Memberi Nilai Kepada Usrah

Jika kita menghadiri sesuatu majlis, majlis bagaimanakah yang kita rasa begitu bermakna? Yang meberi kesan dan keselesaan kepada kita? Ramai di kalangan kita yang telah menghadiri pelbagai bentuk program, dan di sana dapat dibezakan mutu antara program-program tersebut.

 

Semasa mula-mula berada di Darul Quran, kami selalu mengadakan program. Akan tetapi setiap kali mengadakan program, semua orang datang dengan gaya masing-masing. Ada yang berselipar jepun, ada yang berkain pelikat dan bermacam-macam lagi. Kadang-kadang, semasa program nak dimulakan, persiapan masih belum disempurnakan. Jemputan datang dalam keadaan koordinator masih lagi menyusun-nyusun kelengkapan. Keadaan ini ditegur oleh ustaz saya (Ust Zamri) dalam kelas madah Dakwah. Katanya “Korang ni… Bila buat program tu, bagi lah nilai kepada program tu. Jangan buat sekadar melepaskan batuk di tangga je..”

 

APAKAH NILAI ITU?

Jika kita sebagai peserta program, kita dapat mengetahui AJK program tidak begitu bersungguh dalam menjayakan program apabila melihat mereka hanya berehat sedangkan banyak tugas yang perlu di’settle’lkan. Kita juga dapat merasai program itu tidak berapa penting sekiranya tiada persiapan rapi dibuat.

 

Setiap program itu semestinya ada nilai tersendiri. Nilainya bergantung kepada sejauhmana orang yang terlibat dengannya memberikan nilai. Caranya mudah, kita menghormati majlis tersebut. Sekiranya kita sebagai peserta, datanglah dengan berpakaian kemas dan menepati masa. Berbezakan apabila peserta yang datang ke sesuatu program dengan berpakaian jubah kemas berbanding kain pelikat yang mempunyai banyak gaya pakainya? Berbezakan bilamana ramai peserta datang dengan memakai kasut hitam berkilat berbanding selipar jepun yang banyak warnanya? Secara automatiknya, kita rasa program yang pesertanya berpakaian jubah kemas dan berkasut hitam berkilat lebih ‘izzah’nya. Kesannya pun akan lebih terasa.

 

NILAI KEPADA USRAH

Saya cuba bawakan fikrah ‘memberi nilai’ ini kepada sahabat-sahabat di Syria khususnya dalam pelaksanaan usrah (di Syria disebut diskusi). Pada sesi sebelum-sebelum ini, ramai yang memandang enteng kepada usrah. Kesannya, bilangan usrah yang berjalan di Syria boleh dibilang dengan jari (khususnya di sebelah syabab). Mungkin mereka tidak tahu, medium usrahlah yang melahirkan insan-insan seperti TG Hj Abdul Hadi, Sheikh Said Hawwa, Ust Yahya Othman, Ust Rahmat Abdullah dan sebagainya.

Puncanya ialah mereka awal-awal lagi tidak memberi nilai kepada usrah, merasakan usrah itu perkara murah yang boleh diabaikan dan diketepikan. Jika diatur kumpulan usrah untuk mereka, mereka tidak akan hadir. Kalau hadir pun, sejam lewat.. Akhirnya, usrah berkubur begitu sahaja.

Setahun kebelakangan ini, usrah mula diberi perhatian semula oleh kepimpinan PPMS. Alhamdulillah, aktiviti ini mendapat tempat semula dalam persatuan. Hari Jumaat dijadikan hari Usrah. Pejabat PPMS ditutup. Program persatuan pun seboleh mungkin dialih ke hari Sabtu untuk memberi laluan kepada usrah. Kumpulan diskusi yang aktif berjalan akan diberi insentif bulanan. Alhamdulillah, apabila ada pihak memberi nilai kepada usrah, akhirnya usrah dilihat begitu berharga. Kini bilangan usrah aktif bertambah. Tidak kurang juga semakin banyak program-program kecil dibuat bersama-sama usrah masing-masing.

 

NILAI YANG TINGGI

Namun begitu, saya ingin membawa sahabat-sahabat berfikir. Apakah cukup untuk kita sekadar melaksanakan usrah? Kalau sekadar melaksanakan usrah, orang kampung biasa pun mampu. Tetapi bisakah kita mencintai amal tarbawi ini lantas memberi nilai yang tinggi kepadanya?

Sekiranya seorang suami mencintai isterinya, dia akan sentiasa teringat-ingat isterinya. Sentiasa memikirkan apa yang terbaik buat isterinya. Sentiasa memberikan yang terbaik buat isterinya. Dan sentiasa menghadiahkan penghargaan kepada isterinya.

Bagaimanakah kita dengan tunjang amal tarbawi ini iaitu usrah?

 

Sekiranya seseorang itu suka dan cinta kepada amal tarbawi ini, pasti dia akan memberi komitmen yang tinggi serta komited kepada setiap aktiviti usrah..

Sekiranya seseorang itu suka dan cinta kepada amal tarbawi ini, sudah pasti dia akan sentiasa memikirkan bagaimanakah aku ingin memberi nilai kepada usrah…

Sekiranya seseorang itu suka dan cinta kepada amal tarbawi ini, tentu dia akan hadir awal usrah dan tepat pada masanya kerana itu adalah tanda nilai yang diberi…

Sekiranya seseorang itu suka dan cinta kepada amal tarbawi ini, sudah pasti dia membuat persediaan yang rapi untuk MEMBERI kepada sahabat-sahabat seusrah…

Sekiranya seseorang itu suka dan cinta kepada amal tarbawi ini, tentu dia sendiri yang memberi cadangan-cadangan yang baik untuk meningkatkan ‘nilai’ usrah itu…

Sekiranya seseorang itu suka dan cinta kepada amal tarbawi ini, pasti dia tidak memandang enteng kepada usrah.

 

Andai yang tidak memberi nilai kepada usrah ini adalah orang yang tidak ada basic agama dan tidak faham Islam, rasanya agak munasabah dan saya boleh terima. Akan tetapi jika yang tidak memberi nilai kepada usrah ini adalah orang yang belajar agama malah digelar pejuang dakwah, tahu kewajipan beramal untuk Islam, tahu mendaulatkan Islam itu wajib, tahu ada ganjaran daripada amal ini, maka itulah yang mengecewakan kita.

 

Wahai pejuang dakwah, berilah nilai kepada usrah anda. Hargailah usrah anda dengan memberi nilai yang tinggi kepadanya. Tanpa anda memberi nilai, usrah hanya dianggap seperti sampah yang bersepah-sepah di tepi jalan… tiada nilai dan tiada maknanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s