PAS Telah Runtuhkan ‘Tembok Besar’

Islam yang menghantarkan syariatnya yang agung, menebarkan keadilan, kesaksamaan, melindungi semua nilai kehidupan. Justeru itu jika orang bukan Islam mendapat maklumat dan gambaran yang benar mengenai Islam, nescaya mereka tidak akan membina pelbagai prasangka, ketakutan, kebencian dan sebagainya terhadap Islam.

Inilah sebenarnya cabaran yang dihadapi oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS, sebuah lajnah pimpinan Dr. Mujahid Yusuf Rawa yang semakin mendapat perhatian dari masyarakat bukan Islam, terutamanya selepas PRU Ke-12 baru-baru ini.

“Sambutan yang diterima oleh Lajnah ini sangat menggalakkan,”kata Dr. Mujahid ketika menyampaikan ucapannya di Ijtimak PAS Selangor di Shah Alam baru-baru ini.

Menurutnya, hampir setiap hari ada saja rombongan masyarakat bukan Melayu menemuinya atau menemui timbalannya, Dr. Halimah Ali dan AJK Lajnah tersebut yang lain. Mereka menyatakan sokongan kuat terhadap perjuangan PAS untuk menegakkan keadilan, kesaksamaan dermokrasi dan prihatin terhadap rakyat. Sambutan ini lebih ketara selepas PRU Ke-12.

Inilah sebenarnya cabaran besar yang dihadapi bukan saja oleh Lajnah Perpaduan Nasiaonal PAS, tetapi juga kepimpinan dan pendukung PAS seluruhnya. Justeru kerana inilah saat yang sangat dinanti-nantikan bagi PAS untuk menebarkan dakwahnya kepada masyarakat bukan Islam. Dan tentunya wajah Islam yang mereka kemukakan kepada masyarakat Islam bukanlah berwatak bengis, keras dan tidak bertoleransi dan sebagainya.

Sejak puluhan tahun imej PAS sentiasa dikaburkan oleh gambaran buruk musuh PAS bahawa parti ini adalah parti pelampau yang menolak sebarang kerjasama dengan bukan Islam, bahkan ada ketikanya PAS digambarkan sebagai Taliban atau pelampau Islam yang bersedia untuk memusnahkan sesiapa.

Namun semua gambaran ini telah berakhir seperti yang tergambar dalam suasana PRU Ke-12 baru-baru ini. Pengundi bukan Islam berbondong-bondong menyokong PAS, membawa lencana dan bendera PAS di tengah-tengah perarakan dan sepanjang kempen piihan raya.

Bahkan kelihatan di luar pusat mengundi di banyak tempat, pengundi bukan Islam berbual mesra dengan petugas PAS. Semua suasana ini tidak pernah berlaku di sepanjang sejarah pilihan raya di Malaysia.

Kata Dr. Mujahid, PAS telah meruntuhkan tembok paling besar dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS seluruh negara. PRU Ke-12 baru-baru ini, katanya, ialah isyarat bahawa rakyat menolak politik tradisional yang berbentuk perkauman.

“Ini trend baru politik di Malaysia. Mereka mahukan perubahan, bukan perkauman,” katanya.

Tentulah semuanya ini memberi kesedaran maksima kepada seluruh pendukung PAS untuk mengubahsuai strategi parti, bukan dasar, untuk mendekati masyarakat bukan Islam, dengan strategi baru yang berkonsepkan bahawa keadilan dan kesaksamaan Islam itulah yang perlu ditonjolkan.

Almarhum Ustaz Fadzil Muhd Noor pernah menyebutkan di dalam Ucapan Dasarnya yang bersejarah di Muktamar Tahunan PAS di Taman Melewar hampir 10 tahun lalu bahawa, “walaupun PAS sentiasa bersikap terbuka, toleransi, pro-persahabatan dengan sesiapapun, namun PAS tetap berada dalam orbit Islam.”

Kata-kata ini sewajarnya menjadi renungan dan membuat pendekatan berdasarkan analogi bekas Presiden PAS itu. Ucapannya itu sebenarnya mengajak pendukung PAS semua peringkat supaya membuat garis pemisah yang jelas walaun nipis, sampai di mana kita bertoleransi dan terbuka dan sampai di mana pula ia mesti berpegang teguh dengan asas perjuangan PAS.

Garis pemisah ini tentunya tidak menyukarkan gerak kerja Lajnah Perpaduan Nasional yang dipimpin oleh Dr. Mujahid dan juga pendekatan yang digunakan oleh semua pendukung PAS terhadap masyarakat bukan Islam. Saya agak lama mengenali Dr. Mujahid dan dapat membaca buah fikirannya.

Beliau seorang tenaga pemikir di dalam PAS bersama Dr. Zulkifli Ahmad dan sejumlah intelektual yang ada di dalam PAS. Para tokoh ini, bersama-sama pimpinan PAS yang lain, khususnya Presiden PAS, Dato? Seri Abd Hadi Awang, tentunya sangat memahami persoalan ini.

Memang ada andaian atau persepsi bahawa sokongan pengundi bukan Melayu ini ‘hanya bersifat sementara’, iaitu pada ketika mereka marah terhadap Barisan Nasional. Hujah ini boleh dibalas, bahawa apapun di dalam kehidupan ini semuanya bersifat sementara.

Sokongan rakyat terhadap BN selama puluhan tahun inipun bersifat sementara dan kini sudahpun berakhir. Jika tidak bersifat sementara masakan pengundi bukan Melayu itu menarik balik sokongan mereka terhadap BN pada PRU Ke-12 ini. Pada hal di sepanjang kempen PRU Ke-12 itu BN telah menaburkan pelbagai bantuan, janji dan pelbagai lagi.

Justeru itu pada kesempatan yang sangat baik ini, PAS mestilah memperlihatkan wataknya seperti pemerintahan Umar Al-Khatab yang sangat adil, toleransi, peduli rakyat dan sebagainya. Para pendukung PAS perlu merobah sikap bahawa mereka bukan lagi sebagai pembangkang, tetapi sebagai pihak kerajaan, terutamanya di lima buah negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Mereka mestilah ramah dan pedudi rakyat, bersikap simpati dan gemar menolong tanpa mengira bangsa dan agama. Mereka mestilah memancarkan sikap Islam yang sangat adil, terbuka dan bertolak ansur. Tetapi memahami dengan mendalam garis pemisah yang saya sebutkan di atas tadi.

Jika pendukung PAS berjaya melaksanakan tugas penting ini bermakna mereka benar-benar mengisi hendak Islam, malah kehendak politik kontemporari. Dan tentunya pendukung PAS telah menolong usaha dan pendekatan yang dilakukan oleh lajnah pimpinan Dr. Mujahid ini.

Bagaimanapun di samping PAS ‘membelai’ masyarakat bukan Islam, ia jangan sekali-kali melupakan pengundi Melayu yang menjadi akar undi kekuatan mereka selama ini.

Ertinya kedua-duanya mestilah diberi perhatian sungguh-sungguh. Justeru kerana pengundi Melayu masih melihat PAS memperjuangkan Islam, kerana itu mereka menyokongnya.

Di sinilah sekali lagi ditegaskan relivensinya Ucapan Dasar Almarhum Ustaz Fadzil Muhd Noor itu bahawa ‘kita masih tetap berada di orbit Islam’.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s