ini boleh dilihat dalam drama Qamar Bani Hashim penghujung Episod 25)

Hassan bin Thabit telah berhijrah ke China bersama beberapa orang sahabat termasuk Saad bin Abi Waqqas dan Thabit bin Qais untuk menyebarkan Islam selepas kewafatan Rasulullah. Beliau meninggal dunia pada tahun 54 hijrah.

Saya melihat peranan yang dimainkan oleh Pak Samad ketika ini adalah sama dengan peranan yang dimainkan oleh Hassan. Pak Samad menggunakan kebolehannya untuk menyemarakkan semangat pecinta keadilan untuk turun pada 9 Julai ini. Beliau menyeru untuk dikembalikan semula keadilan demokrasi, sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Bahasanya yang tajam mampu menggugat kerakusan pemerintah lalu membuli polis untuk menangkapnya.

Seperti juga Hassan, Pak Samad bukanlah seorang pahlawan, bukan juga pendekar apatah lagi guru silat tetapi bijaknya beliau kerana memainkan peranan mengikut kebolehan sehabis dayanya. Kita mengharapkan lebih ramai pakar yang akan menggunakan kepakaran masing-masing untuk menjayakan tujuan murni ini. Termasuklah mahasiswa-mahasiswa tidak kira di mana sahaja berada, apa sahaja latarbelakang dan bagaimana caranya. Rugi kalau kemenangan itu datang, kita masih belum berada dalam senarai orang yang menyumbang kepadanya.

Moga Allah merahmati Hassan dan juga Pak Samad atas usaha mereka dalam membuat kebaikan.

Sumbanglah segala apa yang kita mampu kerana menegakkan keadilan ini. Ingat, Bersih bukanlah demonstrasi ganas apatah lagi Revolusi untuk menumbangkan kerajaan. Ia  hanyalah perhimpunan aman. Peace.

Bait Sting-Gun,

Damsyik,

1635 hours – 2 Syaaban – 3 Julai 2011.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.