Bangkitlah Umatku

Salam Syawal kepada semua.

aidilfitri11

Perayaan Aidilfitri di bulan Syawal sememangnya mengingatkan kita kepada sejarah Islam di mana pada bulan inilah berlakunya peristiwa peperangan Ahzab. Lebih menguatkan ingatan kita padanya apabila ia dirakamkan dalam lafaz takbir raya yang kita laungkan. Sesungguhnya peristiwa ini menguatkan lagi semangat juang kita untuk mendaulatkan Islam di muka bumi ini Insya Allah.

Perjuangan menegakkan Islam sememangnya tidak sunyi dari ujian dan cubaan. Sejak Rasulullah dilantik menjadi nabi dan rasul, mehnah yang diterimanya tidak putus-putus datang bertamu. Malah, ia sudah ditempuhi oleh para Rasul sebelum baginda. Begitulah juga kita umatnya yang berjuang di jalanNya menyambung legasi Rasulullah s.a.w. Ia terlebih lagi dapat dilihat selepas kejatuhan khilafah Turki Uthmaniah pada tahun 1924.

Mustakbirin dunia yakni orang yang angkuh di muka bumi ini sama ada dahulunya Firaun, Namrud, Abu Lahab, Abu Jahal atau sekarangnya Amerika dan kuasa Eropah, mereka tidak mahu kuasa lain menyaingi mereka. Sudah menjadi adat dunia, sesuatu pihak yang hendak menguasai dan mengepalai dunia ini, mereka tidak mahu ideologi lain mencabar kedudukan mereka.

Cubalah kita lihat kepada negara-negara yang memilih cara demokrasi dan pilihanraya untuk mencapai kemenangan menegakkan Islam. Demokrasi ialah sistem tajaan barat dan digunapakai oleh pejuang-pejuang Islam kerana ianya bersesuaian dengan perjuangan kebanyakan gerakan Islam. Gerakan-gerakan ini memilih berlawan secara damai atau muwajahah silmiah selagimana ada ruang untuk berbuat demikian. Cara mengangkat senjata hanyalah jalan terakhir bagi mereka.

Prof Abbas MadaniKita masih ingat lagi bahawa parti Islam pernah menang di Algeria dalam pilihanraya umum pada tahun 1991. Tanpa ada tipu, tanpa ada penyelewengan. Algeria mengizinkan demokrasi di dalam negara mereka di atas desakan barat itu sendiri iaitu Amerika dan Eropah. Akan tetapi, apabila parti Islam FIS mencapai kemenangan dengan cemerlang dan  pemimpinnya Dr Abbas Madani telah bersedia mengangkat sumpah sebagai Presiden, satu peristiwa telah berlaku. Beberapa hari selepas keputusan pilihanraya, tentera telah merampas kuasa dan membatalkan keputusan pilihanraya. Maka berlaku huru hara bunuh membunuh antara pembangkang dan pemerintah, sehingga lebih 150 ribu orang terkorban dalam masa 15 tahun. Demokrasi hancur di Algeria. Hancurnya demokrasi itu tidak lain kerana melalui demokrasi itulah parti Islam menang. Barat dan mustakbirin dunia tidak izin dan tidak mahu Islam mencapai kemenangan melalui apacara sekalipun.

hamasContoh lain yang boleh dilihat, kemenangan HAMAS di Palestin. Melalui proses demokrasi pilihanraya yang tiada pencemaran penipuan, HAMAS menang dengan cemerlang. Ia diakui oleh badan-badan NGO termasuk Jimmy Carter bekas Presiden Amerika Syarikat. Bila parti Islam menang, Israel telah mengepung Gaza, tidak mengizinkan makanan dan bahan binaan masuk ke Gaza. Dan diikuti oleh Amerika dan negara barat tidak mengiktiraf kemenangan itu. Sehingglah berlaku peperangan 27 hari di mana HAMAS cuba dihancurkan walaupun mereka memilih cara pilihanraya untuk mencapai kemenangan.

Ikhwan MuslimunKita lihat lagi proses demokrasi tajaan Barat yang dibuat di Asia Barat. Bilamana Amerika menyeru demokrasi diizinkan di negara Arab untuk mengelak rakyat khususnya anak muda pergi kepada al-Qaeda dan JI yang boleh mengancam keselamatan dunia, mereka tekan negara Arab khususnya Mesir untuk beri demokrasi di negara tersebut. Ikhwan Muslimun (IM) bertanding dalam pilihanraya, berkempen secara terbuka dan mereka keluar dari gelanggang persembunyian mereka. Mereka telah berkempen terbuka di dalam stadium, secara internet dan sebagainya. Pantauan pihak cawangan khas (S.B) Mesir mendapati seluruh kawasan bandar Mesir akan dimenangi oleh IM sekiranya tidak dibuat sesuatu. Oleh itu, di hari pilihanraya, polis digunakan untuk menyekat orang ramai supaya jangan pergi mengundi. Wanita-wanita yang hendak mengundi terpaksa memanjat dinding dan tembok kemudian perlu melintas tembok untuk pergi mengundi. Demokrasi dicemar. Walau mengalami pelbagai sekatan dan tekanan, IM berjaya memenangi lebih 20% daripada kerusi Parlimen. Selepas itu, Amerika mengarahkan demokrasi ditutup semula di Mesir kerana sekiranya demokrasi dibuka, parti Islam dan orang yang bergabung dengan parti Islam akan mencapai kemenangan.

hizbullahKita beralih pula ke Lubnan. parti Islam Hizbullah telah membuat tahaluf siasi dengan parti-parti Kristian, parti-parti sekular yang lain. Gabungan ini melantik Hasan Nasrullah selaku pemimpin umum. Oleh kerana populariti Hizbullah meningkat selepas menang perang selama 33 hari menentang Israel, mustakbirin bimbang rakyat Lubnan akan mengundi Hizbullah dan parti yang bergabung dengannya termasuk Kristian. Kita lihat Amerika, Arab Saudi, Britain bergabung membawa pengundi Lubnan di luar balik ke Lubnan untuk mengundi. ‘Luar’ di sini bukannya luar kampung, tetapi luar negara Lubnan. Rakyat Lubnan yang berada di Brazil, England, Australia dan sebagainya diangkut balik untuk mengundi dengan menggunakan wang Arab Saudi, Amerika dan Britain. Mereka angkut khususnya orang-orang Kristian balik mengundi untuk mengalahkan gabungan Hizbullah. Walaupun begitu, undi popular dimenangi oleh Hizbullah dan rakan-rakan kongsinya.

mahmoud_ahmadinejad2Kita lihat pula di Iran. Mereka mengambil alih negara secara revolusi pada tahun 1979. Kemudian diadakan referendum dan rakyat bersetuju dengan perlembagaan dan undang-undang Islam. Setelah itu, rakyat memilih untuk mengadakan sistem demokrasi untuk memilih presiden negara. Mereka mengadakan sistem seperti di Amerika, Presiden hanya boleh memegang jawatan selama 2 penggal. Menjelang pilihanraya presiden, diadakan debat terbuka antara calon-calon presiden di televisyen. Skrin-skrin besar dipasang di taman-taman di seluruh Iran supaya orang dapat melihat mana satu calon Presiden yang hendak dipilih. Pada tahun ini, propaganda barat mahu Mahmud Ahmadinejad kalah. Mereka telah menge’pam’ wang beratus juta untuk membuat propaganda melalui internet, website, siaran BBC yang diadakan di dalam bahasa Parsi, meminta rakyat keluar dari ‘kepungan’ kepompong negara mereka. Sememangnya kita telah mengetahui bahawa Iran tidak mengaktifkan sistem import barangan dan teknologi dari luar. Barat membuat propaganda “Kami ingin memberi kekayaan kepada kamu.” “Jangan undi Ahmadinejad.” Tetapi apa yang berlaku, 62% rakyat Iran memilih Ahmadinejad yang amat dibenci oleh pentadbiran Amerika dan pentadbiran Israel. Iran menghadapi kacau bilau. Sehinggalah hampir 2 bulan selepas pilihanraya kacau bilau berterusan dan sekarang baru lah reda.

Saya paparkan kepada semua contoh-contoh di atas untuk menyatakan bahawa kemenangan Islam itu sukar.  Usaha perlu giat dilakukan dan dilipatgandakan. Kita semua perlu kuat untuk menempuh dugaan yang maha kuat ini. Kita mesti menyertai kumpulan-kumpulan bagi memperjuangkan Islam ini. Tidak boleh kita hanya mengambil sikap berdiam diri dan duduk berpeluk tubuh tatkala orang lain sibuk berjuang menegakkan Islam. Allah berfirman :

لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ

“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang beriman – selain daripada orang-orang Yang ada keuzuran – Dengan orang-orang Yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) Dengan harta dan jiwanya.” (an-Nisa’ ; 94)

Tidak boleh juga kita tidak mengambiltahu langsung tentang perkembangan nasib umat Islam dan perjuangan menegakkan Islam kerana Rasulullah bersabda :

من لم يهتمّ بأمر المسلمين فليس منهم

“Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang hal ehwal kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka”

Jadi, apa tindakan kita? Tidak lain dan tidak bukan ialah kita mesti bekerja untuk Islam. Oleh kerana kita hanya dimuliakan oleh Allah dengan Islam, kita mesti bekerja, jatuh dan bangun demi Islam. Nyahkan jauh-jauh perjuangan berasaskan bangsa kerana Saidina Umar pernah berkata :

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمتى ابتغينا بغير الإسلام أذلنا الله

“Kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Bilamana kita mencari kemuliaan selain dengan Islam, kita sememangnya telah dihina oleh Allah”

Melayukah kita atau Jawakah kita atau Cinakah kita, ia sedikit pun tidak memberi nilai di akhirat nanti. Berapa sen nilai ‘melayu’ kita di akhirat nanti sekiranya kita berjuang berasaskannya. Berjuanglah demi Islam, kerana Islam akan menyelamatkan semua.

Persoalannya, sudikah kita bekerja atas nama Islam kerana berjuang dan bekerja atas nama Islam ini sudah pasti akan menempuh susah dan payah? Dalam hal ini, Allah telah menyatakan dalam surah al-Maidah ayat 54.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (54)

“Wahai orang-orang Yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum Yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang Yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang Dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang Yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah Yang diberikanNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya”

Imam Ibnu Kathir dalam mengulas ayat ini mengatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada orang yang enggan berjuang untuk menegakkan dan mendaulatkan agama Allah. Kepada mereka yang enggan bekerja dan berjuang untuk Islam, itu sedikit pun tidak menjadi masalah kepada Allah. Bahasa mudahnya, Allah sikit pun tak heran. Allah boleh menggantikan kaum itu dengan kaum-kaum lain yang lebih baik yang mana kaum ini berlembut dengan kaum mukmin, tegas dengan orang kafir, mereka menyukai Allah dan Allah mereka menyukai mereka, mereka berjihad di jalan Allah dan tidak takut dengan celaan orang.

Ringkasnya, sekiranya Melayu yang dilahirkan Islam tidak mahu berjuang untuk Islam, Allah boleh gantikan pejuang-pejuang Islam dari orang Cina sebagaimana Allah menjadikan Imam Bukhari bukan dari kalangan bangsa Arab sebagai ikon perjuangan ilmu Islam. Begitu juga Imam Muslim bukan dari bangsa Arab.

Sekarang pilihan berada di tangan kita. Adakah kita mahu untuk menjadi penonton sahaja? Jika mahu jadi penonton dalam perjuangan Islam, samakan diri kita dengan golongan “al-Qa’idun” di dalam al-Quran. Sekiranya kita mahu jadi pejuang atas nama bangsa, samakan diri kita dengan Abu Jahal dan Abu Lahab, tidak kurang juga dengan Kamal Atarturk yang meruntuhkan khilafah Islam. Sekiranya kita mahu menjadi pemain, pejuang dan pekerja Islam, samakanlah diri kita dengan “al-Mujahidun” di dalam al-Quran.. Tepuk dada dan tanyalah iman untuk memilih antara ketiga ini.

Sekiranya kita memilih yang ketiga dan memang sepatutnya kita memilih yang ketiga, adakah kita telah bersedia? Atau adakah kita telah memulakan persediaan itu? Cukupkah persediaan kita dengan banyak tidur di sebalik gebar-gebar tebal di musim sejuk? Wajarkah kita menjadi pejuang dengan keadaan diri kita yang selalu menghadap televisyen dan cerita melalui CD/DVD ? Berjayakah kita untuk menjadi pejuang andai kita hanya sibuk berSMS dan berchatting sepanjang hari melayan cinta anta-anti @ cinta ustaz-ustazah? Layakkah kita digelar pejuang sedangkan 5 mukasurat al-Quran seharipun susah hendak dibaca? Mampukah kita menjadi pejuang andai kita hanya menelaah buku dan melupakan apa yang berlaku di sekeliling kita?

Bangkitlah umatku! Bangkitlah sahabat-sahabatku! Berpencaklah di medan dakwah dan gelanggang ummah. Jangan hanya duduk di kerusi empuk atau hanya menjadi ‘ustaz sampul’. Keluarlah sedikit dari dunia bersendirian dan hanya syok sendiri dengan kitab-kitab. Bebaskan diri daripada sekadar menjadi pengahafal al-Quran yang hanya menjadi kaset-kaset di corong-corong masjid sebaliknya jadilah Hamalatul Quran yang bukan sekadar menghafal Quran tetapi membawa mesej al-Quran kepada umum sebagai “basyiran wa naziran”

pak natsirPak Natsir berkata : “Pemimpin tidak boleh dicetak dan ia tidak lahir dari bilik kuliah. Tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan, lalu diterima dan didukung oleh umat”

Wahai umat, bangkitlah !

One thought on “Bangkitlah Umatku

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s