Respon Presiden PAS terhadap titah Yang di Pertuan Agong
Parti Islam SeMalaysia (PAS) menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari Ahad 3 Julai 2011 mengenai isu perhimpunan aman Bersih 2.0 yang hangat diperkatakan pada waktu ini. Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan keperihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara kita ini.
Titah Seri Paduka Baginda Tuanku bahawa dalam setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Ini adalah amat tepat sekali dalam merungkai perkara yang dibangkitkan, iaitu pembaharuan terhadap keseluruhan sistem pilihanraya bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini.
Sehubungan dengan itu, maka PAS bersedia untuk menghantar wakil bersama dengan Bersih 2.0 dan rakan parti politik dalam Pakatan Rakyat serta semua pihak yang cintakan keamanan untuk berunding dan seterusnya mengadap ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini. Kesan dari salah faham ini telah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi oleh pihak berkuasa.
PAS percaya bahawa asas penyebab bantahan ini perlulah digali-selidik dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan, terutamanya oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan dalam negara kita pada ketika ini. Ini juga selari dengan titah Seri Paduka Baginda Tuanku supaya pihak kerajaan wajar untuk melaksanakan amanah dengan secara adil dan bijaksana. Tercetusnya idea bantahan ini adalah kerana terlalu banyak kelemahan dalam amalan pilihan raya di Malaysia dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik. Keadaan ini semakin buruk walaupun kita telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun dan sudah dua belas kali pilihan raya umum diadakan. Sejak sekian lama ini, kerajaan Barisan Nasional telah banyak menyalahgunakan kuasa mereka di atas nama demokrasi, walaupun negara-negara di seluruh dunia sudah banyak melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
4 Julai 2011 / 2 Syaaban 1432 H
TEKS PENUH KENYATAAN YANG DIPERTUAN AGONG BERKAITAN BERSIH 2.0
Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.
Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.
Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.
Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.
Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.
Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu “Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran”.
Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.
Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.
Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.
..:Recent Comments:..