Jiwa Kebapaan Seorang Ayah

ust mokhtar senikOleh : Ustaz Mokhtar Senik
Dalam perjalanan pulang kerumah pada minggu lepas, saya singgah sebentar disebuah gerai di pesisir pantai sepat. Di gerai tersebut sepasang suami isteri mempamerkan beraneka jenis dan warna layang-layang di samping barang-barang permainan kanak-kanak.

Teringat akan janji saya dengan anak lelaki saya “Imam Izzuddin Abdus Salam” ( 5 tahun) bahawa saya akan belikannya sebuah layang-layang, menyebabkan tanpa banyak bersoal saya bayar harga layang-layang tersebut walaupun kemudiannya saya dapati harganya agak mahal. Dua buah layang-layang saya belikan untuk anak-anak lelaki saya. Sebuah berbentuk seekor burung helang dengan matanya dilukis agak garang. Layang-layang ini untuk Anak lelaki saya “Umar Abdul Aziz” ( 11 tahun ) dan adiknya “Hujjatul Islam” ( 9 tahun). Untuk “abang salam” ( gelaran bagi anak saya Imam Izzuddin Abdus Salam) saya belikan layang-layang berbentuk tiga segi bercorak warna warni. Ekornya berjerabu lebat di samping kepaknya juga berjerabu beraneka warna.

Petang itu mereka cukup gembira menaikkan layang-layang tersebut di perkarangan masjid di pondok saya. Abang Salam agak sukar untuk menaikkan layang-layangnya sehingga terpaksa dibantu oleh abangnya Hujjatul Islam. Terhibur hati saya melihat keseronokan mereka bermain layang-layang yang saya belikan itu. Maha Besar Allah…yang menjadikan anak-anak penyejuk hati hamba-hambaNya. Segera hati saya dirundung sayu. Suatu hari, 38 tahun yang lalu bermain dalam lipatan nostalgia hati saya…

Sekali lagi musim cuti persekolahan bermula. Sebagaimana lazim, ayah dan ibu akan membawa saya dan kakak pulang ke kampung Datuk dan Nenek di Kelantan. Mungkin itu salah satu cara untuk ayah merapatkan hubungan kami dengan saudara mara sebelah ayah dan saudara mara sebelah ibu. Kebetulan musim menuai baru sahaja selesai. Sawah padi yang kering berubah menjadi padang permainan anak-anak kampung. Tidak terkecuali sawah diseberang taliair dihadapan rumah datuk. Berjam-jam lamanya setiap petang saya habiskan masa dibawah pohon keranji di tepi sawah, berdekatan taliair, melihat kanak-kanak yang kebanyakannya sebaya dengan saya bermain layang-layang. Bila mereka mula melabuhkan layang-layang masing-masing baru saya akan bangun dan beredar dari bawah pokok itu. Ketika meniti batas taliair untuk pulang, hati saya mula berkira-kira untuk meminta ayah buatkan saya sebuah layang-layang. Teringin benar rasanya memegang tali layang-layang yang sedang berlengok-lenggok dibuai angin.


Sesampai ke rumah, saya ajukan hasrat saya kepada ayah. Namun ayah hanya berdiam diri saja. Alasan ayah ialah tidak mahu saya bermain di tengah panas. Takut demam katanya. Datuk yang mendengar permintaan saya pun berdiam diri, sambil mengenakan serban, kemudian turun untuk ke surau. Petang esok sekali lagi saya ke sawah dan duduk dibawah pokok keranji yang rendang. Di tengah sawah yang kering itu, riuh kanak-kanak bermain layang-layang. Petang ini sudah ada orang dewasa yang turut bermain. Mereka menaikkan wau bulan yang jauh lebih besar. Nun tinggi sekali, berlenggok di dada awan. Kembali dari sawah petang itu sekali lagi saya mengemukakan permintaan saya kepada ayah, namun jawapannya sama sebagaimana semalam. Petang esok pun begitu jugak jawapan ayah. Akhirnya saya buat kesimpulan sendiri, “Ayah memang tidak mahu buatkan saya layang-layang itu”. Hati kecil saya mula merajuk. Malam itu saya tidur lebih awal, dan saya bermimpi bermain layang-layang bersama kawan-kawan.

Pagi esoknya , selesai sarapan, saya kumpulkan kertas surat khabar lama yang saya dapati dari rumah pak sepupu saya sebelah ibu. Beberapa batang lidi kelapa saya ambil dari seberkas penyapu nenek. Kemudian segenggam nasi lembik saya ambil didapur secara senyap-senyap. Tanpa disedari sesiapa saya bawa semua bahan itu ke bawah sepohon rambai di sebelah rumah datuk. Selepas makan tengah hari, saya sambung lagi kerja-kerja saya menyiapkan sebuah layang-layang buatan sendiri. Hasilnya petang itu saya merasa cukup puas dapat menaikkan layang-layang sendiri walau hanya setinggi separuh pokok kelapa. itu pun jika saya berlari tanpa henti. Tanpa penat saya berlari ke hulu dan kehilir dengan layang-layang kertas surat khabar lama itu melayang di atas kepala saya. Saya tidak ke sawah, kerana segan dengan corak layang-layang saya yang tidak sama dengan corak layang-layang kanak-kanak lain. Rasanya lebih dari dua puluh kali saya berlari ke hulu dan ke hilir sepanjang taliair di hadapan rumah datuk. Walaupun penat, saya merasa cukup gembira kerana punya layang-layang sendiri.

Malam itu saya tertidur tanpa sempat makan malam. Letih sungguh rasanya. Layang-layang surat khabar itu saya sangkut di dinding di sebelah timbunan lukah datuk yang sedang dianyam. Sepanjang malam itu, entah berapa episod mimpi mengenai layang-layang saya alami.

Suara riuh itik dan ayam nenek di bawah rumah membangunkan saya. Sebaris cahaya matahari pagi menyimbah masuk melalui jendela. Bila tersedar dari tidur, segera mata saya menatap layang-layang saya di dinding. Selesai sarapan, dengan bangga layang-layang itu saya ambil dan dibawa ke bawah pohon rambai. Ayah tidak kelihatan di kebun sayur datuk di belakang rumah. Mungkin ayah ke kampung sebelah, ke rumah nenek (ibu ayah), bisik hati saya. Sebelum waktu makan tengah hari ayah belum balik.

Selesai makan tengah hari, kerana keletihan membaiki dan membuat tambahan ke atas layang-layang saya sejak pagi, menyebabkan saya segera tertidur di beranda rumah datuk. Tiupan angin dari arah tengah sawah menjadikan tidur saya cukup nyenyak. Menjelang petang saya terbangun disebabkan bunyi bising suara kanak-kanak bermain layang-layang diseberang taliair. Sebelum sempat saya membuka mata sepenuhnya, tiba-tiba tangan saya tersentuh sesuatu di tepi pagar beranda. Wawwww… cantiknya. Sebuah layang-layang merah dengan rambu ekor dan kepak yang berwarna warni tersandar dipagar beranda di sisi tempat saya tertidur. Ibu hanya tersenyum ketika melihat saya bawa layang-layang buatan ayah ke sawah petang itu. Ibu memberitahu sejak pagi ayah turun dari rumah kerana menyiapkan layang-layang untuk saya. Ayah terpaksa ke belukar kampung sebelah untuk dapatkan sebatang buluh duri. Buluh itu dibelah dan diraut halus-halus untuk dibuat kerangka layang-layang. Kemudian ayah ke rumpun sagu di hujung kampung untuk dapatkan pelepahnya yang bergetah. Dengan getah sagu itu ayah tampal kertas minyak nipis yang ayah beli di kedai di tepi jalan besar masuk ke kampung kami. Tersentuh juga jiwa kebapaan ayah bila melihat saya bermain sendirian dengan layang-layang buatan sendiri semalam.

Kegembiraan yang tak terkata, bila saya berjaya menaikkan layang-layang saya setanding tingginya dengan layang-layang kawan-kawan yang lain. Ketika asyik bermain ditengah sawah saya terpandangkan ayah dibawah pokok keranji tempat saya duduk beberapa hari yang lalu. Tentu ayah gembira melihat saya gembira. Terima kasih ayah ku yang telah tiada..
“Abah…tali layang-layang alang kusut…”..rungutan anak saya Imam Izzuddin Abdus Salam mematikan lamunan saya. Segera saya sapu titisan airmata yang mengalir di pipi saya. Sedar kepada saya betapa pengorbanan ayah kepada saya. Sekadar untuk mengembirakan hati saya, ayah sanggup meredah belukar, berjalan pula ke hujung kampung dan menapak pula ke kedai yang terletak hampir dua kilometer dari rumah datuk, semata-mata memenuhi tuntutan jiwa kebapaannya. Sedangkan saya, hanya singgah di tepi jalan dan membeli sebuah layang-layang yang telah siap untuk anak-anak saya.

Al-Fatihah untuk Ayah yang ku sayangi..Ayah tidak pernah meminta untuk dihargai, tetapi segalanya ayah lakukan kerana kasih dan sayang ayah kepada kami….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s