Ahli Akademik Malaysia Kurang Terbit Buku

KUALA LUMPUR 3 Jun – Tahap intelektual di Malaysia masih rendah berbanding negara-negara membangun lain ekoran kurangnya penerbitan tulisan akademik yang bermutu daripada ahli akademik di negara ini.

Menurut bekas Timbalan Naib Canselor Kajian dan Akademik Universiti Malaya (UM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, salah satu petunjuk intelektual sesebuah negara bergantung kepada jumlah tulisan akademik bermutu yang dihasilkan oleh ahli akademik di negara itu.

Selain itu, kerancakan perbahasan terhadap sesuatu bahan akademik di sesebuah negara juga menjadi pengukur kepada tahap intelektual sesebuah negara itu.

“Saya berasa kesal kerana kurangnya penerbitan bahan-bahan berbentuk akademik di negara ini sedangkan kita memiliki ramai ahli akademik yang berkaliber.

“Selain itu, sikap kurang minat terhadap bahan seperti ini menjadikan pengeluaran bahan bacaan berbentuk akademik menjadi begitu terhad,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku tulisannya bertajuk ‘Tawhid and Science’, edisi kedua, di Kelab Diraja Selangor, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid; Pengerusi Eksekutif Arah Pendidikan, Tan Sri Abdul Rahsid Hussain dan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Rafiah Salim.

Osman juga mencadangkan agar ahli akademik di Malaysia menghasilkan tulisan berbentuk akademik agar dapat membantu meningkatkan tahap intelektual serta dapat membantu mempelbagaikan bahan bacaan di negara ini.

Ditanya mengenai buku tulisannya itu, beliau berkata, buku itu adalah berkenaan pandangan Islam terhadap pembangunan sains dan teknologi.

Beliau berkata, terdapat beberapa buah syarikat dari luar negara berminat untuk menterjemah buku edisi kedua itu ke bahasa Cina, Arab dan Bosnia.

Beliau memberitahu, buku edisi pertama berjaya diterjemah ke beberapa bahasa lain seperti bahasa Parsi, Turki dan Indonesia.

Selain itu, buku edisi pertamanya juga menjadi bahan rujukan di beberapa buah universiti di Amerika Syarikat dan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

“Saya berharap buku ini akan dianalisis dan dikritik dari segi pemikiran supaya saya dapat memperbaiki segala kelemahan serta persoalan yang timbul,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s