“Versatile Ustaz to be”

Archive for October, 2011

Syam yang bakal diingati

INI ADALAH CATATAN SAYA KETIKA MUSAFIR TEMPOH HARI. SEMPAT MENCATAT SEMENTARA MENUNGGU BOARDING FLIGHT KE KUALA LUMPUR DALAM KEADAAN LETIH DAN MENGANTUK.

———————————————————————-

Sekiranya ada hari paling sugul dan dan muram dalam hidup di bumi Syam, kemungkinan ia adalah hari ini. Hari yang mana saya terpaksa meninggalkan bumi Syam dan tidak tahu bila akan kembali. Segala suka dan duka semasa menuntut ilmu di bumi khilafah Umayyah ini terpaksa ditinggalkan demi menempuh cabaran baru dalam hidup.

Manusia dijadikan dengan putaran hidup yang pelbagai supaya mereka sentiasa berkembang dan maju dalam ruang hidup masing-masing. Apabila dilahirkan, dia belajar untuk meniarap. Lepas meniarap, dia belajar pula untuk merangkak. Sesudah itu, dia cuba untuk berjalan dan seterusnya untuk berlari. Tidak kurang juga apabila dia sudah besar, dia mula belajar satu persatu pengalaman hidup. Habis tadika, dia ke sekolah rendah. Setelah itu ke sekolah menengah dan universiti. Setelah itu, berkahwin dan seterusnya mendapat anak. Cabaran-cabaran tersebut tidak akan sama dan sentiasa berlainan. Jika hanya cabaran sama, manusia akan lemah dan tidak berdaya. Walau setinggi mana dia teruja dengan sesuatu perkara, akan tiba satu masa, dia akan bosan dengan perkara itu.

Oleh kerana itu, walau sesayang manapun saya kepada bumi Syam dan juga masyarakatnya, saya kena meninggalkannya kerana tempoh saya berada di situ sudah boleh dikira lama. Cabaran baru harus dicari.

Walau bagaimanapun, saya tidak akan melupai bagaimana saya boleh menjejak kaki ke bumi ini dan berada dalam tempoh yang agak panjang. Saya bukanlah orang yang dapat mengaut hasil yang baik di bumi bertuah ini walaupun dapat mendiaminya dengan penuh kebahagiaan. Tapi saya berbangga menjadi sebahagian daripada mereka yang bersusah datang ke sini untuk belajar dan bersabar dengan karenah kerajaan sosialis diktator di sini. Sejak saya tiba di sini hampir 5 tahun lepas, setiap tahun sudah pasti ada isu yang menekan pelajar Syariah di Syria. Namun, sahabat-sahabat di sini tetap tabah dan meneruskan pengajian masing-masing sehinggalah isu terbesar dalam sejarah pelajar Malaysia di Syria berlaku tahun ini.

Syeikh-syeikh di Syam juga tetap dengan kesungguhan mereka membentuk generasi Syam yang baru dengan Islam sebagai teras. Sungguhpun saya melihat jelas perbezaan muda-mudi Syria sekrang dengan 5 tahun lepas, saya juga melihat betapa bersungguhnya golongan agama mempertahankan syiar Islam di Syria walaupun ruang yang diberi terlalu kecil.

Saya tidak pasti apa yang akan dilalui oleh sahabat-sahabat yang masih kekal di Syria. Tetapi saya mendoakan mereka diberi kekuatan untuk terus kekal bersemangat menuntut ilmu. Jangan bila dah nak balik, baru nak kejar semua perkara.

Masyarakatnya yang mesra, syeikh-syeikhnya yang bersungguh, budaya ilmu dan talaqqinya yang hidup, yuran pengajiannya yang murah, tambang servis yang murah dan kawan-kawan yang baik sudah pasti akan membuatkan saya tidak akan lupa kenangan dan Syam itu dari memori saya.

Dah tak tahu nak cakap apa. Segala emosi bercampur baur. Yang pastinya, saya sayang bumi berkah ini walaupun apa yang berlaku di dalamnya.

Dubai International Airport

5 Oktober 2011, 3.06 pagi


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.