Negara Islam – Sanggahan Kepada Sekularis

Orang-orang yang berfahaman sekular totok bersepakat untuk menghalang kewujudan sebuah negara Islam. Ini adalah lantaran daripada persepsi yang salah dan gambaran yang tidak sepatutnya  mengenai negara Islam yang dibuat oleh mereka. Ini berpunca daripada asas pemikiran yang dibina tidak sepertimana yang Islam kehendaki.

 Mereka mengatakan bahawa negara Islam adalah Negara Agama. Negara agama pada pandangan mereka ialah gambaran sebuah negara yang ditadbir oleh ‘golongan agama’ sepertimana yang berlaku kepada zaman gelap Eropah di mana pihak gereja terlibat dalam pemerintahan negara. ‘Golongan agama’ tersebut sering membuat alasan terhadap tindakan mereka : “Ini adalah arahan dari langit dan mereka adalah wakil daripada kerajaan tuhan”. Mereka juga menyalahtafsirkan ungkapan “Hakimiah Allah” yang dibuat oleh Abul A’la  al-Maududi dan Syed Qutub dengan mengatakan bahawa menjadi kewajipan untuk negara Islam menjadi sebuah negara agama sepertimana ‘Negara Gereja’ yang digunakan ketika pertengahan abad dahulu. Mereka juga berpandangan bahawa negara ini akan dipegang dan dikuasai oleh ‘golongan agama’. Dalam sistem ini, hanya ‘golongan agama’ yang boleh menggubal perlembagaan, membuat tafsiran undang-undang dan tafsiran agama melalui pandangan jumud mereka. Pandangan mereka ini hanya diasaskan dengan kitab-kitab lama, tradisi yang lapuk dan tidak langsung melihat kepada kemajuan dan sudut yang lebih futuristik.

 

Kesemua dakwaan mereka itu sebenarnya tidak diperintahkan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran dan tiada dalil yang mampu membuktikan perkara tersebut. Sebaliknya apa yang benar ialah negara Islam merupakan sebuah negara yang maju dan progresif sepertimana membangunnya negara-negara yang maju sekarang. Satu-satunya perkara yang membezakan antara negara Islam dan negara-negara maju sekarang ialah sumber dan panduan dalam mentadbir negara ialah Syariah Islamiah.

 

Apakah makna kemajuan negara?  Ia memberi makna negara ini tertegak dan diasaskan atas dasar pilihan al-Quwwah dan al-Amanah, pemimpin yang berkaliber, kebebasan rakyat dalam memilih pemimpin mereka yang akan membuat dasar (dengan panduan Ilahi). Setelah itu, pemimpin itu mesti mendirikan sistem syura dan mesti mendengar pandangan rakyat dan Syura yang telah dibentuk, bukan hanya terikat kepada pandapatnya sahaja. Dalam sistem negara Islam juga, rakyat mempunyai tanggungjawab sendiri. Nasihat menasihati adalah satu perkara yang fardu kifayah kepada semua rakyat dan menjadi fadhu ain kepada orang Islam khususnya.

 

Dalam Islam, pemimpin itu adalah manusia biasa, tidak maksum dari dosa dan tidak suci daripada sebarang kesalahan. Ini dapat dilihat daripada kata-kata Saidina Abu Bakar ketikamana dilantik sebagai khalifah. Katanya “Sesungguhnya aku dilantik untuk menjadi pemimpin kamu semua, tetapi aku bukanlah yang terbaik dikalangan kamu” Begitu juga dengan kata-kata Umar Abd Aziz: “Aku hanyalah orang biasa seperti kamu, Cuma apa yang membezakan ialah aku memikul amanah yang paling berat antara kamu semua”. Begitulah kedudukan pemimpin dalam Islam, mereka bukalanh pemerintah secara mutlak (tidak boleh disanggah) seperti diktator, tetapi mereka terikat dengan panduan-panduan yang telah ditetapkan oleh Islam. Syariat dijadikan untuk hukum hakam dan peraturan-peraturan tertentu telah dibuatkan untuk memandu mereka memerintah. Semua ketetapan ini bukanlah direkacipta oleh pemimpin-pemimpin tersebut, bukan juga digubal oleh penyokong-penyokong mereka sebaliknya diwahyukan oleh Allah kepada nabiNya. Ketetapan ini tidak boleh ditolak oleh pemimpin tersebut begitu juga penyokong mereka ataupun ianya tidak boleh hanya diambil separuh dan ditinggal separuh yang lain dengan membuat mana yang suka dan tinggalkan mana  yang tidak menguntungkan.

 

Selain pemimpin, di sana adanya rakyat yang memilih pemimpin tersebut. Mereka berperanan sebagai check and balance, membetulkan ketika pemimpin melakukan kesilapan lebih-lebih lagi sekiranya ia melencong dari fahaman Islam. Malah mereka berhak untuk memecat mana-mana pemimpin yang telah menyimpang dari arahan Islam dan arahan agama. Mereka juga dibenarkan untuk mengingkari arahan-arahan pemimpin sekiranya arahan itu menjurus ke arah maksiat dan keburukan, malah itulah yang sepatutnya dan semestinya.

 

Dalam sejarah Islam, kita tidak pernah melihat seorang pun khalifah ‘mengangkat’ diri dan meminta orang lain menyanjung diri mereka. Sebaliknya, apa yang kita tahu ialah mereka merendah diri dan meminta supaya rakyat menasihati dan memberi teguran kepada mereka. Ini dapat dilihat pada kata-kata Saidina Abu Bakar yang masyhur : “Sekiranya aku membuat perkara betul, maka bantulah aku. Sekiranya aku membuat kesalahan, betulkanlah aku. Taatlah kepada aku sekiranya aku taat kepada Allah, dan sekiranya aku mengarahkan kepada maksiat maka tiadalah ketaatan kepadaku”

 

Setelah dibentangkan ciri-ciri negara Islam secara ringkas, apakah sama ciri-ciri sebenar dengan apa yang disangka oleh sekularis itu?  Ataupun ianya (negara Islam) hanyalah sebuah negara yang ditadbir oleh manusia biasa, dipandu oleh Allah dan dikawal serta diperhati oleh rakyat atau bagaimana?

Kami katakan bahawa negara Islam ini adalah negara kemajuan sepertimana yang disebut oleh Syeikh Muhammad Abduh dalam kitabnya. Bukanlah maksud kami apabila menyatakan negara ini negara kemajuan atau moden, kami menolak ciri-ciri agama dalam sesebuah negara apatah lagi ciri-ciri Islam. Sebaliknya kami menolak maksud sempit agama oleh sekularis yang hanya terhad kepada ibadat ritual dan menolak pembangunan. Apa yang dimaksudkan negara Islam sebagai negara kemajuan dan moden ialah negara ini sentiasa membangun dalam panduan syariat dan Islam, tidak mengenepikannya.

 

Syeikh Muhammad Abduh berkata : Islam adalah cara hidup dan syariat. Islam telah membuat ketetapan, mengadakan undang-undang, membina perlembagaan serta menetapkan garis sempadan yang tidak boleh manusia lewati. Tidak sempurna hikmah pensyariatan Islam kecuali adanya kuasa untuk menguatkuasakan segala yang ditetapkan oleh Allah iaitu negara Islam. Islam tidak mengamalkan “Serahkan kepada Qaisar apa untuk Qaisar” kerana perkara ini tidak praktikal.

 

Antara kemusykilan yang sentiasa bermain di benak fikiran orang yang terpengaruh dengan dakwaan sekularis adalah negara Islam ini hanyalah dikuasai dan dimiliki oleh orang agama sepertimana pentadbiran negara oleh gereja dikuasai oleh paderi suatu ketika dahulu. Mereka turut merujuk dengan apa yang berlaku di Iran di mana pentadbiran dikuasai oleh orang besar agama (Al Malali, Ayatollah dan Hujjatul Islam). Apa yang perlu diambil perhatian oleh semua ialah sikap membanding-bandingkan antara Islam dengan Kristian adalah tidak betul kerana Kristian berdiri atas sistem teokratik yang mana orang-orang agamanya mempunyai martabat-martabatnya yang sendiri serta pangkat-pangkat yang tertentu dalam pentadbirannya. Perkara tiada di dalam Islam. Orang Islam boleh melaksanakan ibadat mereka sama ada solat, puasa, zakat dan haji tanpa memerlukan ‘perantara’ antara mereka dan Allah kerana pintu Allah sentiasa terbuka setiap waktu dan di mana sahaja. Mengenai apa yang berlaku di Iran, kaedah al-Malali bukanlah satu kemestian dan wajib kerana ada yang lebih cenderung memilih kaedah Wilayatul Faqih. Realitinya, walaupun kedua-dua kaedah tersebut (al-Malali & Wilayatul Faqih) lebih cenderung kepada orang agama, kita melihat Presiden pertama selepas Revolusi Iran ialah seorang yang modernist iaitu Hasan Bani Sadr. Malah presiden sekarang pun, Ahmadinejad telah memenangi pilihanraya ke atas seorang calon berimejkan ‘orang agama’, seorang ulama’ besar agama dan ikon kepada pemerintahan negara iaitu Imam Rafsanjani.

 

Bagi kita Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita mencalonkan seseorang untuk menjadi pemimpin berdasarkan 2 ciri utama iaitu al-Quwwah dan al-Amanah seperti yang dinyatakan oleh Allah pada surah al-Qasas ayat 26.

 

Al-Quwwah bermaksud kemampuan untuk melaksanakan kerja berdasarkan kelayakannya kerana mungkin seseorang itu mempunyai kelebihan berbentuk keilmuan atau pengalaman dalam menjayakan tugasnya. Al-Quwwah ini dapat dilihat pada keilmuan seseorang atau seninya yang tersendiri dalam mentadbir dan memerintah.

 

Al-Amanah pula bermaksud apa-apa yang boleh kita nilai melalui akhlak, moral dan tingkah laku seseorang pemimpin itu. Ia dapat dilihat sejauhmana dia takut kepada Allah, dia tidak menipu, tidak khianat, tidak mengkesampingkan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah dan juga tidak mengabaikan tanggungjawab mereka kepada manusia.

 

Maka ternyatalah segala yang didakwa oleh golongan sekularis adalah tidak benar dan jauh dari segi teori dan realiti yang dianjurkan oleh Islam.

 

Terjemahan & olahan dari tulisan Dr.Yusof al-Qaradhawi : “Daulah Islamiah Hiya Daulah Madaniah Marji’iyatuha Syariah Islamiah”

2 thoughts on “Negara Islam – Sanggahan Kepada Sekularis

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s