Purdah : Bid’ah @ Wajib?

Niqab- qaradhawiSebenarnya saya sudah lama ingin untuk publishkan artikel ini, semenjak berada di Syria lagi tetapi masa agak terbatas. Ketika musim peperiksaan yang lepas pada musim panas, saya telah membaca satu kutaib (buku kecil) yang ditulis oleh Syeikh Yusof al-Qaradhawi yang bertajuk “Purdah : Antara Pandangan Yang Mengatakan Bid’ah Dan Pandangan Yang Mengatakan Wajib”. Kutaib ini telah berjaya menambahkan lagi kekaguman saya kepada al-Qaradhawi. Dengan cara penulisan yang teratur dan bahasa yang amat kuat, ia cukup memberi kesan kepada pembaca. Apatah lagi tulisannya memudahkan kita bagaimana untuk memahami al-Quran dan mengeluarkan hukum.

Namun begitu, artikel ini hanya mengambil sedikit sahaja khazanah daripada kutaib tersebut untuk memudahkan sahabat-sahabt memahami isu yang diutarakan. Kutaib ini telah ditulis setelah sheikh ditanya mengenai hukum purdah oleh 2 pihak berdasarkan masalah yang berbeza.

Pihak pertama mengutarakan soalan setelah pihak pengurusan di tempat pengajiannya mengharamkan purdah dan mengatakan bahawa purdah ini perkara yang meresap masuk ke dalam cara hidup orang Islam, bukannya berasal daripada Islam dan mazhab-mazhab fiqh. Dalam bahasa mudahnya, mereka menganggap purdah adalah bid’ah. Dan semua tahu bahawa setiap perkara bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu adalah pasti ke dalam neraka.

Pihak kedua pula mengutarakan soalan apabila ada orang mengatakan bahawa purdah adalah daripada sari pati kehidupan Islam. Memakainya adalah wajib kepada setiap muslimah. Menutup muka juga adalah kewajipan agama dan tidak boleh diabaikan. Mereka menyanggah pihak yang berpegang dengan pendapat hanya wajib memakai tudung kerana mereka menganggap bahawa purdah juga satu kewajipan. Mereka mendakwa bahawa mereka yang tidak berpegang kepada hukum kewajipan purdah adalah golongan yang terpengaruh dengan kehidupan barat.

Semasa menjawab kedua-dua persolan ini, Sheikh telah menyatakan manhaj ilmunya ialah kesederhanaan. Sederhana yang berasal dari al-Quran dan Sunnah, yang mengimbang antara nas-nas juz’iy dan maqasid kulliy, antara ketetapan syarak dan fleksibel perkembangan semasa.

ADAKAH PURDAH ITU BID’AH?

Sebenarnya ulama telah berselisih pandangan mengenai had-had aurat wanita. Ia berpunca dari ayat hukum menutup aurat iaitu ayat 31 surah an-Nur  dan ayat 59 surah al-Ahzab.

Ayat 31 surah an-Nur berbunyi :

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya”

Ulama berkhilaf dalam menentukan apakah yang dimaksudkan dengan ‘yang zahir daripadanya’. Ibnu Abbas menyatakan bahawa maksudnya ialah celak dan cincin. Ibnu Mas’ud pula menyatakan bahawa ia bermaksud pakaian luar dan tudung.

Ayat 59 surah al-Ahzab pula berbunyi :

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ulama beselisih pendapat dengan perkataan ‘melabuhkan pakaiannya’. Ulama tabi’in Abidah Salmani menyatakan maksudnya ialah menutup muka dan kepalanya, serta membuka dibahagian mata kanan.

Pendapat-pendapat di atas adalah sebahagian pendapat yang mengatakan bahawa bahagian muka perlu ditutup. Maka dengan secara tidak langsung telah menolak pandangan yang menyatakan ianya adalah bid’ah. Ini kerana pemakainya mempunyai sandaran agama, dalil dan sandaran daripada generasi sahabat-sahabat terdahulu.

ADAKAH PURDAH ITU WAJIB?

Sheikh al-Qaradhawi adalah antara ulama’ yang mengatakan bahawa tangan dan muka bukanlah aurat dan tidak wajib bagi muslimah untuk menutupnya. Antara ulama yang sependapat dengan beliau ialah al-Bani, jumhur ulama al-Azhar, ulama’ az-Zaitunah di Tunisia dan lain-lain.

Namun begitu, ada juga ulama’-ulama’ kini yang tidak sependapat dengan beliau. Antara yang terkenal ialah Bin Baz, al-Maududi dan juga Sheikh Said Ramadhan al-Buti.

Jelas sekali bahawa masalah ini adalah masalah khilafiah. Apabila disebut khilafiah, maka semua pihak tidak boleh memaksa pihak lain menerima pandangan mereka selagimana pihak yang lain mempunyai sandaran dan dalil di atas perbuatan itu. Sekiranya ada pihak yang menyangkal pendapat pihak lain dan berpendapat bahwa pendapat mereka sahaja yang betul, mereka sebenarnya meletakkan semua orang dalam keadaan yang bahaya.

HAD AURAT WANITA MENURUT PANDANGAN ULAMA

Jumhur ulama dan fuqaha’ menyatakan bahawa muka dan dan pergelangan tangan bukanlah aurat dan ianya tidak wajib ditutup. Ia adalah pandangan muktamad semua mazhab fiqh yang 4. Begitu juga ulama’-ulama di zaman sahabat.

Ada juga pandagan lain yang menambah bahawa kaki juga bukan aurat. Ini adalah pandangan Imam Abu Hanifah, As-Sauri dan al-Muzani.

Imam Ahmad dan Daud menyatakan bahawa keseluruhan wanita itu adalah aurat kecuali mukanya. Ini bermakna mereka berpendapat tangan juga aurat.

Dalam keadaan ini, beramal dengan pendapat jumhur adalah terpuji dan amat digalakkan kerana telah dipersetujui oleh bilangan ulama’ yang ramai.

PERKARA-PERKARA PENTING YANG DITEGASKAN OLEH SHEIKH AL-QARADHAWI

1|| Keizinan untuk membuka bahagian muka bukanlah bermaksud seseorang wanita boleh bersolek tebal dan berhias sakan. Begitu juga keizinan untuk mendedahkan tangan bukan bermakna ia boleh memanjangkan kuku, mewarnakannya dan sebagainya. Apa yang dibolehkan ialah perhiasan yang ringan sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas, celak di mata dan cincin di tangannya.

2|| Pandangan yang mengatakan tidak wajib untuk memakai purdah bukanlah bermakna tidak dibolehkan berpurdah. Wanita yang ingin berpurdah, maka tiada masalah baginya untuk berpurdah, malah ianya digalakkan sekiranya dia cantik dan takut kepada fitnah. Apatah lagi sekiranya tiada halangan baginya dan purdah itu sendiri tidak menimbulkan perbualan dan kata-kata orang. Malahan banyak ulama yang mengatakannya ianya wajib bila dalam keadaan tersebut.

Akan tetapi, sheikh mengatakan yang dia tidak pernah menjumpai dalil yang mewajibkan penutupan muka pada keadaan takutkan fitnah kerana ianya tidak pernah dinyatakan. Dan sebenarnya ‘cantik’ itu sendiri satu perkara yang subjektif. Mungkin ada orang menganggap bahawa seseorang wanita itu cantik, akan tetapi orang lain pula melihat wanita itu biasa sahaja. Sememangnya perkara ini berbeza mengikut keadaan dan masa.

3|| Kita tidak boleh menyamakan hukum membuka muka dan hukum melihat kepada muka wanita. Ini kerana ada ulama yang membolehkan membuka muka tetapi tidak membenarkan melihat wajah kecuali pandangan pertama. Ada juga yang membolehkan melihat muka (pada had yang dibenarkan buka), tetapi disyaratkan tiada syahwat. Sekiranya ada terasa syahwat atau bertujuan untuk syahwat dan nafsu, maka haram melihat. Itulah pandangan yang dipilih oleh sheikh al-Qaradhawi.

4 thoughts on “Purdah : Bid’ah @ Wajib?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s