Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad

Sebagai pelapis kepada pemimpin dan pendokong gerakan Islam, kita perlu memiliki muasofat (ciri-ciri) yang membezakan kita dengan orang lain. Sudah pasti perbezaan yang dimaksudkan ialah perbezaan positif dan kelebihan. Sahabatku mencadangkan, sebagai mahasiswa Islam kita perlu mengutamakan budaya membaca sebagai usaha dalam menjana kesarjanaan ilmu dan thaqofah.

Menghabiskan minima  1 buku dalam masa sebulan merupakan targetku kini dalam menyahut seruan tersebut. Biarlah sesibuk manapun, insyaAllah budaya ini cuba diterapkan dalam kamus hidup.

 

Potret Perjuangan Mahasiswa

Buku Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad merupakan buku tulisan Ust Riduan Mohd Nor, Exco Pemuda PAS Pusat. Buku ini ditulis bagi menjelaskan secara realiti sejarah perjuangan mahasiswa lantaran banyak tohmahan yang dibuat kepada golongan mahasiswa sekarang. Tohmahan yang dibuat adalah kerana didasari dengan maklumat yang tidak betul dan tidak tepat. Ust Riduan selaku bekas aktivis mahasiswa sememangnya mempunyai kelayakan dalam menghamparkan sejarah dengan lebih tepat memandangkan pernah bergelumang secara langsung dalam dunia perjuangan mahasiswa.

 

Cerminan Dekad 60an

Realiti Malaya pada dekad 60an adalah bagaikan bayi yang baru dilahirkan dan baru melihat dunia kerana baru melepasi undang-undang darurat(1948-1960). Berdasarkan dimensi baru ini, mahasiswa memberikan harapan kepada masyarakat berdasarkan keintelektualan yang ada pada mereka. Isu-isu kebajikan diberikan keutamaan lantaran kerajaan pada ketika itu masih memberi perhatian yang serius terhadap keselamatan dan ancaman komunis dan melepas pandang soal sosio-ekonomi.

 

Sudut pidato yang diperkenalkan di Universiti Malaya berjaya melahirkan pemimpin mahasiswa yang memberi anjakan besar pada dekad ini. Banyak peristiwa-peristiwa dalam dan luar negara yang mempengaruhi gerakan mahasiswa lantas memperkasakan pemikiran dan jatidiri mereka. Isu konfrontasi Indonesia kepada Malaysia, peristiwa Hamid Tuah, peristiwa 13 Mei, kes Red Guard di Cina, pembunuhan Che Guevara di Bolivia dan peristiwa gerakan mahasiswa sosialis di Perancis merupakan faktor  yang memberi kesan kepada dunia mahasiswa Malaysia. Satu perkara yang mesti diketahui ialah gerakan dan fahaman sosialis banyak melatari potret perjuangan mahasiswa pada waktu itu. Kesedaran Islam masih tipis dan mereka hanya menumpukan penekanan kepada isu-isu kebajikan dalam mengecilkan perbezaan sosio-ekonomi masyarakat Malaysia pada waktu itu.

 

Cerminan Dekad 70an

Selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, parti PAS telah bersetuju untuk menyertai pakatan kerajaan. Ini menyebabkan hilangnya peranan check and balance yang selama ini dimainkan oleh PAS. Tun Razak telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menjadikan perpaduan dan permuafakatan sebagai tema kepimpinannya bagi mengelak kejadian 13 Mei berulang semula. Berikutan itu, tokoh mahasiswa penghujung 60an, Anwar Ibrahim telah menubuhkan ABIM pada 1971 sebagai NGO yang menggantikan peranan PAS. Anwar mampu membawa mahasiswa ke hati masyarakat apabila menunjukkan simpati kepada golongan-golongan miskin. Peristiwa yang paling nyata ialah Demonstrasi Baling 1974. Mahasiswa telah berjaya mengumpul penduduk-penduduk Baling untuk bangkit menunjuk perasaan kepada kerajaan terhadap nasib mereka. Tidak cukup dengan itu, mahasiswa turun sekali lagi di Masjid Negara selepas itu bagi tujuan yang sama. Peristiwa ini menjadi ukiran sejarah yang penting dalam dunia mahasiswa kerana peristiwa ini telah membangkitan semula mahasiswa selepas terkesima seketika akibat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diperkenalkan pada 1971. Peristiwa ini juga menjadi turning point kemunculan gerakan pelajar Islam yang menggantikan fahaman sosialis yang selama ini melatari dunia idealisme mahasiswa. Slogan-slogan “Kembali Kepada Al-Quran”, “Islam is a Way of Life”, “La Syarqiah La Gharbiah” mula mengambil tema perjuangan mahasiswa dalam dekad ini. Badan Dakwah Kampus atau Persatuan Pelajar Islam mula mengalami rangsangan dan tarikan kepada aktivis-aktivis pelajar. Masyarakat kampus mula memberikan sokongan kepada kelompok pelajar Islam dalam pilihanraya kampus apabila kelompok sosialis gagal menampilkan sakhsiah kepimpinan yang baik, begitu juga dengan kepimpinan nasionalis yang dilihat berada dalam ketempurungan etnik.

 

Cerminan Dekad 80an

Dasawarsa 80an merupakan dekad yang penuh dengan kejutan dan ketidakseimbangan. Aura perubahan politik memberi impak kepada gerakan mahasiswa. Revolusi Iran yang tercetus pada penghujung 70an telah mempengaruhi seluruh dunia Islam dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup. Ia telah memberikan tambahan kekuatan kepada mahasiswa Islam setelah kumpulan ini diberi tempat yang istimewa dalam masyarakat kampus selepas Peristiwa Baling 1974. Namun begitu, mahasiswa mengalami kegoncangan apabila ikon penting mahasiswa Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada 1982. Penyertaan ini telah memecahkan pendokong gerakan mahasiswa kepada 3 kelompok besar. Ada kelompok menetang Anwar dan terus menyokong PAS, ada yang menyokong Anwar menyertai UMNO dan ada yang mengambil jalan tengah dengan menubuhkan kumpulan baru ABIM Perlis. Pada 1984, PAS telah membuat anjakan kepimpinan apabila memperkenalkan “Kepimpinan Ulama’”. Dasar ini sedikit sebanyak telah mengimbangi kekalutan akibat penyertaan Anwar ke UMNO. Ikon baru mahasiswa telah berganti kepada “Fenomena Haji Hadi”. Fenomena ini merupakan satu kejayaan baru gerakan Islam dalam mencorak pemikiran mahasiswa. Program-program dakwah dan tarbiah mula mewarnai dunia kampus. Generasi haraki dibentuk dan diukir hasil daripada anjakan kepimpinan ulama dan fenomena Haji Hadi. Pernah terjadi isu purdah di UTM yang akhirnya menatijahkan Setiausaha Agung PMUTM Ahmad Lutfi Othman dibuang kampus kerana membela mahasiswi yang berpurdah.

 

Walaupun begitu, pihak kerajaan turut mengaktifkan budaya hiburan liar apabila kerap mengadakan konsert-konsert di kampus. Mahasiswa telah bangkit menentang budaya ini dengan beberapa siri demonstrasi menyekat konsert dilaksanakan. Bumi Universiti Malaya kerap menjadi saksi terhadap tindakan mahasiswa ini.

 

Selain itu, dekad 80an juga menayangkan perselisihan gerakan Islam kampus dalam yang agak ketara dalam mengkaderkan mahasiswa sehinggakan berlaku perpecahan dan peperangan antara kumpulan-kumpulan mahasiswa Islam. Ia adalah kesan yang paling besar dialami akibat kemasukan Anwar ke dalam UMNO. Secara ringkasnya, tindakan Anwar Ibrahim pada tahun 1982 telah mempengaruhi secara serius 10 tahun berikutnya terhadap gerakan mahasiswa sama ada positif mahupun negatif.

 

Cerminan Dekad 90an dan Alaf Baru

Mahasiswa telah secara aktif terlibat dalam landskap politik masyarakat Malaysia. Keterlibatan ini menjadikan gerakan ini matang dan berwibawa. Antara yang diingati ialah demonstrasi bantahan kemasukan pasukan kriket Israel di Masjid Ar Rahman 1997. Demonstrasi ini telah berjaya mendapat perhatian negara-negara umat Islam yang lain dalam menentang sebarang usaha mengiktiraf entiti negara haram Israel dalam peta dunia. Selepas itu, mahasiswa bersama-sama rakyat menggerakkan reformasi dalam mengubah watak kerajaan susulan daripada kes pemecatan Anwar Ibrahim. Namun begitu, suasana reformasi ini dimandulkan oleh kerajaan pada waktu itu dengan beberapa akta dan tindakan. Penggunaan ISA secara berleluasa, pengenalan Akujanji, akta OSA, AUKU yang sering dilaung-laungkan dan pelbagai lagi usaha dibuat oleh kerajaan. Ia ditambah lagi dengan penglabelan militan terhadap golongan agama selepas peristiwa 11 September 2001 di New York. Tidak ketinggalan juga dalam tragedi Sauk dan penahanan anggota KMM kerana dianggap pengganas. Gerakan mahasiswa yang ditunjangi oleh mahasiswa Islam telah dimandomkan oleh kerajaan secara total dengan seluruh jentera yang dimiliki. Kumpulan mahasiswa proAspirasi (pro kerajaan) telah mengambil tempat secara paksa dengan perancangan berat sebelah daripada kerajaan. Campurtangan kerajaan ini telah menimbulkan budaya takut kepada mahasiswa. Antara yang diingati ialah kes tangkapan ISA kepada Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Fuad Ikhwan yang dikaitkan dengan pembakaran Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya. Biro Tatanegara dan Minggu Orientasi Mahasiswa dijadikan medan oleh kerajaan dan pihak universiti dalam menanam benih-bebih kebencian kepada mahasiswa Islam. Keadaan berterusan sehinggan sekarang.

 

MAHASISWA DAN PERUBAHAN

Antara perkara menarik dalam buku tulisan Ust Riduan ini ialah nama-nama aktivis mahasiswa yang dikemukakan oleh beliau. Rata-rata yang disebut itu amat sinonim dengan pendokong perubahan masyarakat Malaysia sekarang. Nama seperti Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Ibrahim Ali, Mustapha Kamil Ayub, Ust Idris ahmad, Ahmad Lutfi Othman, Takiyuddin Hassan, Husam Musa, Saifudin Nasution dan Khalid Samad merupakan antara pencorak utama landskap politik dan budaya masyarakat Malaysia sekarang dalam memartabatkan Islam dan keadilan.

 

Selepas membaca buku ini, dapat aku simpulkan bahawa kata-kata yang dilaungkan oleh Pak Nasir adalah benar dan tepat : “Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dari hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan, lalu diterima dan didukung oleh Ummat”.

 

p/s -: Sekadar infomasi untuk tatapan bersama ;;;

Anwar Ibrahim ( Mantan Presiden Pers.Bahasa Melayu Universiti Malaya – kini Penasihat PKR)

Mohamad Sabu (Aktivis Mahasiswa UiTM – kini Naib Presiden PAS)

Ibrahim Ali (Presiden Pers.Mahasiswa UiTM – kini Ahli Parlimen Pasir Mas)

Ust Idris Ahmad (Presiden Pers. Mahasiswa UKM – kini AJK PAS Pusat)

Ahmad Lutfi Othman (SU Agung Pers.Mahasiswa UTM – kini Ketua Pengarang Harakah)

Takiyuddin Hasan (Presiden Pers. Mahasiswa UM – kini Exco Kerajaan Kelantan)

Husam Musa (aktivis Mahasiswa UM – kini Exco Kerajaan Kelantan)

Saifudin Nasution (Presiden Pers.Mahasiswa UPM – kini Ketua Perancang Strategik PKR)

Khalid Samad (Mahasiswa Islam USA – kini Ahli Parlimen Shah Alam)

 

Baaaaaanyak lagi..ni hanya sebahagian

One thought on “Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad

  1. teringat tahun lepas, aku ada menyertai jamaah dalam siri demo BERSIH anjuran NGO dan parti politik. Padahal aku ada paper penting keesokkan hari. Sempat jgk merasai air water canon. haha.. mungkin tu je sumbangan kecil aku ke arah pembaharuan. sekurang2 aku merasai bagaimana sejarah tercipta. salam..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s