Kembalikan Sistem Ekonomi Islam

Sebagaimana yang kita semua maklum, krisis yang berlaku di dalam negara kita sekarang adalah bertitik tolak daripada sistem ekonomi yang bersifat kapitalis. Sistem ini mempunyai percanggahan dengan ekonomi Islam yang disebut di dalam firman Allah S.W.T :

 

 “Apa Yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa Dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan Yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”                                                                                                                     (Al-Hasyr : 7)

 

Dari sudut lain, sistem ini lebih menekankan pembangunan syarikat-syarikat swasta berkonsepkan “hidup syarikat,hidup rakyat”. Ini kerana apabila banyak syarikat-syarikat diwujudkan di dalam negara, ia dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. Apabila ekonomi syarikat-syarikat ini semakin kuat, maka ekonomi rakyat juga bertambah kuat.

 

Apabila kita melihat dari sudut risiko, rakyat akan terkapai-kapai apabila syarikat-syarikat ini mengalami masalah. Musuh-musuh lebih senang menyerang ekonomi kita dengan cara memfokuskan serangan kepada syarikat-syarikat yang menjadi tempat penggantungan rakyat. Apabila syarikat-syarikat ini ‘menggulung tikar’ masing-masing, maka rakyat akan terkapai-kapai tanpa pergantungan.

 

Tambahan pula, sistem ekonomi ini mendorong syarikat-syarikat swasta bergantung kepada insentif, peruntukan, projek kerajaan dan harta rakyat. Apabila kerajaan lemah, syarikat akan lemah seterusnya rakyat juga akan lemah.

 

Manakala dalam sistem Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar al-Khattab, kekuatan yang diutamakan ialah kekuatan rakyat. Syarikat-syarikat besar tetap juga wujud atas kekuatan ekonomi rakyat. Walaupun terdapat musuh-musuh negara seperti penyangak mata wang dan seumpamanya, mereka tidak berpeluang dan tidak dapat melemahkan ekonomi negara dengan menyerang syarikat-syarikat kerana kekuatan sebenar ekonomi negara berkubu di dalam diri rakyat.

 

Suntikan modal mestilah disalurkan kepada rakyat terutamanya kepada golongan fakir miskin melalui sistem Islam seperti zakat dan lain-lain. Apabila ekonomi rakyat jelata kuat, maka ekonomi kerajaan juga akan kukuh dan kuat, seterusnya syarikat akan dapat diwujudkan oleh rakyat melalui kekuatan mereka sendiri, bukan diwujudkan oleh kerajaan atau pihak luar yang dikenali sebagai pelabur pada hari ini.

 

Daripada perbandingan ringkas di atas, kita dapati antara percanggahan sistem kapitalis dengan sistem ekonomi Islam ialah masalah prioriti atau keutamaan. Apa yang perlu ditekankan untuk difahami ialah Islam tidak menolak dan menghalang kewujudan dan pertumbuhan syarikat-syarikat swasta tetapi rakyat mesti diutamakan berbanding syarikat dan harta rakyat tidak boleh diberikan kepada syarikat swasta sewenang-wenangnya. Oleh itu, Islam lebih menitik beratkan agihan harta negara untuk rakyat berbanding syarikat.

 

Dari sudut yang lain pula, sistem ekonomi kapitalis mewujudkan ketidakseimbangan antara ekonomi rakyat dan kerajaan. Melalui sistem ini, wujudnya kerajaan yang kaya tetapi rakyatnya adalah miskin seperti negeri Terengganu pada suatu masa dahulu, dimana kerajaan berada di kedudukan kedua negeri terkaya tetapi rakyat Terengganu adalah kedua termiskin di Malaysia.

 

Manakala sistem Islam pula dapat menjauhkan ketidakseimbangan ekonomi antara rakyat dan kerajaan. Rasionalnya ialah jika kerajaan miskin semasa rakyat kaya, kerajaan mampu memaksa rakyat melaksanakan tugas mereka membantu kerajaan seperti membayar zakat, jizyah dan seumpamanya. Oleh itu, keseimbangan mampu diwujudkan.

 

Dalam sistem kapitalis, jika kerajaan kaya semasa rakyat miskin sebagaimana negeri Terengganu pada suatu masa dahulu, rakyat tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kekuatan untuk memaksa kerajaan melaksanakan tugas mereka seperti mengagihkan zakat untuk rakyat miskin, mengagihkan sumber kekayaan negeri (royalti petroleum) kepada rakyat. Oleh itu, sistem kapitalis ini boleh mewujudkan jurang antara orang kaya dan orang miskin serta mewujudkan jurang antara ekonomi rakyat dan ekonomi kerajaan.

 

Dalam isu taufan Katrina yang melanda New Orleans di Amerika Syarikat suatu ketika dahulu contohnya, jelas menunjukkan kelemahan dan ‘tidak berkebajikan’ sistem ekonomi kapitalis. Kerajaan dan syarikat-syarikat swasta yang menjadi tonggak kekayaan negara Amerika Syarikat terlalu lambat menghulurkan bantuan kerana ketiadaan untung disebaliknya. Fenomena ini menyebabkan berlaku jenayah rompak, curi, rogol dan seumpamanya yang berleluasa di kawasan bencana. Ini adalah kesan daripada ekonomi kapitalis yang tidak berkebajikan dan kesan daripada tidak melaksanakan hukum-hukum Allah S.W.T.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s