Makluman Pendaftaran ke Mujamma’ Fatah Islami, Syria Sesi 2011/2012
MAAHAD AS-SYAM AL-A’LI
[Untuk pengajian Ilmu Syariah, Bahasa Arab & Kajian Islam]
Cawangan Mujamma’ Fatah Islami
Dengan izin Allah Taala
Dimaklumkan bahawa tarikh permulaan pendaftaran bagi sesi pengajian 2011/2012 akan bermula dari hari Ahad 4/9/2011 bagi lepasan Maahad Syari’e dan pemegang Sijil Menengah (Thanawi) Syariah mahupun sijil Menengah Umum. Pendaftaran dibuka untuk memasuki cabang-cabang Kuliyyah Ilmiah mahupun Sastera di kuliyyah-kuliyyah berikut :
PERTAMA : KULIYYAH SYARIAH & QANUN
- Jabatan Syariah Islamiah (Terbuka untuk lelaki & perempuan)
- Jabatan Syariah & Qanun (Terbuka untuk lelaki & perempuan)
- Jabatan Ekonomi, Pentadbiran Kewangan dan Perbankan Islam (Terbuka untuk lelaki & perempuan)
KEDUA : KULIYYAH USULUDIN DAN FALSAFAH
- Jabatan Usuludin & Falsafah (Terbuka untuk lelaki & perempuan)
Pada tahun ketiga pengajian, pelajar jabatan ini akan diberi pilihan untuk masuk ke syukbah Tafsir atau Hadis atau Falsafah.
- Jabatan Qiraat & Ulum Quran (Terbuka untuk lelaki & perempuan)
KETIGA : KULIYYAH DIRASAT ISLAMIAH & ARABIAH
- Jabatan Dirasat Islamiah & Arabiah (Terbuka untuk lelaki sahaja)
- Jabatan Dirasat Islamiah & Dakwah (Terbuka untuk lelaki sahaja)
- Jabatan Pendidikan, Dirasat Islamiah & Bahasa Arab (Terbuka untuk lelaki & perempuan)
KEEMPAT : KULIYYAH BAHASA ARAB
- Jabatan Bahasa Arab (Terbuka untuk lelaki & perempuan)
- Jabatan Sejarah & Tamadun (Terbuka untuk lelaki sahaja)
- Jabatan Media & Kewartawanan (Terbuka untuk lelaki & perempuan)
DOKUMEN-DOKUMEN YANG DIPERLUKAN UNTUK PENDAFTARAN
- Salinan Sijil Menengah (Thanawi) atau yang setaraf dengannya ATAU salinan surat akuan daripada Maahad Syarie yang telah disahkan terlebih dahulu oleh Kementerian Auqaf bagi sesiapa yang tamat belajar di Maahad Syarie peringkat pra universiti.
- Kad pengenalan / passport
- Sekeping gambar berukuran passport yang baru (yang serupa dengan keadaan sebenar pemohon)
- Borang pendaftaran yang telah diisi beserta dengan tandatangan.
PERHATIAN
- Sijil yang akan dikeluarkan oleh pihak Mujamma’ adalah setaraf dengan sijil yang dikeluarkan oleh universiti-universiti kerajaan khususnya di Republik Arab Syria.
- Pelajar akan diberikan surat pengesahan bagi menangguhkan program wajib kepada Jabatan Ketenteraan (rakyat Syria sahaja)
- Pelajar (bukan rakyat Syria) akan diberikan Visa Pelajar daripada Jabatan Imigresen Syria.
- Pemohon yang memegang Sijil Menengah aliran perniagaan diterima untuk memohon di Jabatan Ekonomi, Pentadbiran Kewangan dan Perbankan Islam.
UNTUK PERTANYAAN
Bagi pemohon lelaki, boleh merujuk ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar di pusat pentadbiran Mujamma’ Fatah Islami (Jamik Bilal, Sinaah) setiap hari dari pukul 2.00 petang hingga 7.00 petang selain Jumaat dan Sabtu.
Bagi pemohon perempuan, boleh merujuk ke Bahagian Perempuan Tingkat BAwah Jamik Abu Ayyub al-Ansori, belakang Perhentian Bas Dar’aa, Zahirah Qadimah setiap hari dari pukul 2.00 petang hingga 7.00 petang selain Jumaat dan Sabtu.
P/s : Ini adalah maklumat untuk bahagian Undergraduate / Sarjana Muda. Untuk peringkat maahad dan Dirasat Ulya, kemungkinan akan ada makluman dalam masa terdekat. Minta kepada semua sahabt mendoakan keselamatan kami di bumi Syam.
Belasungkawa Mohd Zahid bin Shafie (1412-1432)
Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya ladang untuk bercucuk tanam. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Akhirat jualah tempat menuainya nanti. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya. Yang kekal hanyalah Allah. Yang pasti, hidup akan berakhir dengan mati.
Usai solat Subuh 10 Ramadhan 1432, mengikuti kuliah dan berdiskusi fiqh, saya pulang ke rumah sesudah masuk waktu Dhuha. Sampai sahaja di rumah, terus mendapat berita kematian Mohd Zahid bin Shafie. Bagaikan tidak percaya, sukar untuk diterima. Kemudian, ada SMS masuk ke inbox menyatakan kebenaran berita tersebut. Saya sememangnya berhati-hati untuk mempercayai berita kematian atau kemalangan kalau tidak mengetahui sumbernya.
Teringat kata-kata Ust.Tuan Ibrahim Tuan Man, “Jangan kita tertipu dengan usia yang muda, kerana mati tak syarat tua. Jangan kita tertipu dengan badan yang sihat, kerana mati tak syarat sakit.” Tubuh saya lemah, tidak bermaya. Masih lagi terkejut, terkedu dan terkesima. Tiada perkataan yang boleh diungkapkan. Saya hanya mampu berbaring dan mata berkedip-kedip memandang siling rumah. Cukup sugul. Mudahnya bilamana Allah mengatakan “Kun”.
BIODATA & LATARBELAKANG
Saya tidaklah lama mengenali almarhum Zahid. Beliau pun baru sahaja sampai di Syria Ramadhan tahun lepas. Tempoh perkenalan rapat saya hanya bermula sejak akhir tahun lepas. Walaupun begitu, saya terpanggil untuk berkongsi rasa dukacita terhadap kehilangan sebutir permata berharga ini dan melaksanakan sunnah menceritakan kebaikan si mati setelah kematiannya setakat pengetahuan saya. Nabi s.a.w menasihati kita:
“Sesiapa dalam kalangan kamu yang memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: ‘aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Saya menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang saya sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.
Zahid dilahirkan pada hari Isnin 4 Jamadil Awal 1412 bersamaan 11 November 1991 di Hospital Besar Kuala Terengganu. Beliau merupakan anak sulung daripada 7 orang adik beradik. Tinggal di Kg.Bukit Diman, Ajil, Hulu Terengganu. Ayahnya hanya bekerja sebagai seorang buruh untuk menyara keluarga mereka.
Sebelum datang ke Syria, beliau telah menamatkan pengajian di Maahad Darul Quran, Rusila dengan mendapat pangkat Jayyid Jiddan. Setelah sampai di Syria, dia belajar di Mujamma’ Sheikh Ahmad Kiftaro di Ta’hili 3. Alhamdulillah, pelajarannya sangat baik & stabil walaupun tidaklah cemerlang. Itu di atas kertas. Tetapi, apabila berdamping dengannya, kita merasakan dia excelent dalam semua perkara.
AWAL PERKENALAN
Saya mula mengenalinya apabila group usrah saya beberapa kali menumpang untuk mengadakan pertemuan di rumahnya. Usai usrah, saya bersembang dengan ahli baitnya yang rata-ratanya adalah pelajar baru yang satu batch dengannya. Agak mudah mengenali dirinya kerana susuk tubuhnya yang kecil dan berbeza dengan rakan-rakannya yang lain. Berbanding dengan yang lain, dia agak pendiam dan lebih suka mendengar nasihat daripada abang-abang yang senior.
Perwatakan beliau amat menarik perhatian saya. Saya cuba bertanya kepada senior mereka tentang beliau. Rata-rata memuji beliau dengan akhlak yang baik serta imej “kematangannya melebihi umur”. Saya teliti kembali pujian-pujian tersebut. Memang benar, itulah wataknya.
KELEBIHANNYA
Setelah mengenalinya, beberapa kali saya menjemputnya ke rumah untuk berdiskusi tentang beberapa perkara selain bersembang mengenai nasib umat Islam. Saya paling kagum apabila dia mampu memenuhi permintaan saya untuk menghuraikan beberapa ayat dari surah Ali Imran dan juga surah as-Saff secara sepontan. Isi yang dikeluarkannya saya anggap seolah-olah dia telah study berjam-jam sebelum berdiskusi dengan saya.
Itu belum masuk tazkirah lagi. Kalau tazkirah umum, rasanya tidak puas mendengar. Sesiapa yang pernah menjadi anak buahnya atau menjadi rakan seusrahnya sudah pasti maklum hal ini.
CITA-CITA
Dia pernah berkongsi azam dan cita-cita untuk mewakafkan dirinya di jalan dakwah, membina masyarakat dan menegakkan Islam. Bukan setakat cita-cita, tetapi saya melihat dia berusaha ke arah itu. Apatah lagi masyarakat di Hulu Terengganu amat mengharapkan pemuda-pemuda sepertinya untuk mencurahkan ilmu-ilmu Islam kepada mereka. Ya Allah, saksikanlah bahawa hambaMu itu telah berusaha menegakkan agamaMu !!
YANG DIINGATI
Ayat yang biasa beliau ulang-ulang semasa menyampaikan tazkirah ialah “Manusia itu tidur. Apabila dia mati, barulah dia bangun dari tidur tersebut.” Ayat ini sangat mendalam apabila dihayati dan direnungi. Sangat tepat dan kadang-kadang mampu mengejutkan kita yang alpa. Apa lagi kalau teringatkan gaya dan intonasi beliau ketika menyampaikan tazkirah. Nostalgia !!
Hari ini, Zahid sudah meninggalkan kita. Setelah 7 212 hari beliau hidup di atas muka bumi, Allah menarik balik pinjamannya pada 10 Ramadhan 1432 bersamaan 10 Ogos 2011. Sungguhpun kita menyayanginya, Allah Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Potensi dan bakat beliau dalam dakwah memang sukar dicari ganti. Namun kita berharap dengan pemergiannya, Allah menggantikan 10 orang yang sama hebat dengannya.
Sebagai sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, kita hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya. Apabila tibanya masa, kita juga akan ‘bangun dari lena’ sebagaimana beliau telah bangun.
Teruskan berdoa kepadanya setiap kali kita mengingatinya. Jangan hanya tunggu majlis tahlil baru boleh berdoa. Saya yakin, beliau amat mengharapkan doa daripada kita semua sebagaimana kita juga akan mengharapkan orang lain berdoa untuk kita apabila berada di alam Baqa’ nanti. Moga beliau ‘hidup’ di sisi Tuhan dengan mendapat habuan dari-Nya.
“Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati. Bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezki.” (Ali Imran : 169)
Al-Fatihah untuk Almarhum Mohd Zahid bin Syafie (1412-1432 / 1991-2011).
Meriah Ramadhan
Ramadhan datang lagi. Buat sekalian kalinya dia datang lagi, dan buat sekalian kalinya juga kita berjumpa dengannya. Ramadhan di kota Syam bagi saya amat berbeza di Malaysia. Bagi saya ia jauh lebih baik daripada di Malaysia. Tidak dinafikan, di sini pun ada ‘syaitan-syaitan’ yang masih berkeliaran di bulan mulia ini, tetapi bagi saya suasana di sini sangat menggalakkan dan membina diri kita untuk menghayati Ramadhan.
Meriahnya Ramadhan di sini lebih meriah daripada Aidilfitri. Kedatangannya sangat dialu-alukan dengan wajah kegembiraan. Kadang-kadang, rumah-rumah sudah dihiaskan dengan lampu-lampu untuk sama-sama memeriahkan Ramadhan. Pihak masjid pula dari masa ke masa sentiasa menyediakan suasana yang selesa untuk beriktikaf.
Meriahnya Ramadhan di sini dengan masjid menjadi tempat berkumpul orang Islam. Ia dapat dirasai lagi apabila solat Subuh, Asar dan terawih dan lebih-lebih dirasai apabila 10 malam terkahir Ramadhan. Mereka bersungguh-sungguhuntuk mendapatkan Lailatul Qadar. Berbeza dengan Malaysia, solat Subuh masih lagi sunyi walapun pada bulan Ramadhan dengan tidak dinafikan mungkin bilangannya bertambah sedikit daripada hari biasa. Berbeza juga dengan keadaan solat terawih, bilangan di Malaysia akan berkurangan pada separuh kedua bulan Ramadhan. Kesungguhan mendari Lailatul Qadar sangat rendah kerana lebih bersungguh untuk “Lailatul KAMDAR”.
Meriahnya juga Ramadhan di sini apabila budaya sedekah dan infak semakin rancak di bulan mulia ini. Boleh dikatakan semua orang yang susah sudah pasti akan dapat merasai kerancakan sedekah apabila menerima infak daripada mereka yang mampu setiap hari. Sehinggakan ada yang dapat menggunakan hasil sumbangan infak tersebut untuk 2-3 bulan berikutnya.
Meriahnya juga Ramadhan di sini apabila mereka berebut-rebut untuk melakukan kebaikan. Menyediakan makanan untuk orang berbuka, berebut saff pertama untuk solat, membudayakan bacaan al-Quran, berzikir walau di mana sahaja dan lain-lain yang memang kelihatan jelas pada bulan mulia ini. Saya tidak pasti, di kawasan manakah di Malaysia yang mempunyai suasana seperti ini. Mungkin kalau yang lebihnya kita ialah pesta makanan dan juga Bazaar Ramadhan. Ketahuilah sahabat-sahabat semua, Ramadhan tidak meriah dengan itu !!
Matlamat puasa di bulan Ramadhan adalah taqwa. Jadi meriahkanlah Ramadhan dengan amalan-amalan yang menjuruskan kepada taqwa, bukan dengan perkara-perkara yang memesongkan kita daripada matlamat asalnya. Saya berdoa kepaa Allah supaya menganugerahkan Malaysia suasana Ramadhan yang meriah dengan ertikata sebenar.



..:Recent Comments:..