Negara Berkebajikan, Bukan Perniagaan

Sebagai cadangan penyelesaian kepada isu kenaikan harga, sama ada minyak, beras, barang-barang keperluan dan sebagainya, seharusnya ada pihak khususnya kerajaan berusaha untuk mewujudkan Negara Berkebajikan.

 

Apa yang dimaksudkan di sini ialah mewujudkan semangat patiotik di kalangan rakyat berasaskan Islam. Apa yang dirasakan kekurangan pada masa ini ialah asas dan titik tolak semangat patriotik itu dipupuk. Atas asas apakah semangat ini dipupuk dan daripada titik manakah semangat ini dimulai?

 

Fenomena sekarang menyaksikan seolah-olah semangat patriotik hanyalah setakat mengibarkan bendera Malaysia, menjerit merdeka, menyanyikan lagu negaraku dan berdiri ketika mendengarnya. Tetapi adakah wujud individu-individu yang sanggup memegang jawatan dalam negara tanpa subsidi tanpa gaji dan tanpa elaun daripada kerajaan? Sanggupkah mereka berkorban untuk negara (atas semangat Islam) tanpa mendapat apa-apa imbuhan? Kenyataaan bekas Menteri Penerangan satu ketika dahulu, Dato’Abdul Kadir Sheikh Fadzil yang membidas sesetengah syarikat termasuk yang besar kerana tidak meyumbang satu sen pun dalam meraikan Hari Kemerdekaan jelas menunjukkan asas dan titik tolak semangat ini sudah terpesong. Keghairahan mereka –mereka yang berpangkat tinggi mengejar peluang kekayaan membuktikan lagi kegagalan ini.

 

Apa yang perlu dilihat ialah kegagalan ini bukan masalah individu semata-mata, tetapi kegagalan ini adalah hasil kelahiran sistem yang dibentuk berdasarkan nilai komersial, bukan semangat Islam yang sanggup berkorban apa sahaja demi negara atas perintah Islam.

 

Bertitik tolak daripada pendidikan yang dilingkungi nilai-nilai komersial, akhirnya melahirkan individu-individu komersial. Apabila individu ini menjawat jawatan dalam kerajaan, pemikiran mereka adalah pemikiran komersial yang mementingkan keuntungan berbanding kebajikan, bahkan pemikiran mereka dilingkungi fahaman “kebajikan yang bertitik tolak daripada nilai komersial” dan “tiada wang, tiada kebajikan”. Tidak hairan jika setiap graduan yang keluar daripada universiti-universiti dan mula menjejakkan kaki ke alam pekerjaan hanya menumpukan perhatian hidup untuk melunaskan hutang –piutang mereka semasa belajar. Mereka merasakan tiada sebab untuk mereka berterima kasih kepada kerajaan kerana mereka perlu berhutang untuk mencapai kejayaan akademik. Apabila-graduan-graduan yang menjadi aset negara tiada sebab untuk berterima kasih kepada kerajaan, bagaimana sifat patriotik sebenar dapat dilahirkan? Bahkan sistem seperti ini hanya mampu melahirkan individu-individu bersifat patriotik sekadar mengibarkan bendera semasa hari kebangsaan dan hanya sanggup menjawat jawatan kerajaan kerana gaji dan elaun yang lumayan.

 

Jika fenomena ini berterusan, tidak hairan jika pada suatu hari kelak Malaysia menjadi negara peniagaan, bukan negara berkebajikan kerana golongan yang menerajui kerajaan adalah golongan yang ‘berfikiran komersial’.

 

Kerajaaan yang tidak berkebajikan hanya pandai membebankan rakyat apabila berlaku krisis dan mereka hanya tahu berhutang ketika negara ketiadaan wang. Kita tidak boleh mendakwa individu yang memimpin kerajaan ini tidak bijak kerana mereka mungkin lebih bijak dan lebih cendiakawan tetapi kebijaksanaan dan kepintaran yang ada pada mereka digunakan untuk meringankan tugas mereka apabila berlaku sesuatu krisis dan memastikan rakyat terus bersepsi positif terhadap mereka bagi mengekalkan kuasa. Oleh itu kita tidak hairan, apabila berlaku kenaikan harga minyak dunia, kebijaksanaan mereka ini digunakan bagi memastikan mereka tidak terkesan dengan fenomena ini dengan menaikkan elaun dan memastikan projek-projek terus berjalan melalui suntikan keuntungan minyak untuk modal syarikat-syarikat, bukan digunakan bagi meringankan beban rakyat dengan menambahkan subsidi minyak untuk rakyat.

 

Kebajikan kerajaan untuk rakyat dan kebajikan rakyat untuk kerajaan kerana Islam adalah bertitik tolak daripada pendidikan dan Tarbiah Islamiah. Melalui kebajikan kerajaan sebagaimana ajaran Islam, ia mampu mewujudkan sebab-sebab yang banyak untuk rakyat berterima kasih kepada kerajaan. Daripada sini lahirnya kekuatan negara hasil gabungan individu yang sanggup berkorban untuk negara kerana Islam walaupun terpaksa menggadaikan diri mereka sendiri. Bahkan semangat patriotik ini bukan didorong oleh imbuhan atau pendapatan di sebalik khidmat yang dicurahkan untuk negara, tetapi semangat ini lahir hasil keimanan kepada Allah dan keyakinan kepada janji Allah di hari akhirat. Inilah jaminan iman yang memastikan rakyat dan pemimpin sentiasa berkebajikan.

 

Dari sini juga lahirnya pemimpin-pemimpin negara yang bersifat kebajikan bukan bersifat perniagaan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar bin Abd Aziz yang berubah daripada seorang yang mewah kepada orang biasa apabila beliau dilantik menjadi khalifah, iaitu pemimpin tertinggi negara. Melalui sistem ini, barulah wujudnya negara yang kuat kerana bersandarkankepada kekuatan dan kesatuan rakyat, bukan bersandarkan kepada syarikat-syarikat yang kuat sebagaimana yang diterangkan oleh Dr Badawi Abd Latiff, seorang pakar ekonomi Islam.

 

Rujukan : Kertas Kerja “Kenaikan Harga Minyak : Pandangan Berasaskan Islam” oleh Ust Zaharuddin Muhammad.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s