Ke Mana Halatuju Dakwah Kita

 Selesai menyampaikan kuliah disurau MBPJ, seorang pemuda yang berambut panjang, dan memakai rantai di tengkoknya (bukan rantai Emas) telah menyapaku. Aku amat pasti, dia adalah antara puluhan pemuda yang mendengar kuliah zohorku itu. 

Mungkin aku tidak terlalu mahir dengan dunia artis dan hiburan di Malaysia. Yang mana, pemuda yang menegur itu memperkenalkan dirinya dan menyatakan bahawa dia adalah seorang artis yang bekerja sebagai penyanyi.  

Aku terkejut. Rupa-rupanya antara yang bersedia mendengar ulasanku tentang sirah nabi itu adalah soerang artis.  Kami berbual. Berkisar tentang dunia artis dan hiburan. Dia menyebut, bahawa dia telah bertaubat dari menyanyi lagu-lagu yang melalaikan. Sambil itu menyerahkan kepadaku satu CD album yang dia buat. Dia menyebut, dia sedang berusaha hendak menghasilkan satu album yang bercorak ketuhanan. Aku sangat-sangat mengalu-alukan cita-citanya itu. 

 

ISLAM DAN ARTIS 

Setelah berjumpa dengan artis tersebut (tak perlu disebut namanya), aku minta izin untuk balik kerumah. Dia tersenyum seakan-akan memahami aku kesibukan sedikit.

Aku berkata kepadanya bahawa aku ingin berkawan dengannya dan ingin mendalami perasaan dan jiwa seorang artis. Dia tidak membalas permintaanku, tetapi sekadar melemparkan senyum sahaja. 

Semasa dalam perjalanan pulang, aku terfikir tentang artis-artis ini dikala Islam memerintah Malaysia. Apa yang pasti, setelah berjumpa dengan artis tadi, aku sudah mula berfikir bahawa mereka bukanlah orang yang bencikan Islam, tetapi mereka agak lemah mendapat pendedahan islam.  

Kelemahan itu, kadangkala bukan kerana mereka tidak mahu mendampingi orang-orang agama, tetapi disebabkan gerak geri dan tindak tanduk orang-orang agama menjadi penyebab utama mereka agak mengasingkan diri dari agama. 

Kebiasaannya pendakwah-pendakwah kita sering memberikan gambaran bahawa Islam adalah agama yang sering menutup sahaja, sedangkan jika dikaji secara mendalam terhadap islam, islam bukanlah satu agama yang terus menutup segala ruang hiburan, tetapi islam mengharamkan satu bentuk hiburan, kemudian menyediakan bentuk hiburan yang tidak terlarang. 

Pada fikiranku, inilah kelemahan yang perlu difikirkan oleh setiap pendakwah-pendakwah di Malaysia kini. 

Justeru itulah, aku amat tidak bersetuju apabila ada sebilangan dari pihak islam yang menyerang secara kekerasan terhadap satu program, tetapi dalam masa yang sama tidak pernah menganjurkan program yang mempunyai bentuk yang agak sama, tetapi telah diedit agar bentuknya itu tidak bercanggah dengan islam. 

APA PATUT KITA BUAT 

Aku bimbang dengan cara yang sedang diamalkan ini akan melahirkan golongan yang memberontak terhadap agama, yang seterusnya mereka menyerang agama sehinggakan mereka menjadi musuh Islam. 

Mereka menjadi musuh Islam, bukan kerana mereka tidak mahukan islam, tetapi mereka menjadi musuh islam disebabkan mereka benci dengan sikap sebilangan pendakwah-pendakwah yang pada kiraan mereka bertindak konservatif. 

Aku pernah mendengar satu ceramah yang disampaikan oleh Presiden Parti Sosialis Malaysia, Dr Nasir Hashim. Dalam ceramah, beliau ada menyebut bahawa karl marx melahirkan kata-kata bahawa “agama adalah candu” lantaran melihat keadaan golongan agama kristian (paderi) yang kaya raya, tetapi dalam masa yang sama rakyat mereka papa kedana kemiskinan. 

Mendengar ulasan itu, aku berfikir. Alangkah indahnya jika karl marx ini hidup di zaman nabi SAW, yang beliau sendiri akan melihat bagaimana kebaikan, keadilan dan kebajikan islam yang telah baginda lakukan, yang padaku, sekiranya karl marx lihat semua ini, sudah pasti Karl Marx tidak akan mengeluarkan satu ungkapan yang sesat menyesatkan itu. 

Itu masa lampau. Yang lebih aku bimbang, apabila lahirnya manusia-manusia seperti Kasim Ahmad yang sudah mula berani mempertikaikan kandungan Hadis Nabi SAW, Salman Rushdi yang mula mempertikaikan kenabian Muhammad SAW.  

Kalau kita membaca tulisan-tulisan Kasim Ahmad, kita akan dapat satu kesimpulan, bahawa beliau merupakan seorang yang memberontak. Memberontak dikala beliau ingin  mengenali Allah. Disebabkan kelemahan dari pihak Islam yang agak lemah untuk memberi jawapan yang memuaskan mereka, menyebabkan mereka menjadi orang yang menolak islam. 

Aku kira, dalam hal ini, bukan kasim Ahmad sahaja yang perlu dipersalahkan, tetapi pendakwah juga perlu dipersalahkan.  

SIKAP PENDAKWAH KINI 

Aku dapat merasakan, pendakwah-pendakwah kini lebih memfokuskan dakwah mereka kepada skop yang terlalu kecil. Dakwah mereka masih lagi berlegar dikalangan umat Islam, masjid dan surau sahaja. Apabila diajak agar melebarkan ruang dakwah kepada non Muslim, mereka agak kurang boleh menerimanya. 

Berbagai-bagai alasan yang dikemukakan. Antara alasan yang masyhur, “kalau orang islam sendiri pun belum lagi mahu pegang islam, kenapa kita nak letih-letihkan diri kita untuk dakwah non Muslim”. 

Padaku, ini merupakan alasan yang terlalu dangkal. Alasan yang berasaskan satu kefahaman yang diciplak daripada barat. 

Apakah mereka tidak melihat, bahawa di zaman Nabi terdapat orang kafir dan orang Munafiq. Walaupun terpaksa menghadapi orang Munafiq yang mengaku islam, dakwah Nabi SAW kepada non Muslim tetap diteruskan.  

Lantaran itulah, lahirnya sahabat-sahabat nabi yang digelar sebagai “al-ansori” yang ketika itu sudah lahir orang-orang munafiq di madinah. Menunjukkan, dakwah nabi SAW kepada Non Muslim tetap diteruskan, walaupun disana terdapat orang-orang Islam yang tidak mahu kepada Islam. 

PENUTUP 

Sebagai pendakwah, tidak selayaknya kita membataskan dakwah Islam kita kepada sesame muslim sahaja, bahkan perlu ada satu perancangan yang cukup rapi dalam melakukan dakwah islam kepada non muslim. 

Begitujuga kepada para artis, tidak selayaknya kita menutup terus lubang-lubang hiburan kepada mereka, tetapi sudah sampai masanya kita mengemukakan bentuk hiburan yang dibenarkan dalam islam, walaupun mereka masih lagi dengan rentak rock, Hip Hop dan sebagainya. 

Kepada pihak yang berkuasa pula, sewajibnya mereka menyediakan kursus-kursus disamping menyediakan peruntukan perbelanjaan dalam mengelolakan usaha dakwah ini.  

Pihak pendakwah pula, tidak boleh merasakan diri mereka telah terselamat dengan semata-mata mereka sudah hebat berceramah dan berkuliah di masjid dan surau. Apa yang perlu difikirkan oleh pendakwah adalah, berkawan dengan golongan-golongan yang tidak sealiran dengan kita, agar dari situ menjadi permulaan dalam menyampaikan islam kepada mereka. 

Semua ini akan berjaya, sekiranya kita bermula dengan kesungguhan. Tetapi jika ini tidak dilakukan, dibimbangi tanggungjawab ini akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat nanti. 

Sekian 

Wallahu ‘Alam 

Al-Bakistani

http://one-g.blogspot.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s