Penjelasan ringkas tentang hudud, qisas dan takzir

Di negara kita, pengajian Fiqh Jinayat atau kuliah tentang kanun jenayah syariah belum meluas. Pengajian fiqh banyak tertumpu kepada fardhu ain. Lalu ramai orang yang tidak memahami tentang hudud, qisas dan takzir.

Tidak hairanlah ada kenyataan ‘bahaya’ seperti yang dibuat oleh Noor Farida Arifin, jurucakap kumpulan Tokoh Melayu (G25) semalam. Sebenarnya, dia mengulangi alasan sama daripada pihak2 tertentu yang pernah dibuat semasa Kerajaan Terengganu 1999-2004 membentang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas).

Perlu diketahui, hukuman hudud hanya melibatkan 7 kesalahan iaitu zina, mencuri, merompak, meminum arak, qazaf, murtad dan bughoh.
Hukuman qisas pula melibatkan kesalahan membunuh, menghilangkan anggota dan mencederakan.

Rogol memang tidak termasuk dalam kesalahan hudud. Tetapi bukan bermakna perogol itu dilepaskan. Perogol akan dijatuhkan hukuman dalam kategori takzir. Begitu juga sekiranya dalam kes zina tidak dapat dihadirkan bilangan saksi yang ditetapkan, tetapi mempunyai bukti2 lain dalam bentuk qarinah, maka penzina tidak akan dikenakan hudud sebaliknya akan dikenakan hukuman takzir.

Saya tidak pasti Kumpulan Tokoh Melayu (G25) telah mendapat gambaran dan penjelasan yang sebaiknya daripada orang yang berautoriti. Kalau kita sakit, kita jumpa doktor. Kalau kereta rosak, kita jumpa mekanik. Takkanlah dalam bab hudud qisas ni kita tak boleh rujuk ulama. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Saya mengharapkan para asatizah yang ada di Malaysia ni memperhebatkan lagi penerangan supaya semua orang Islam tidak kira apa fahaman politik menyedari hudud qisas adalah ketetapan Allah yang tidak boleh dipertikaikan.

Salah faham trntang aurat

Khutbah jumaat di Selangor semalam bawa isu yang bagus iaitu mengenai aurat. Alhamdulillah, beberapa perkara penting telah disentuh. Tapi, bagi saya ada satu aspek berkaitan aurat yang sepatutnya disentuh dalam khutbah semalam.Aspek yang saya maksudkan ialah salah faham masyarakat terhadap isu aurat.

Ramai yang sudah tahu had2 aurat dan syarat2 yang perlu dipenuhi untuk dikira menutup aurat. Namun daripada pemerhatian, saya kira masih ramai yang keliru kepada siapa aurat perlu ditutup. Saya fokuskan satu perkara yang orang selalu keliru. Orang melayu kita sering beranggapan bahawa aurat perlu dijaga apabila berhadapan dengan orang bukan saudara mara. Apabila dengan saudara mara, tidak apa.

Sebenarnya ini adalah kefahaman yang salah. Bukan kepada semua saudara kita boleh buka bahagian aurat tersebut. Dalam Islam, aurat lelaki adalah sama sahaja walau dengan siapa pun iaitu antara pusat hingga lutut kecuali dengan isteri. Bagi perempuan, ada 3 atau 4 keadaan dalam menutup aurat. Pertama dengan bukan mahram, maka semua tubuhnya adalah aurat kecuali tangan dan muka. Kedua dengan mahram, auratnya adalah antara pusat hingga lutut. Sekiranya menimbulkan fitnah, perlu ditutup bahagian atas. Ketiga dengan wanita bukan Islam (mengikut pandangan sebahagian mazhab), auratnya juga semua kecuali tangan dan muka. Keempat dengan suami, tiada batasan aurat.

Kesilapan selalu terjadi apabila berhadapan dengan bukan mahram kerana ramai yang keliru siapa mahram & siapa bukan mahram. Mahram ialah orang haram kita nikahi. Ada beberapa kategori mahram :
1. Mahram kerana nasab (keluarga) ; antaranya ialah ibubapa, datuk/nenek dan ke atas, adik beradik, anak/cucu dan ke bawah, adik beradik ibubapa (bapa/ibu saudara) dan anak saudara.
2. Mahram kerana susuan iaitu ibubapa susuan dan adik beradik susuan.
3. Mahram kerana perkahwinan iaitu ibubapa mertua, menantu, ibubapa tiri & anak tiri.

Bagi perempuan, kekeliruan berlaku apabila menganggap mereka2 ini adalah mahram, padahal bukan. Antaranya  :
1. Sepupu >> Sepupu adalah anak kepada ibu/bapa saudara. Setengah tempat membahasakan sepupu dengan abang@adik saudara. Walaupun mereka adalah saudara terdekat, tetapi mereka bukan mahram dan halal dinikahi. Aurat perempuan apabila dengan sepupu lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tangan.
2. Ipar (lelaki) >> Walaupun ipar telah menjadi sebahagian daripada keluarga kita, dia tetap bukan mahram. Maka aurat perempuan apabila dengan ipar lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tangan.
3. Biras (lelaki) >> Sama kes seperti ipar.
4. Suami kepada ibu saudara >> Ini memang biasa orang keliru. Suami kepada ibu saudara bukanlah mahram walaupun masyarakat kita akan turut membahasakan suami kepada ibu saudara sebagai bapa saudara. Jadi aurat perempuan apabila dengan suami kepada ibu saudara adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tangan.

Persoalan mahram juga ada berkait rapat dengan hukum bersentuhan/bersalaman antara lelaki dan perempuan. Ini menambahkan lagi nilai kepentingan kita mengetahui siapa mahram kita dan siapa bukan.

Sampaikan walaupun 1 ayat.

#universitikehidupanku

Solat jemaah dan rahmat Allah

Minggu lepas ada beberapa kali solat Asar di Masjid Teras Jernang, jauh sikit dari rumah. Ada sekali tu, saya ternampak satu kaki palsu yg diletakkan dalam saf solat. Tertanya-tanya juga siapa yang punya sebab setakat tengok takde pula yang solat duduk. Dah habis solat, baru tahu rupa-rupanya ada jemaah yg OKU. Sebelah kaki dah takde, tinggal sebelah je. Lebih terkejut lagi, tadi dia solat berdiri dengan sebelah kaki sahaja. Kaki palsu dia itulah yang saya lihat tadi. Wah, kuatnya hati dia!

Terasa kerdil diri saya. Insan yang lemah fizikalnya boleh lagi datang berjemaah di masjid. Solat berdiri pulak tu. Sedangkan saya yang sempurna ni pun kadang-kadang tak complete 5 waktu berjemaah. Masbuq pun boleh tahan.

Betul lah, dapat istiqamah berjemaah di masjid adalah satu rahmat daripada Allah. Kadang2 rumah dah betul-betul di depan masjid/surau, tapi kaki tak mampu untuk melangkah masuk walaupun ada tenaga muda, sihat tidak sakit dan segala kemudahan yang Allah kurniakan.

Mintalah rahmat daripada Allah supaya kita boleh lebih dekat dengan-Nya.

Apa selepas kahwin..

Mengharungi alam perkahwinan bukanlah seperti dalam cerita novel dan drama, semuanya manis dan seronok2 belaka. Ramai yang menyangka apabila selesai akad, maka pasangan akan memahami kita dan akan melayan kita sebaiknya. Lelaki akan beranggapan dia ketua keluarga, maka dia anggap isterinya akan melayan diri, makan dan pakainya. Dia bakal menjadi raja. Perempuan pula akan beranggapan dia telah mempunyai penjaga, maka akan ada yang sentiasa memahami dan mendengar luahan hati. Dia ingin menjadi ratu berhias.

Hakikatnya, selepas kahwin, anggapan yang manis-manis itu hanya seminggu atau sebulan. Selepas itu, akan bermula cabaran tanggungjawab yang banyak melatari kehidupan berumahtangga. Sesiapa yang mencari kebahagiaan diri dalam kehidupan rumahtangga, maka dia akan menunggu sahaja untuk dilayan oleh pasangannya.

Yang betulnya, kitalah yang bawa kebahagiaan dalam rumahtangga. Laksanakanlah tanggungjawab dan bersifat ihsanlah kepada pasangan. Suami fahamilah tugas isteri dan isteri fahamilah tanggungjawab yang dipikul oleh suami. InsyaAllah kemanisan dalam perkahwinan akan dirasai.

Statistik penceraian di Malaysia menakutkan. Unjuran statistik penceraian boleh dibuat hingga ke jam. Sudah ada bilangan pasangan yang bercerai setiap beberapa jam. Nauzubillah min zalik. Fenomena susah berkahwin mudah bercerai makin menguasai suasana. Berbeza dengan apa yang Islam ajar, mudahkan berkahwin dan elakkan bercerai.

Semua pihak perlu kembali ke landasan Islam. Jangan terpengaruh dengan stail Barat & bukan Islam. Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul. Membina keluarga Islam adalah satu tingkatan jihad dalam mendirikan negara Islam.

Detail scan area Bangi

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Terlalu banyak nikmat yang diberi sehingga tak terhitung. Selepas berkahwin 2 tahun lalu, Allah uji saya dan isteri. Kehadiran cahaya mata yang sentiasa ditagih dan dinanti, tidak kunjung tiba. Apakan daya, semuanya kuasa Allah. Sebelum kahwin, biasa juga mendengar orang yang diuji begini. Selepas kahwin, barulah tahu betapa beratnya ujian lambat mendapat zuriat ini. Bulan demi bulan bersabar, akhirnya menjadi tahun. Kami redha. Akan tetapi bila ada soalan-soalan dari orang sekeliling “Bila nak dapat anak?”, sabar dan redha kami terkadang goyah. Kalau tak sabar, saya akan bagi jawapan “esok”. Hehehe…

Namun, alhamdulillah berkat doa ibubapa, adik beradik, sanak saudara dan kawan-kawan, akhirnya yang dinanti tiba jua. Februari 2014 kami mendapat berita gembira kehadiran warga baru keluarga kami dalam rahim isteri saya. Syukur tak terkira. Maha suci Allah yang mengetahui masa yang sesuai untuk memberikan rezeki itu kepada kami.

Selang 2 bulan selepas itu, isteri saya terkena demam campak a.k.a chickenpox. Saya yang tak tahu apa-apa ni tak berasa bimbang. Bila berjumpa doktor di klinik, isteri tanya “Demam campak ni effect kat kandungan tak?” Doktor kata dia tak pasti. Dia minta kami rujuk doktor pakar. So doktor tu buat surat ke Hospital An-Nur untuk kami refer ke sana. Tak lama selepas tu, kami ke An-Nur untuk pemeriksaan lanjut. Menunggu memang lama sikit lah kat An-Nur ni. Orang ramai pakat berebut nak jumpa doktor pakar lah katakan.. Doktor kat situ bagitahu ada kemungkinan effect kat baby. Tapi buat masa ni tak boleh tengok lagi sebab baby masih kecil lagi. Tak nampak sebarang kecacatan masa scan. Kena tunggu baby besar sikit. Masa bayar kat kaunter tu, terkejut lah juga. Kena RM 200++. Huh!

So bila buat survey, masa yang paling baik untuk buat detail scan baby adalah dalam tempoh minggu 24-28. Kalau lepas minggu 28, baby dah besar, kalau scan pun, payah nak nampak. So kami tunggu lah untuk buat pada masa yang sesuai. Hospital pun tak terima kalau kandungan lebih 28 minggu.

Kat Bangi ni ada beberapa tempat yang buat detail scan. Hospital An-Nur, Hospital Az-Zahrah, Klinik Salam Seksyen 7 dan Klinik Najwa Seksyen 3. Ni yang setakat saya tahu. Mungkin ada lagi tempat lain. Wallahua’lam. Kebanyakan tempat ni, bukan doktor kat tempat tu yang buat. Tapi orang luar yang ada lesen buat detail scan akan pergi ke tempat-tempat tu dan buat detail scan.

Mengenai bayaran pula, kalau kat An-Nur konfem RM 200++. Kalau kat Az-Zahrah RM210 untuk pakej detail scan 2D + scan 4D, CD akan diberi sekali. Klinik Salam saya tak ingat cas bayarannya. Klinik Najwa pula RM 160 untuk   untuk pakej detail scan 2D + scan 4D. Asalnya kami buat appoinment untuk buat detail scan kat Az-Zahrah setelah survey kawan-kawan yang ada pengalaman. Katanya servis bagus. Appoinment tu dibuat pada tarikh baby dalam usia 28 minggu. Nak dijadikan cerita, seminggu sebelum appoinment, Az-Zahrah call bagitahu appoinment batal. Mulalah kami pening kepala sebab Az-Zahrah hanya buat detail scan seminggu sekali pada petang Selasa. Kalau kami tak buat minggu tu, dah tak boleh buat minggu seterusnya sebab baby dah 29 minggu.

Try call An-Nur. An-Nur buat detail scan hampir setiap hari. Tapi waktu petang sahaja. Call An-Nur, depa kata dah penuh. Akhirnya saya pergi lah ke klinik Najwa Seksyen 3. Alhamdulillah, Allah mudahkan. Pergi hari Rabu, buat appoinment detail scan hari Sabtu. Siap bagitahu pukul berapa lagi. Memang mudah. Klinik Najwa buat detail scan hari Sabtu. Tapi bukan setiap minggu, ia bergantung kepada jadual semasa. Lepas confirmkan yang buat scan tu adalah perempuan, saya terus setuju appoinment pukul 10 hari sabtu.

Tiba harinya, sekali lagi ucap syukur. Sebab yang buat scan tu adalah muslimah. Lagi rasa tenang. Isteri pun suka. Dah selesai, bayar RM160, siap dapat CD video + gambar2 scan. Murah kan? Lepas tu, orang klinik tu tanya nak print tak gambar tu, dia bagitahu sekeping RM 12 (yg ni mahal sikit). Dia bagitahu kebetulan ada gambar cantik. Aku setuju je lah. Tambah lagi RM 12. Kesemuanya RM 172. Masa sampai kat rumah, baru terfikir ada hikmah juga appoinment kat Az-Zahrah batal. Dapat jumpa tempat yang murah dan puas hati.

I Prefer Tan Sri Khalid

Antara isu yang famous di Selangor sekarang ni ialah isu pertukaran MB. Tanpa ada angin, tanpa ada ribut, tiba2 nak tukar MB. Walaupun asalnya PRK Kajang tempohari adalah mukadimah untuk menggulingkan MB Tan Sri Khalid, langkah tersebut dilihat tempang apabila calon asal, DSAI didapati bersalah dalam kesnya.
Kalau di Terengganu, MB nya juga ditukar. Tetapi umum di Terengganu tahu betapa tindakan menukar MB adalah sangat wajar kerana kepimpinan Mat Said yang tidak bervisi apatah lagi berwawasan. Pemikiran kampung dan lapok tak sesuai bagi seorang MB. Kalau dibiar lama, kerajaan BN Terengganu boleh tumbang. Lalu DS Najib gantikan dengan seorang yang berimej kemas dan lebih baik daripada Mat Said.
Berbeza keadaannya di Selangor. Di bawah kepimpinan TSKI, pelbagai pencapaian yang dicapai oleh negeri Selangor. Pencapaian tersebut dapat dirasai oleh rakyat seluruhnya. Kejayaan tersebut dapat menjadi bahan kempen PRU 13 sehingga PR mendapat kemenangan besar di Selangor. Kejayaan-kejayaan ini menjadikan rakyat selesa dan merasakan tidak ada keperluan untuk tukar kerajaan negeri.
Namun apabila PKR bermesyuarat Isnin lepas dan mengemukakan Kak Wan sebagai pengganti MB, rakyat biasa akan tertanya-tanya.
“Kenapa perlu ditukar?”
“Kalau ditukar, kenapa dengan orang yang lebih lemah gaya pentadbirannya?”
“Apa kelemahan TSKI yang teruk sangat sampai kena tukar?”
Mungkin sidang media PKR ada menjawab. Kak Wan akan membawa lebih kestabilan kepada PR. Dia juga ada pengalaman ketua pembangkang, Presiden PKR pulak tu.
Semua alasan ini tidak kuat untuk menjawab persoalan yang bermain di minda rakyat. Alasan umum seperti yang diberikan tidak cukup untuk menjustifikasikan perlunya pertukaran tersebut. Memang diakui, ada kelemahan sedikit pentadbiran TSKI khususnya berkaitan pengurusan sampah. Tetapi tidak pernah didedahkan punca sebenar kelemahan tersebut.
Apapun alasan PKR, saya masih lagi bersama dengan majoriti rakyat Selangor untuk memilih untuk mengekalkan TSKI sebagai MB Selangor.

Malam akhir Ramadhan

Hari ni dah 26 Ramadhan. Ramadhan dah makin menghampiri hujungnya. Ulama dan para solihin memanfaatkan pengakhiran Ramadhan dengan sebaiknya.
Lailatul Qadar menjadi buruan dan misi mereka. Mereka seolah olah tenggelam dalam nikmat dan kelazatan beribadah. Masa yang ada cukup pantas dirasakan berlalu.
Namun apa jadi dengan kita. Semakin penghujung Ramadhan, semakin kendur kekuatan kita memburu bonus daripada Allah. Terawih ditinggalkan lantaran shopping raya. Qiamullail ditinggalkan lantaran World Cup dah habis, tiada lagi penarik utk kita bangun. Kadangkala sahur pun tidak bangun.
Oh! Jauhnya kita dengan orang- orang soleh. Jauhnnya kita dengan para tabi’in. Jauhnya kita dengan para sahabat… Ya tuhan, ampuni kami.

Kebesaran Allah

Manusia sering menagih dan mengharap sesuatu di dunia ini. Semua harapan yang didamba dilihat daripada kacamata makhluk yang terbatas.

Contoh yang paling biasa dan mudah difahami ialah kebanyakan manusia mahu menjadi kaya. Punya harta yang banyak lantas memudahkan kehidupan. Berdoa setiap hari moga ditambah rezeki dan harta. Namun bukan semua yang dipinta akan dimakbulkan oleh Allah. Tidak semua yang minta menjadi kaya akan kaya. Sebabnya Allah tahu yang terbaik buat kita.

Mungkin jika kita dikurniakan kekayaan, kita lebih jauh daripada Allah. Mudah sombong dan takabbur. Mungkin juga mudah menjadi bakhil. Kepada yang Allah belum makbulkan doanya, percayalah bahawa Allah tahu apa yang terbaik buat hambanya. Tugas kita terus berusaha dan berdoa.

PERKARA-PERKARA BERKAITAN DENGAN KELAHIRAN BARU

Cahaya mata merupakan anugerah daripada Allah. Kurniaan yang berharga daripada Allah ini amat menggembirakan manusia tidak kira apa bangsa, agama mahupun negara. Dalam Islam, anak juga adalah amanah daripada Allah untuk dididik dan dibentuk dengan ajaran Islam supaya mereka berjaya bukan setakat di dunia, malah di akhirat. Ia adalah salah satu bentuk ujian yang dihantar oleh Allah kepada kita sebagai manusia.

Sebagai orang Islam, kita mempunyai cara tersendiri untuk menyambut kelahiran baru. Ramai orang tidak mengetahui perkara ini kerana perkara ini tidak diajar di sekolah mahupun universiti kecuali pelajar-pelajar dalam bidang agama.

Secara ringkasnya, ada 6 perkara yang perlu diketahui oleh ibubapa khususnya lagi untuk bapa selaku ketua keluarga dalam hal menyambut kelahiran baru. Ia adalah azan & iqamah selepas kelahiran, tahnik, cukur rambut, menamakan anak, akikah dan khatan. Saya akan perjelaskan secara ringkas satu persatu di bawah.

1.AZAN DAN IQAMAH

Ibnu Abbas telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengazankan di telinga kanan cucunya Hasan bin Ali dan mengiqamahkannya di telinga kiri di hari kelahirannya. Ini adalah contoh kepada kita bagaimana kita menyambut kelahiran berteraskan Islam. Azan & iqamah yang dilaungkan bukanlah sekuat bilal melaungkan azan, tetapi secara perlahan ke telinga bayi. Banyak hikmah yang digariskan oleh ulama daripada amalan ini yang boleh kita lihat sendiri daripada kitab-kitab ulama muktabar.

2.TAHNIK

Tahnik dalam masyarakat melayu kita dikenali dengan istilah “belah mulut”. Dalam Islam, tahnik adalah perkara sunat untuk dilakukan selepas kelahiran bayi. Ia dilakukan dengan pentahnik mengunyah buah tamar, kemudian menggosok kurma yang dikunyah itu ke gusi bayi dengan menggunakan jari. Gerakkan jari ke kanan dan kiri dengan lemah lembut sehinggalah mulut bayi tersebut dapat merasai kurma yang dimamah tadi. Sekiranya tiada buah tamar, ia boleh digantikan dengan manisan-manisan yang lain bagi mengikut sunnah Rasulullah SAW. Digalakkan juga untuk kita meminta orang-orang yang soleh untuk mentahnik bayi kita dengan harapan anak itu akan menjadi soleh seperti orang tersebut.

3.CUKUR RAMBUT

Cukur rambut disunatkan untuk dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi. Kepala bayi dicukur lengkap keseluruhannya. Kemudian, disunatkan untuk ditimbang berat rambut tersebut untuk ibubapa bersedekah nilai emas atau perak berdasarkan timbangan rambut tersebut kepada yang memerlukan. Hari ini, telah terbukti dari segi kesihatan bahawa mencukur rambut bayi adalah baik untuk bayi, walaupun banyak juga ibubapa yang ‘sayang’ rambut tersebut. J

4.MENAMAKAN ANAK

Banyak hadis yang diriwayatkan  tentang bila waktu sesuai untuk dinamakan anak tersebut. Dalam satu  hadis, Rasulullah bersabda : “Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya.” Hadis ini menunjukkan Rasulullah meminta menamakan anak pada hari ketujuh.

Di dalam satu hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda : “Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki malam tadi, maka aku namakannya Ibrahim.” Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah telah menamakan anaknya pada hari pertama.

Ada beberapa lagi hadis lain yang menunjukan kepelbagaian waktu untuk memberikan nama kepada anak. Maka ulama berkata waktu untuk memberi nama kepada anak amat luas. Pilihlah mana-mana waktu yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Adapun nama bayi tersebut, pilihlah nama-nama yang membawa maksud yang baik, janganlah dipilih nama yang buruk. Tidak boleh juga memberi nama yang khusus untuk Allah seperti Rahman, Samad, Ahad dan sebagainya yang boleh dilihat dalam Al-Asma’ul Husna. Sekiranya hendak menamakan sebegitu, perlu diletak perkaraan Abdul yang membawa maksud hamba.

Nama yang ingin diberi kepada anak eloklah dibincang secara elok oleh ibu dan bapa. Namun, Islam memberi kuasa pemutus kepada bapa sekiranya berlaku perselisihan dan khilaf antara ibu dan bapa.

5.AKIKAH

Akikah bermaksud menyembelih bintang ternakan sempena kelahiran anak baru. Ia disunatkan untuk dibuat pada hari ketujuh kelahiran. Sekiranya tidak boleh, buat pada hari ke-14. Sekiranya tidak boleh, buat pada hari ke-21. Sekiranya tidak boleh, boleh dibuat pada hari-hari lain.

Disunatkan menyembelih 2 ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor kambing untuk anak perempuan. Tulang-tulang binatang tersebut disunatkan untuk tidak dipatahkan atau dipotong samada semasa melapah mahupun semasa makan. Semuanya dikerat dibahagian sendi dan bukan dipatahkan.

6.BERKHATAN

Jumhur Ulama mengatakan bahawa berkhatan adalah wajib bagi orang Islam. Rasulullah SAW telah mengkhatankan cucunya Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran. Adalah lebih baik kanak-kanak dikhatankan semasa waktu kecil sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap cucu-cucunya. Ia dapat mengelakkan rasa malu kanak-kanak sekiranya dilakukan ketika dia sudah membesar. Walaupun mungkin ini adalah perbuatan yang asing dalam masyarakat kita hari ini berikutan ramai yang berkhatan ketika usia menginjak remaja.

Sokong Hudud

Hari ni baca berita budak 10 tahun dilanggar dari belakang ketika berbasikal ke sekolah agama, dirogol dan ditoreh perutnya.

Geram!!! Biasanya hukuman pesalah hanya penjara dan sebatan. Jenayah tidak berhenti. Dalam Islam, pesalah ini diisytiharkan musuh negara, dipotong tangan dan kaki bersilang. Hukuman disiarkan kepada orang ramai supaya penjenayah takut dan bakal penjenayah batalkan hasratnya.

Jika anda penjenayah saya rasa mustahil anda akan pilih undang2 Islam. Tapi jika anda mangsa atau ibu bapa mangsa atau saudara mangsa atau orang menyelami perasaan mangsa atau orang simpati kepada mangsa, maka anda akan pilih undang2 Islam dan kata padan muka kepada penjenayah yang dihukum.

Tapi kalau anda ahli politik yang ekslusif, berfikir dari kerusi empuk, atau seorang eksekutif yang duduk dalan bilik aircond, tidak menyelami perasaan mangsa, maka anda akan kata, potong tangan dan kaki terlalu keras.

Apapun, saya harap isu2 masyarakat ini jangan tenggelam dengan PRK Kajang. Abaikan isu2 kontroversi kajang. Jom tumpu isu masyarakat.

Ustaz Zaharudin Muhammad.
Ketua Penerangan PAS Pusat.