Mana Dulu: Bangunkan Manusia Atau Bangunan?

Sejarah telah melakarkan kepada kita banyak ideologi telah dicipta oleh manusia yang bermatlamatkan kebahagiaan manusia itu sendiri. Ada isme-isme ini dicipta berdasarkan kepada kekuatan ekonomi dan tidak kurang juga dicipta atas dasar kebebasan individu. Namun, sejarah juga telah  menunjukkan kepada kita bahawa semua isme-isme atau ideologi tersebut telah berkecai walaupun hebat pada kaca mata manusia. Komunisme contohnya telah diasaskan dengan satu prinsip iaitu kunci kekuatan tamadun manusia adalah kekuatan ekonomi. Kemuncak kegemilangan komunisme adalah dengan pembentukan Kesatuan Soviet yang merupakan terbesar dunia pada ketika itu yang sangat sukar dicabar. Walaubagaimanapun, tidak sampai satu abad kerajaan Soviet telah musnah malah telah dikalahkan oleh sebuah Negara kecil Chechnya dalam satu peperangan. Apa yang perlu dikoreksikan oleh kita semua adalah apakah sebab semua isme-isme ini hancur dengan begitu mudah?

 

Tidak lain tidak bukan ialah semua isme-isme tersebut sama ada komunisme, sosialisme, kapitalisme, pragmatisme atau globalisasi tidak mempunyai nilai kemanusiaan sepertimana yang ada dalam diri manusia sendiri. Malah sebab yang lebih utama kegagalan mereka ialah mereka telah membelakangkan saranan dan arahan dari Allah S.W.T yang menciptakan alam ini. Islam yang dilakarkan oleh Allah sendiri telah menetapkan bahawa perkara pertama yang perlu dibangunkan kepada manusia ialah pembangunan diri manusia itu sendiri.

 

Pembangunan manusia adalah mengisi diri manusia dengan ketaatan kepada Allah S.W.T sama ada berbentuk ibadah khusus atau bidang-bidang lain seperti ekonomi, undang-undang, kebudayaan, politik, pendidikan dan sebagainya. Seperti yang kita sedia maklum, Islam yang sampai kepada kita hari ini telah lengkap dan sempurna. Maka tidak perlu lagi kita memikirkan dan mencipta teori-teori baru yang mungkin pada sangkaan akal kita, ia adalah lebih baik. Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah mengisi norma masyarakat kita dengan apa yang telah ditetapkan Islam. Islam menyediakan kita pakej yang sempurna dan tiada cacat untuk mencapai kehidupan yang baik sama ada di dunia mahupun akhirat. Umat Islam terdahulu telah membuktikan keagungan pasti akan ditempa andainya masyarakat mengamalkan Islam sepenuhnya. Hasil program pembangunan manusia acuan Islam, umat Islam telah menjadi kuasa besar dunia untuk tempoh 1300 tahun lamanya. Perkara ini merupakan satu sejarah yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah manusia akhir zaman.

 

Jika perhalusi peristiwa yang dirakamkan pada ayat ke 30-37 surah al-Baqarah, ia mengajar kepada kita banyak perkara. Setelah Nabi Adam dicipta dan Allah ingin melantik baginda sebagai khalifah bumi, berlaku bermacam-macam peristiwa antaranya persoalan yang ditimbulkan oleh malaikat dan keingkaran yang telah dilakukan oleh iblis. Malaikat bertanya kepada Allah apakah sebab Allah melantik manusia sebagai khalifah bumi padahal manusia itu bersifat suka merosakkan dan sering bermusuhan dan menumpahkan darah sesama mereka sedangkan para malaikat sentiasa bertasbih, memuji dan menyucikan Allah. Iblis pula enggan dan ingkar kepada Allah apabila diperintah oleh Allah untuk sujud kepada Adam. Semua peristiwa ini Allah tunjukkan kepada Adam untuk memberikan Adam ‘nilai’ dan mengajar Adam erti ketaatan. Selepas didedahkan kepada nilai ini, nabi Adam kemudiannya dibawa ke dalam syurga. Di situ lah nabi Adam diuji ketaatannya dengan sebuah pohon yang dinamakan pohon al-Khuldi. Ujian yang Allah berikan itu bertujuan untuk mengajar kepada baginda batas-batas dan sempadan maksiat. Tidak syak lagi bahawa batas tiu ialah keingkaran kepada perintah Allah. Nabi Adam telah gagal dengan ujian tersebut dan dicampakkan oleh Allah dalam keadaan tanpa seurat benang pun. Peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak penciptaan Adam sehinggalah baginda dibuang ke dunia menunjukkan kepada kita bahawa faktor utama dalam program Allah kepada manusia ialah pembinaan diri manusia itu sendiri terhadap ketaatan kepada Allah.

 

Sirah Rasulullah juga menunjukkan kepada kita perkara yang sama. Apakah sebab Allah menghantar nabi Muhammad di sebuah negeri yang kering-kontang, masyarakatnya amat teruk dan banyak keruntuhan moral di kalangan mereka? Mengapa Allah tidak menghantar Rasulullah ke bumi Syam yang kaya dengan gandum atau ke Mesir yang sudah mempunyai tamadun pada waktu itu atau ke India yang kaya dengan segala macam penciptaan ataupun ke Rom dan Parsi yang merupakan kuasa besar dunia pada waktu itu? Mengapa jua Allah tidak memilih bumi yang subur seperti negeri Kedah yang sesuai dengan pertanian atau negara Teluk yang kaya dengan minyak atau negeri-negeri lain yang mempunyai potensi yang besar untuk pesat maju? Rahsia ini lah yang perlu kita cungkil untuk kita memastikan kita berada pada landasan hidup yang betul. Rasulullah telah memulakan dakwahnya dengan program yang diacu oleh Allah. Baginda telah membina akidah para pengikutnya bahawa tiada sesuatu pun yang berkuasa kecuali Allah. Akidah ini telah melahirkan satu ketaatan yang padu pada diri sahabat-sahabat dan ini membuatkan mereka berkorban apa sahaja demi Islam sama ada harta mereka mahupun jiwa mereka sendiri. Akhirnya Islam gemilang walaupun tiada jet pejuang yang paling canggih, stadium yang paling besar atau bangunan-bangunan pencakar langit. Islam telah mengajar kita bahawa apa yang penting ialah kita beramal menurut apa yang ditetapkan Allah. Perkara kemajuan lain akan didorong oleh naluri manusia itu sendiri. Andai manusia panas, mereka akan mencari sesuatu yang sejuk. Andai mereka inginkan tempat yang selesa untuk tidur, mereka akan membina rumah. Jika mereka ingin berpasangan, mereka akan mencari pasangan yang secocok dengan mereka. Manakala kalau mereka inginkan sesuatu yang memudahkan mereka dalam sesuatu urusan, mereka akan mencipta alat-alat yang canggih bagi menyenangkan hidup mereka. Perkara ini tetap akan ada walaupun perkara ini tidak diberi keutamaan kerana ia datang dari naluri.

 

Islam tidak menghalang kemajuan atau kepesatan ilmu dan perkembangannya sebaliknya menegaskan bahawa segala apa yang dilakukan di atas bumi ini mestilah mengikut apa yang dicatatkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Andai perkara ini terjadi, maka akan lahirlah satu tamadun yang pasti tidak akan tercabar oleh tamadun-tamadun lain dalam sejarah peradaban manusia. Buktinya pun sudah ada. Ketika Islam berkembang ke seluruh dunia dan meliputi hampir 70% bumi ini, umat Islam telah berjaya melahirkan tamadun Islam yang amat gemilang. Ilmu astronomi, ilmu perubatan, ilmu matematik khususnya algebra, ilmu sains, ilmu barkaitan dengan arkitek, ilmu geografi dan ilmu kejuruteraan semuanya dilahirkan oleh ulama’-ulama’ Islam. Siapa yang tidak kenal dengan Ibnu Sina dalam ilmu perubatan dan siapa yan tidak kenal dengan Jabir al-Hayyan dalam ilmu matematik? Pemuka-pemuka ini adalah antara ulama’-ulama’ yang telah mengemukakan contoh tamadun yang terbaik iaitu tamadun Islam. Mereka juga telah membuktikan Islam mampu memerintah walaupun terdapat masyarakat majmuk dalam sesebuah tempat. Islam tidak menghalang kemajuan sebaliknya menetapkan manusia itu perlu dibangunkan terlebih dahulu sebelum perkara-perkara lain.

 

Dalam keadaan haru-biru masyarakat dunia sekarang, sepatutnya ramai lebih sedar bahawa penyelesaian kepada semua masalah ialah kembali kepada Islam. Katakan tidak kepada liberalisme dan globalisasi yang ditaja oleh barat. Teori ini tidak lain kecuali menggelapkan lagi masa depan manusia sejagat yang memang gelap andainya berterusan menolak Islam.

 

Marilah sama-sama kita percaya seterusnya melaksanakan program pembangunan manusia yang telah diukir cantik oleh pencipta alam ini sendiri iaitu Allah S.W.T. Manusia mungkin akan maju dari segi material seandainya memilih program selain dari yang Allah tetapkan. Akan tetapi jiwa mereka akan kosong dan seterusnya mereka akan rosak binasa dan pada akhirnya mereka akan dapati kemajuan yang diperolehi itu hanya seperti habuk yang diterbangkan angin.Tiada keuntungan yang akan diperolehi. Orang yang berjaya adalah sesiapa yang taat kepada Allah dan akur dengan perintah-Nya. Marilah kita membangunkan manusia !

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s