Salam Pengorbanan

Assalamualaikum dan salam Aidiladha

1:: Saya mendoakan agar sahabat-sahabat semua dalam keadaaan sejahtera di bawah lembayung iman dan Islam. Sejak tiba di Syria hampir 3 minggu lepas, saya dihujani dengan kerja dan desakan mas’uliyyat yang terlalu banyak. Rombongan saya bertolak dari Malaysia pada 6 November. Kemudian singgah sebentar sambil menziarahi sahabat-sahabat di Mu’tah, Jordan sehingga 8 November. Pagi 9 November kami bertolak dari bumi syuhada’ Mu’tah ke Syria. Alhamdulillah perjalanan lancar tanpa sebarang masalah dan perkara yang tidak diingini. Kami sampai di Damsyik sebelum masuk waktu Isyak. Setelah selesai beberapa urusan, saya tiba di rumah selepas waktu Isyak. Waktu tersebut digunakan terus untuk berkemas kerana saya tidak pasti apakah yang akan bertamu dengan saya keesokan hari. Walaupun pada hakikatnya tuhan saja yang tahu letihnya mengharungi lebih 12 jam perjalanan sepanjang hari. Ternyata sekali kerja dan mesyuarat telah menanti saya pagi esoknya. Presiden PPMS memaklumkan mesyuarat yang perlu dihadiri oleh saya. Mesyuarat hari itu melantik saya untuk menjadi pengarah Induksi exco. Semenjak itu, kerja-kerja tidak putus-putus menjemput saya sehinggalah kepada hari raya ini.

2:: Hari raya ini lain pula ceritanya. Di kala orang lain sibuk bersiap untuk solat Eid, saya berkelubung dalam selimut kerana demam dan kepala yang berat bagaikan dihempap batu. Sedih sungguh di kala orang lain bergembira dengan hari kemenangan ini, saya terperap di rumah seorang diri. Moga Allah membuang dosa-dosa saya dengan kesakitan yang dialami ini, amin.

3:: Bercakap mengenai pengorbanan, ingin benar saya dedikasikan terima kasih saya kepada insan-insan yang telah banyak berkorban kepada saya khususnya dalam saya menyelusuri kehidupan mencabar di bumi Syam. 2 watak utama yang telah banyak memberi kesan kepada saya ialah Ust Wan Nor & Ust Nasiruddin Jumain.

Mengenai Ust Wan Nor, saya kira beliau bukan sahaja telah memberi kesan kepada diri saya, malah kepada kebanyakan sahabat-sahabat DQ-Jakim yang telah bertandang ke bumi Syam ini [Sila Klik 1 2 Untuk Cerita lain]. Boleh dikatakan dengan asbab beliau lah datangnya gerombolan yang ramai ke bumi Syam. Saya secara peribadinya terkesan sangat dengan kempen yang dibuatnya ketika beliau mengajar secara part time di Darul Quran. Cerita-ceritanya tentang ulama dan pengajian talaqqi antara yang utama yang terpahat di hati ini. Apabila mendengar cerita-cerita itu, hati membuak-buak ingin terus ke bumi Syam. Dan dengan tarikan inilah, saya sanggup ‘membuang’ pengajian saya di UIA apabila saya menghantar resign letter kepada head department (Fiqh & Usul) pada tahun 2006 walaupun tindakan saya bukan sahaja tidak dipersetujui, malah saya dimarahi di hadapan ramai pensyarah yang meragui kekuatan saya  untuk survive dengan kehidupan di Syria. Apabila saya lemah, Ust Wan lah yang menjadi penguat semula kerana keluarga pun tidak menyokong tindakan saya untuk resign daripada UIA pada ketika itu. Kini, Ust Wan sudah pulang ke Malaysia. Ramai yang begitu terasa kehilangannya di bumi Syam ini khususnya yang datang ke sini kerana cerita-cerita yang dibawanya.

Ust Nasiruddin pula banyak menolong saya di awal ketibaan saya di bumi Syam. Saya tidak seperti orang lain yang datang ke sini secara rombongan atau berpasukan. Saya hanya berseorangan. Dari hal tempat tinggal sehinggalah ke hal tempat pengajian, beliaulah yang uruskan untuk saya. Begitu juga membawa mengenali ‘orang-orang lama’, mengenali perjuangan baru di bumi Syam, mengenali tempat-tempat bersejarah dan pelbagai lagi yang tak terungkap dalam artikel pendek ini. Soal kewangan, usah dipertikai lagi. Antara sebab besar saya masih lagi boleh survive di Syam ialah sokongan kewangan yang saya boleh katakan terlalu banyak daripadanya sehinggalah sebelum saya balik ke Malaysia tempoh hari. Kepadanya saya ucapkan Aajarakallah walaupun saya memilih untuk mencari cabaran dan suasana baru bagi separuh masa kedua saya di Syria tanpa bersamanya.

4:: Insan seterusnya yang banyak berkorban untuk saya ialah junior saya sendiri. Junior di sekolah menengah, junior di DQ dan junior juga di Syria ni. Tak lain dan tak bukan Ust Farid (Allah Yuzawwijuh..). walaupun senarai pengorbanannya tidaklah sebanyak 2 watak utama yang saya sebutkan, akan tetapi makna dan nilai pengorbanan yang dilakukan hampir sama dengan yang dibuat oleh 2 watak utama tadi.

Memang menjadi kebiasaan kami di sini untuk mencari sponsor bagi menampung sedikit perbelanjaan. Akan tetapi apa yang menitip kesan kepada saya ialah sikap beliau yang tidak mementingkan diri sendiri apabila mendapat orang yang sanggup untuk memberi sumbangan. Sumbangan kali ini agak besar. Penaja tersebut ingin menaja 3 orang dan akan memberi duit untuk setahun sekaligus!! Dan apa yang mengharukan saya ialah beliau (Ust Farid – Allah Yuzawwijuh..) mengajak sahabat-sahabat berbincang dan akhirnya memberikan sponsor itu kepada saya dan 2 orang sahabat lain yang lebih memerlukan. Bagi saya, ini adalah sebuah pengorbanan yang tidak dapat diberikan sekiranya tiadanya ukhuwwah dan mahabbah. Sponsor ini telah memanjangkan ‘hayat’ saya di Syria selama lebih setahun kerana duit yang saya kumpul sebelum ke Syria hanya boleh bertahan selama 2 tahun sahaja. TQ Farid.

5:: Saya telah nyatakan terima kasih saya kepada junior-junior saya di DQ dalam blog frienster saya sebelum ini, tetapi saya ingin mengulanginya semula di sini. Terima kasih kepada adik-adik persijilan DQ-UIA yang telah menyebabkan saya kuat untuk meneruskan hasrat saya ke Syria pada waktu itu. Terima kasih dan terima kasih untuk Fikri, Abdullah, Suhairil & the gang seterusnya untuk Asiyah, Syeril, Rubiah & the gang yang telah menunjukkan sokongan yang padu kepada saya. Saya masih ingat lagi betapa bersungguhnya mereka mencari dana untuk saya di Matrik PJ, sanggup naik-turun pejabat Dean dan sebagainya. Alhamdulillah, saya telah harumkan amal kebajikan mereka itu di bumi Syam ini. Sebahagiannya saya kongsi dengan akhawat di Syria yang bekerja bersama saya untuk diambil pengajaran bahawa perbezaan gender bukanlah tembok halangan untuk saling tolong menolong dalam menunaikan perkara kebaikan. Akan tetapi, air mata selalunya akan mengalir apabila teringatkan pengorbanan yang kalian lakukan. Aajarakumullah.

6:: Last but not least, sudah tentu saya akan pahatkan pengorbanan keluarga saya dalam memberi kredit kepada saya untuk mengharungi cabaran di bumi Syam khususnya buat ayahbonda tercinta. Ketika selesai PMR, saya mendapat keputusan yang agak baik 8A 1B. Ketika itu, cita-cita saya adalah menjadi seorang doktor. Namun, ketika memilih aliran pada tingkatan 4, saya agak terpengaruh sedikit dengan sahabat-sahabat untuk berpindah sekolah dan masuk maahad tahfiz. Walaupun kesudahannya adalah semua kami tidak jadi pindah ke maahad tahfiz, cita-cita untuk menjadi doktor telah beralih dan saya mula memikirkan aliran yang boleh membuatkan saya cenderung ke arah tahfiz. Akhirnya saya tidak memilih aliran sains. Ayahbonda setuju tapi adik beradik bonda ada yang tak setuju. Ayahbonda melakukan pengorbanan ‘tahan telinga’ pada waktu itu. Selepas SPM, saya mendapat banyak tawaran antaranya Matrikulasi KPM K.Pilah dan juga Matrikulasi UIA. Akan tetapi saya memilih tawaran yang ketiga iaitu untuk ke Darul Quran Kuala Kubu Bharu walaupun bonda agak cenderung untuk memilih Matrik UIA. Saya pada waktu itu memberi alasan bahawa “selepas DQ pun boleh masuk UIA”. Sekali lagi pengorbanan dilakukan oleh mereka.

Sesudah tamat DQ, saya menyuarakan hasrat hati saya untuk menyambung pelajaran ke Syria. Idea itu tidak disambut baik. Mungkin kerana saya sudah khilaf dengan kenyataan saya sebelum saya masuk DQ. Namun, saya cuba untuk menimbulkan keyakinan kepada ayahbonda dengan pelbagai usaha. Tetapi gagal. Akhirnya saya mendaftar di UIA dengan hati yang berat. Sehinggalah kepada satu waktu, keinginan ini saya timbulkan semula kepada mereka.

Saya masih ingat, ketika itu sebelum saya berangkat untuk bertugas pada PRK Pengkalan Pasir di Kelantan. Pada waktu itu, saya nyatakan keinginan kepada mereka dan memberi ruang masa untuk mereka berfikir memberi keizinan kepada saya untuk ke Syria. Setelah seminggu di Pengkalan Pasir, saya pulang dan berbincang. Akhirnya mereka bersetuju dengan penuh keberatan. Ini adalah satu pengorbanan besar mereka buat saya walaupun mereka bersetuju dengan keberatan. Saya dengan kekuatan yang ada menyatakan untuk tidak akan memberi bebanan kewangan kepada mereka. Atau dengan kata lainnya, mereka tidak perlu memberi duit bulanan kepada saya. Pasal kewangan, saya akan uruskan. Apa yang penting ialah izin dan redha.

Bagi saya itulah batu asas yang kuat untuk saya berusaha pergi ke bumi Syam. Rentetan itu, saya masih lagi ingat bagaimana saya dimarahi oleh ketua jabatan untuk keluar UIA, dimarahi juga oleh sebahagian sanak saudara, saya juga ingat saya hanya berseorangan menunggang motor EX5 dari Terengganu ke KL, juga dari KL ke Jengka, berseorangan mencari jalan-jalan dan bangunan-bangunan di KL,  naik-turun pejabat dan bangunan untuk mencari sponsor dan sebagainya. Semuanya berpunca daripada kuatnya aura pengorbanan ayahbonda lalu jiwa saya mempunyai kekuatan untuk melakukan pengorbanan-pengorbanan yang lain.

Kini saya sudah berada di separuh masa kedua saya di Syria. Alhamdulillah, kebanyakan perkara sudah berubah. Ayahbonda serta adik-beradik yang lain bangga saya belajar di Syria. Berbeza lebih kurang 3 tahun setengah yang lalu. Semuanya berlalu dengan pengorbanan dan ketabahan. Mereka semakin faham dan view mereka melihat pengajian agama di timur tengah juga semakin berubah. Semuanya bermua dengan sebuah pengorbanan.

7:: Bukanlah bermaksud insan-insan yang saya tidak sebutkan nama mereka merupakan insan tidak penting. Akan tetapi, saya sebutkan watak-watak utama dan istimewa supaya mereka lebih dihargai. Kepada mereka yang berkorban tetapi saya tidak ketahui contohnya orang yang selalu mendoakan saya, saya amat-amat menghargainya dalam doa-doa saya. Kerana insan-insan ini menyumbang dalam keadaan saya tidak mengetahuinya. Moga Allah memberkati kalian.

8:: Saya menceritakan penama-penama di atas untuk kita mengambil pengajaran sempena Hari Raya Korban ini. Ambillah pengajaran daripada pengorbanan mereka. Boleh jadi suatu hari nanti, kita berada di situasi mereka lalu kita mesti berkorban sepertimana mereka semua telah berkorban. Doakanlah mereka supaya mereka diberkati, dirahmati dan dilapangkan oleh Allah kehidupan mereka lantaran pengorbanan-pengorbanan yang telah mereka lakukan kepada saya. Ingatlah, dengan pengorbanan Ibrahim, Ismail dan Hajar, kita melalui kehidupan yang bermakna dengan Islam pada hari ini. Tidakkah kita mahu untuk berkorban, lalu orang lain menikmati kesan pengorbanan kita manakala kita merasai pahala dan kebajikannya??

Quulu “Balaaa…” (Katakanlah “Bahkan”)

6 thoughts on “Salam Pengorbanan

  1. Pingback: Spesifikasi Komputer Dengan Budget 4 Juta Untuk Main Game ? :: Computers and Equipment

  2. Salam Pengorbanan Sahabatku…
    Benar, Pengorbanan terbesar adalah pengorbanan diri sendiri. Kuat kerana kita ada Allah dan Doa, yakin jalan yang dipilih adalah pilihanNya. Selagi kita menjaga hablu minaAllah maka selagi itulah mudah hablu minannas, manusia hanya wasilahNya… Semoga kuat semangat dan terus tabah menghadapi liku-liku hidup ini hingga ke perjalanan terakhir… Allahuyahmiika

  3. Junior di sekolah menengah, junior di DQ dan junior juga di Syria ni. Tak lain dan tak bukan Ust Farid (Allah Yuzawwijuh..). Allahumma amin! Uhibbuka wa uhibbuhu fillah ya akhy!

    Balligh salamy ila ikhwatina al-mahbubah! Jazakalallahu ahsan al-jaza’. Amin!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s