Sekadar Menulis…

Oleh PakBelalang

A
Amat menarik apabila membaca berita Setiausaha Agung DAP saudara Lim Guan Eng beserta barisan exco Pulau Pinang berbuka puasa dengan pimpinan Pas Pulau Pinang di sebuah restoran di Seberang Jaya. Ternyata satu perkembangan baru daripada beberapa perubahan yang diambil oleh sebuah parti yang dikatakan chauvinis china ini. Dalam masa yang sama Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengumumkan akan menubuhkan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri yang ditadbir DAP itu.

Sebelum itu banyak juga penekanan diberikan yang berkaitan dengan hal ehwal Islam di sana. Pada mulanya orang melayu ramai yang terkedu dan tidak kurang juga yang teruja apabila Lim Guan Eng ingin mencontohi pemerintahan Umar Abdul Aziz dalam pentadbirannya. Apakah itu strategi politik jangka panjang DAP atau naluri Lim Guan Eng yang beliau sendiri mempunyai jawapannya.

Tapi bukan itu (cerita Lim Guan Eng) yang ingin saya utarakan disini. Sebelum saya melanjutkan perbincangan ini, saya memohon kemaafan andainya tulisan saya ini ingin dianggap sebagai mengajar orang yang lebih arif lagi bijaksana. Saya hanya insan fakir lagi hina, saya cuma ingin menyatakan apa yang ada dalam fikiran beserta iman yang sedikit dengan hati yang ikhlas,

Apa yang ingin saya kongsi bersama ialah tentang Pas sebagai sebuah partai politik Islam dan gerakan dakwah tersohor di Malaysia di kala ini. Sebelum PRU 12, Pas tidak bersama DAP tetapi selapas pilihan raya itu Pas, DAP, dan PKR berganding bahu mentadbir negeri terutama di Perak dan Selangor dalam gagasan politik Pakatan Rakyat (PR).

Sebagai sebuah gerakan Islam, selain berpolitik Pas juga berperanan menyebarkan dakwah bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada orang bukan Islam. Bagi saya kerja dakwah adalah tanggungjawab setiap muslim yang berjalan seiringan dengan aktiviti manusia baik berpolitik mahupun kegiatan ekonomi atau sosial.

Saya terkejut apabila membaca berita yang mengatakan bahawa Lim Guan Eng sendiri yang bertanyakan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang tentang majlis berbuka puasa. “Walaupun dengan nada bergurau tetapi hal itu diambil peduli oleh Pesuruhjaya Pulau Pinang” maka apa yang mereka janjikan itu, dengan izin ALLAH SWT peristiwa tersebut menjadi kenyataan.

Ini adalah satu contoh dakwah yang berkesan apabila mengajak orang bukan Islam mendekati cara hidup dan amalan Islam. Soalnya kenapa perkara yang besar itu dimulakan oleh orang bukan Islam. Sepatutnya perkara sebeginilah yang diambil perhatian oleh Pas untuk memperkenalkan Islam apatah lagi sudah dalam satu gagasan PR. Mereka itulah lebih hampir kepada kita kerana sudah menjadi kawan walaupun belum rapat tetapi kita harus punya inisiatif untuk merapatkan diri dan memperkenalkan siapa kita kepada kawan dalam berpolitik tetapi musuh dalam memperjuangkan ideologi.

Saya tertarik dengan penegasan Setiausaha Agung DAP yang membuat rumusan dalam kongresnya baru-baru ini menyatakan bahawa DAP tetap memperjuangkan konsep negara sekular. Apa yang menarik di situ ialah sikap tegas, berani, dan berterus terang. Tapi nampaknya sikap yang sama tidak dipaparkan dalam muktamar Pas baru-baru ini. Mungkin pimpinan Pas tidak mahu Pas kehilangan populariti dan mengamalkan kaedah mengenalkan Islam secara perlahan-lahan. Kalau begitu inilah bagi saya masanya menjalankan kerja-kerja dakwah.

Saya bukanlah arif dengan kaedah-kaedah dakwah tetapi saya faham bagaimana Nabi Muhammad SAW mempunyai ciri-ciri sebagai pemimpin dalam setiap bidang. Baginda mempunyai 4 sifat mulia yang kita semua tahu dan salah satunya ialah sifat Fatanah (cerdik). Kecerdikan itu menjadi nadi untuk menarik orang Islam mahupun bukan Islam mengenali dan mendekati agama Islam. Banyak peluang yang terhidang kepada pendakwah-pendakwah dan juga Mujahid Islam.

Semasa saya mengerjakan umrah beberapa tahun lepas, di hotel penginapan saya terjumpa sebuah buku kecil perihal Ibadah Umrah. Bila saya perhatikan penerbitnya adalah parti PKS (Parti Keadilan Sejahtera) Indonesia beserta dengan lambangnya. Sungguh jauh buku itu terbang tapi sangat berkesan kepada orang yang membacanya. Bagus betul pendekatan yang diambil oleh PKS ini.

Saya bersetuju dengan keputusan Majlis Syura Pas yang memberi restu Muqabalah dengan UMNO. Di sini nampak Pas telah melebarkan sayapnya berdakwah dengan UMNO dan saya sangat bersetuju apabila Dato’ Seri Presiden menegaskan bahawa Pas setia dengan Pakatan Rakyat. Di sinipun Pas boleh melebarkan sayapnya berdakwah dengan DAP, PKR dan mana-mana parti yang ingin menjadi anak beranak PR. Bukankah kenyataan Setiausaha Agung Pas ingin menjadikan Pas sebagai ‘Player Marker’ dalam PR.

Sekali lagi saya mohon maaf. Wallahu ‘Alam

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s