Seorang Isteri Dengan 2 Panggilan

poligami2Kisah benar dan menarik untuk iktibar bersama. Diambil daripada blog Ustaz Mokhtar. Asalnya kisah ini dibuat dengan 3 siri tapi aku sekalikan untuk mudahkan pembacaan.

 

——————————————————————–

SETAHUN DULU DIA CALL DAN KUTUK2 SAYA SAMBIL MAKI SUAMI DIA. SEMALAM DIA CALL LAGI, SAMBIL UCAP TERIMAKASIH DAN PUJI-PUJI SUAMI DIA…

————————————————————

Semalam (3 Mac 2009) sedang saya berurusan dengan Bank, satu deringan panggilan masuk menerjah handset saya. Oleh kerana sedang berada dalam Bank, zon larangan menggunakan telefon, maka saya hanya balas dengan satu pesanan ringkas memaklumkan saya dalam Bank dan bertanya siapa beliau. Sebentar kemudian satu isyarat pesanan ringkas masuk semula ke telefon saya. Sambil menunggu angka giliran yang masih berpuluh orang, saya mengambil kesempatan membuka inbox handset saya. Tiba-tiba tertera sebaris mesej “Saya Pn. S, isteri kepada Hj.K, yang pernah kutuk ustaz dulu. Tapi kali ini saya nak minta maaf..” Terbaca saja nama Puan S, segera ingatan saya terkenangkan panggilan beliau setahun lalu. Peristiwa itu berlaku beberapa minggu selepas saya dan dua orang teman menemani suami beliau (Hj.K adalah kawan rapat kepada salah seorang teman saya tadi) ke “Seberang” untuk melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis Selangor. Gadis tersebut diiringi oleh Bapa (wali) dan kakak serta abang iparnya. Oleh kerana datang berserta wali, maka majlis tersebut berjalan dengan lancar. Dua orang teman saya menjadi saksi manakala saya diminta mengakhirkan upacara tersebut dengan doa. Doa agar kedua-duanya berjaya membina Baitul Muslim dan jauh disudut hati saya mendoakan agar teman kami itu diberi kekuatan mengharungi gelombang hidup yang pasti geloranya lebih besar. Lalu saya mohon Allah tabahkan beliau dan diberikan keupayaan berlaku adil terhadap kedua-dua orang isterinya.

 

Sebenarnya saya bukan nak sangat terlibat dalam soal-soal seumpama itu, kalau bukan kerana sebab-sebab yang wajar pada kehendak syarak. Sebelum itu pun dah berpuluh orang yang cuba minta tolong saya uruskan perkara yang sama. Mungkin kerana mereka diberitahu saya mempunyai ramai saudara mara terdekat yang jadi jurunikah di Kelantan dan di Selatan Thailand. Tapi Haji atau kawan yang saya bantu itu berlainan jalur ceritanya. Setahun sebelum itu beliau pernah datang bertemu saya bersama kawan rapatnya, menyatakan hasratnya dan meminta saya membantu beliau. Waktu itu saya menolak dengan banyak alasan. Kepada beliau saya minta berusaha memujuk isteri pertamanya. “Haji doa-doalah supaya hatinya lembut” kata saya mengakhiri usaha mengelak daripada terlibat dengan urusan rumahtangganya.

 

Namun selepas itu, maklumat yang saya terima beliau (Haji) masih belum mendapat keizinan. Isteri beliau tetap berkeras. Sehingga satu hari beliau datang lagi kepada saya minta saya solah Hajat agar hajatnya dimakbulkan Allah, kerana kebelakangan ini isterinya semakin kerap meminta cerai dan beliau semacam dah nak lafaz talak terhadap isterinya. Baiknya beliau tak gopoh dan masih ada masa untuk minta kawan-kawan doakan beliau sabar dan tabah. Kepada beliau saya nasihatkan agar, apa-apa pun yang berlaku, jangan beliau ceraikan isteri beliau. Saya katakan kepadanya sudah berbelas tahun isteri beliau berbakti dan berkhidmat kepada beliau. Sudah berbelas tahun si isteri itu melindungi beliau dari neraka Allah, lalu saya minta beliau teguhkan kesabaran dengan kesabaran yang baik. Nasihat saya diterimanya dengan baik, walau pun beliau jauh lebih tua dari saya, AlhamduliLlah.

 

Beberapa bulan sebelum upacara perkahwinan itu berlangsung, teman rapat beliau mendatangi saya. “Ustaz..Ustaz kena tolong Haji tu, macam-macam mana pun” itu kalimah pertama teman beliau apabila menemui saya. “Kenapa?” tanya saya, antara nak cemas atau tak. Lalu diceritakan kepada saya bahawa hubungan Haji dengan gadis idamannya itu semakin intim. Selalu keluar bersama, kadang-kadang pernah outstation berdua berhari-hari ke Langkawi. Lanjut teman beliau lagi;”Baru-baru ni jiran tempat gadis tu menyewa bertanya kepada saya, Haji tu dah kawin ke dengan budak tu, sebab dua hari lepas kereta Haji park kat rumah budak tu tak keluar-keluar sampai sehari semalam”. “Kita kena tolong dia ustaz..sebelum apa-apa berlaku dan terjadi suatu yang lebih memalukan..” tegas teman tersebut. Saya terdiam sejenak. Adakah cerita ini direka untuk mendesak saya membantu haji tersebut? fikir hati saya. Kemudianya saya beristighfar dengan lintasan curiga tersebut. “Beginilah akhi, ana Istikharah dulu dan ana akan call anta nanti..” jawab saya kepada teman yang agak cemas itu. Sebenarnya saya ingin mengambil sedikit ruang menyelidik apakah cerita teman itu benar-benar berlaku dan disamping itu saya memerlukan petunjuk sebaiknya dari Allah…

 

Setelah seminggu masa berlalu, saya pun telah mendapat cerita yang sebenar dan hati saya pun telah tenang untuk membantu beliau. Maka saya nyatakan persetujuan saya untuk membantu Haji tersebut melalui teman beliau. Keputusan tersebut saya buat setelah memikirkan akibat yang lebih buruk yang akan menimpa beliau, isteri dan anak-anak beliau jika kejadian yang mengembirakan Syaitan berlaku antara Haji dan Gadis tersebut. Kepada Allah saya mohon keampunan jika tindakan saya itu khilaf…lalu berlangsunglah upacara dengan saya hanya menjadi juru baca khutbah nikah dan doa..

 

Program “membina Masjid baru” hari itu berjalan dengan baik. Ayah si gadis kelihatan ceria, mungkin kerana telah terungkai sebuah bebanan yang selama ini terbelenggu dilehernya. Si pengantin perempuan juga demikian. Namun wajah “pengantin” lelaki (Haji) seolah-olah berbaur antara gembira dan sedih. Gembira mungkin kerana berjaya melepaskan diri dari kehendak Syaitan dan sedih mungkin kerana memikirkan keluarga dan isteri yang pertama. Itu hanya telahan hati saya. Namun hakikatnya saya tidak tahu. Apa yang saya harapkan hanyalah kebaikan buat semua.

 

Sampai di Kota Bharu, Haji meminta saya ke bilik beliau di Hotel Ansar. Untuk tidak membiarkan tandatanya bergayut lebih lama di hati, saya segera ke bilik beliau dengan meninggalkan teman haji yang sebilik dengan saya melayan tidurnya. Bila pintu bilik saya ketuk dan pintu sudah terbuka, saya dapati semua keluarga isteri baru Haji ada di dalam. Selepas bersalam saya pun dipersilakan duduk disebuah kerusi yang kosong di penjuru bilik. “Begini… ustaz” Haji memulakan bicara sambil membetulkan duduknya di birai katil di sebelah bapa mertua barunya. “Sebenarnya saya dan isteri saya ni dah lama kawin, ayah ni lah yang jadi walinya” kata Haji sambil menepuk peha ayah mertuanya. “Tapi oleh kerana akad nikah tu hanya untuk sah pada syarak saja, maka sebab itu sekali lagi kami datang hari ini untuk dapatkan surat nikah rasmi dari Thailand dan saya akan tukar kepada surat nikah Malaysia…” Lancar sekali Hj bercakap semacam cuba melepaskan suatu bebanan dengan secepat mungkin. “Saya tahu, mungkin ustaz ada dengar macam-macam tentang saya dan isteri saya ni sebelum ini. Saya tak nak ustaz syak bukan-bukan, sebab itu saya ceritakan kat ustaz hari ni dengan saksi ayah saya ni”..ujar Haji dan sekali lagi menyentuh peha ayah mertuanya. Saya angguk saja. Apa lagi saya nak cakap selain bersyukur kepada Allah kerana menghalang lidah saya dari berkata apa-apa kepada beliau sebelum ini. “Baguslah kalau macam tu…” kata saya dengan perasaan syukur yang tidak terhingga kepada Allah atas perkara sebenar yang berlaku.

 

poligamiSeminggu selepas itu, di satu petang yang agak sibuk, kerana saya terpaksa bergegas ke Masjid Balok selepas melayan kehadiran tetamu dari Johor, tiba-tiba satu deringan dari handset saya. Baru saja saya tekan butang “menerima panggilan”, tiba-tiba satu suara garang dari seorang perempuan berdesing menusuk telinga saya. “Ustaz ni, ustaz jenis apa ha!Pemecah rumahtangga orang. Ingatkan Ustaz ni semuanya baik, rupanya ada jugak yang jahat macam perompak, aku benci ustaz macam engkau ni”, tempik suara yang saya dah jangka akan dapat saya dengar selepas upacara perkahwinan Haji selesai. Begini…” kata saya..tapi saya terhenti disitu saja apabila sekali lagi suara nyaring disana memaki saya semahu-mahunya. Mula-mula saya bercadang mahu letakkan saja telefon. Tapi bila saya teringat kata seorang ulama’; salah satu sumber ketenangan manusia ialah bila dapat meluahkan perasaannya, walaupun hanya kepada seorang kanak-kanak yang tidak boleh berbuat apa-apa. Justeru itu saya fikir mungkin dengan saya mendengar segala makiannya itu akan membuatkan perempuan tersebut reda dan tenang, maka saya dengar apa saja yang dia nak kata. Rupa-rupanya seronok jugak sesekali kena maki dan kutuk. Tak silap saya hampir sepuluh minit dia memaki saya tanpa henti. Ala pengulas bolasepak layaknya. Akhirnya suara itu reda. Bila saya merasakan perasaanya dah reda, maka saya pun ucap terima kasih dan sayapun tekan butang “mengakhiri panggilan”. Panggilan petang itu saya diamkan saja dari pengetahuan sesiapa, termasuk Haji yang baru kawin itu.

 

Itu cerita setahun yang lalu. Selepas kutukan pedas itu saya tidak terima apa-apa panggilan lagi dari isteri pertama Haji. Dengan Haji pun dah jarang-jarang bertemu. Mungkin beliau sibuk..maklumlah orang yang terpaksa menguruskan dua pentadbiran.

 

Minggu lepas (3 Mac 2009 ) sedang saya dalam bank (Bank Islam) saya menerima satu panggilan. Menyedari saya sedang berada dalam kawasan zon larangan menggunakan Handset, maka saya messagekan kepada pemanggil bahawa saya sedang berurusan dalam Bank dan saya meminta call saya kembali petang nanti. Sebentar kemudian satu pesanan ringkas masuk ke telefon saya; “Saya Pn. S, isteri kepada Hj.K, yang pernah kutuk ustaz dulu. Tapi kali ini saya nak minta maaf ..” . Bila pesanan itu saya terima, segera saya teringatkan peristiwa setahun lepas. Saya hanya tersenyum membaca mesej tersebut. Terselit jugak di hati saya untuk mengetahui cerita sebenar mengapa isteri Haji kembali berubah hati. Kalau dilihat kepada garangnya dia saat mengutuk saya dulu tidak mungkin hatinya akan lembut dalam tempoh yang begitu singkat.

 

Petang itu saya tertunggu-tunggu jugalah panggilan isteri pertama Haji, cuma sekadar ingin tahu al-kesahnya yang sebenar. Mana tahu kalau-kalau dapat dijadikan pedoman bersama. Kalau perlu dapat dikongsikan bersama dengan tetamu blog saya.

 

Selesai solah Asar, ketika masih dalam bilik peribadi saya di Masjid Isteri Haji kembali call saya. Menunggu beberapa saat, lalu panggilan tersebut saya angkat. Berikut adalah perbualan saya dengan isteri pertama Haji;

“Assalamualaikum Ustaz..”

“Waalaikumussalam…..”

“Saya ni, isteri Haji … ustaz masih ingat kan?”

“Ye ye.. saya ingat..apa khabar Hj sekarang? lama saya tak jumpa dia.”

“Baik..Alhamdulillah..kami sekeluarga semua baik. Belah saya pun baik, belah sana pun baik..(Sambil ketawa halus bila menyebut perkataan “belah sana”). Begini sebenarnya ustaz, saya telefon Ustaz ni nak minta maaf banyak-banyak dengan ustaz atas kesalahan saya yang kata kat ustaz macam-macam dulu…”

“Takpe..saya tahu masa tu Puan tertekan. Jadi saya tak kesah je… lagi pun mungkin ada silap saya juga..”  Saya cuba buat macam orang bersalah, untuk melihat reaksi Puan samaada beliau masih menyalahkan saya atau tidak.

“Tak tak tak..ustaz tak salah..saya yang salah sebenarnya. Maklumlah orang jahil ustaz…”

“Boleh saya tahu apa sebenarnya yang menyebabkan tergerak hati Puan untuk minta maaf dengan saya..itu pun kalau Puan tak kisah untuk beri tahu saya.”

“Boleh ustaz..saya ada dua orang kawan rapat kat pejabat saya. Kami betiga ni macam adik beradik jugak la kiranya. Masa suami saya nak kawin dua dulu, kat mereka berdualah saya luahkan perasaan saya. Mereka berdua jugaklah yang cadangkan saya minta cerai dengan suami saya. Macam-macam mereka cakap dan mempengaruhi saya. Saya ni jahil..orang suruh minta cerai saya mintak la. Selang beberapa lama suami kedua-dua kawan saya tu pulak yang buat hal. Mereka berdua tetap tak izinkan suami mereka kawin lagi. Macam-macam mereka buat. Lari rumah la, jumpa bomoh pun ada, mengadu kat pejabat kadi dan macam-macam lagi. Mereka berdua bekeras memberi kata dua kepada suami masing-masing. Kalau mahu jugak kawin lagi, ceraikan mereka. Mereka tak sanggup hidup bermadu.

 

Di pendekan cerita Ustaz..suami kawan saya yang pertama tu, bila isteri beliau berkeras minta cerai, lalu diceraikannya kawan saya. Suami yang seorang lagi tu pula mengambil keputusan tidak menceraikan ieteri beliau, tetapi sebaliknya meneruskan hubungannya dengan perempuan yang nak dikahwininya dulu. Hingga dua bulan lepas, suami kawan saya tu ditangkap khalwat dengan pasangannya di Genting Highland. Satu pejabat dah tau, keluarga kedua-dua belah pehak pun kecoh. Hinggakan anak kawan saya tu tak mau kesekolah, kerana malu diejek oleh kawan-kawan kat sekolah. Kawan saya yang diceraikan dulu tu pulak terkontang-kanting sorang-sorang diri.

 

Bila kedua-dua peristiwa tersebut berlaku depan mata saya. Lalu saya renung diri saya sendiri. Alhamdulillah..saya masih seorang isteri yang dijaga kehormatan saya oleh seorang suami. Saya pun tak rasa malu dengan kawan-kawan dan keluarga serta sanak saudara, kerana suami saya bukan buat maksiat. Akhirnya saya fikir..syukurlah dulu suami saya tak ceraikan saya, atau suami saya tak buat perkara maksiat hingga memalukan saya, anak-anak dan kaum keluarga. Suami saya pulak buat giliran yang adil. Nafkah kami tak ada yang kurangnya. Cuma sesekali rasa sepi tu biasalah Ustaz. Lama-lama okey je.

Terima kasihlah ustaz tunjukkan jalan yang sewajarnya kepada suami saya….” Puan ..mengakhiri ceritanya.

“Alhamdulillah lah Puan..itu namanya hikmah syariat Allah. Saya pun masa nak tunaikan permintaan Haji dulu, banyak kali saya solah hajat dan istikharah minta petunjuk Allah. Mana tahu apa yang saya rasa baik itu tidak baik pada Allah.”

 

“Okey la Puan..Boleh saya tuliskan pengalaman Puan ini dalam blog saya?”

“Silakan lah Ustaz (sambil ketawa) kalau baik pada pandangan ustaz saya izinkan je..”

“Ok la Puan terima kasih…sampaikan salam saya pada Haji. Assalamualaikum…”

 

Itulah selingkar kesah yang dapat saya coretkan disini. Terpulanglah pada sahabat-sahabat semua, dari arah mana pengajaran yang boleh diambil dari cerita ini. Kepada Puan … saya ucapkan berbanyak terima kasih kerana membenarkan kesah beliau dikongsikan disini.

Wallah hu ‘Allam bis Sowab

2 thoughts on “Seorang Isteri Dengan 2 Panggilan

  1. Subhanallah. Ana teringatkan pesan dari naqibah, “berpoligami itu indah apabila suami adil dan berhikmah.”🙂 tetapi tidak semua wanita kini ‘rela’ untuk dimadukan kerana banyak dari cerita sekeliling berlaku ketidak adilan dalam rumah tangga seperti mana yang berlaku kepada staff ummi. Kahwin 4 tetapi selalu claim OT palsu semata-mata kerana kesempitan ekonomi untuk bahagiakan 4 keluarga. Selalu muhasabah, bagaimana sebuah rumah tangga nak berkat kalau wang yang datang tak halal.😦

    Allahummaj’alni hubbak wa hubba man ahabbak waj’al hubbaka ahabba ilayya minal maail baridi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s