Dulu dan Kini : Di Mana Kita?

Oleh : Ustaz Mokhtar Senik

Melihat kepada berbagai kemelut politik dalaman sejak akhir-akhir ini, mengingatkan saya kepada Pas di awal-awal tahun 80an. Kerinduan berputik ditangkai hati,untuk dapat menikmati manisnya liku-liku perjuangan. Rindu rasanya untuk melalui kembali saat manis berusrah. Saat manis berukhuwwah dan makan setalam dalam program Pas. Saat manis bermathurat lewat qiamullail jamaaei yang dianjurkan oleh Pas dimarkaz Pas yang pastinya serba sederhana. Saat manis mendengar rintihan doa-doa pimpinan yang merayu kemenangan untuk Pas,Mujahidin di Afghanistan dan diserata dunia. Saat manis melihat airmata pimpinan dan ahli Pas menitis ketika berlakunya peristiwa Lubuk Merbau dan Memali. Saat manis mendengar pidato pimpinan yang bersemangat menancap keampuhan akidah didada para hadirin. Saat manis melihat ahli-ahli Pas yang datang dari jauh memenuhi kebun-kebun getah dan tanah sawah yang kering untuk berijtima. Saat manis mendengar siri-siri kuliah pimpinan Pas yang menyedarkan hadirin betapa perjuangan ini memerlukan pengorbanan dan kejujuran. Saat manis melihat betapa “tok ayah” yang datang jauh dari kampung pendalaman menghulurkan duit “Samah” ( 50 sen) kedalam kopiah lembik yang dihulurkan kepadanya dalam perlancaran derma kilat Pas. Ketika duit samah yang diambil dari lipatan plastik lusuh yang digulung dalam kilas kain pulikatnya itu dihulur, terpancar keikhlasan yang sungguh dari wajah tua yang tiada yang diharapkan kepada Pas ini selain harapan untuk memacu sebuah perjuangan Islam sehingga keakhirnya. Ketika itu saya berusia pertengahan belasan tahun, dan masih dalam dunia pengajian. Namun kemanisan itu masih melekat kukuh dalam jiwa saya hingga saat ini.

Ketika itu Ahli-ahli Pas cukup puas dengan keyakinannya, walaupun jumlah mereka tidak ramai disesebuah kampung. Bahkan hak-hak mereka sering dinafikan oleh Tok Pengawa,Tok Penghulu dan JKK Umno. Namun mereka cukup istiqamah dengan apa yang pimpinan dan ulama ajar kepada mereka. Sifat “Sami’ Na wa Atho’ Na” benar-benar muncul dalam amalan mereka. Mereka patuh dan taat kepada pimpinan bukan kerana mereka “orang bodoh” yang tiada idea dan wawasan. Tapi oleh kerana tebalnya rasa hormat mereka kepada pimpinan, dan fahamnya mereka tentang adab-adab berjamaah maka segala rasa tidak puas hati itu mereka luahkan secara sangat tertib melalui saluran yang telah ditetapkan oleh Islam. Wala’ mereka kepada jamaah dan pimpinan sangat tinggi. Mereka akur dengan pandangan jamaah bukan kerana mereka orang-orang dungu yang hanya layak jadi “Pak Turut”, tetapi dek berkesannya asuhan yang mereka perolehi dari usrah-usrah Pas dan kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh pimpinan kepada mereka, maka mereka tahu membezakan antara “tidak puas hati” dengan “keputusan jamaah”. Walaupun ilmu dan asuhan itu mereka perolehi dari usrah-usrah kekampungan dan ceramah-ceramah dalam kebun-kebun getah, namun kerana ikhlasnya mereka, Allah berikan mereka sifat tawadhu’ yang sangat mulia dan persaudaraan islam yang sungguh manis.

Keadaan itu telah beransur pergi meninggalkan kita. Watak-watak baru telah muncul. Samaada kerana mereka tidak pernah berada dalam usrah-usrah Pas atau kerana telah ada orang lain yang “merasuk” akhlak mereka sehingga muncul suara-suara “histiria” yang merobek adab terhadap pimpinan. Sifat “biadap” dengan apa alasan sekalipun tidak pernah diterima oleh Islam sebagai budaya yang mulia. Yang menghairankan ialah munculnya watak-watak angkuh itu saat Pas telah dipenuhi oleh orang-orang “hebat” yang “educated”. Dimana letaknya nilai-nilai educated itu?. Ilmu tiada nilai jika tidak disertai adab. Atas nama “hak bersuara”, maka jamaah dan pimpinan dikritik dimana-mana Kononnya kerana kita hidup di era informasi. Apakah era informasi itu bermakna era “tanpa syariat”? era tanpa “adab”? era berjamaah tanpa “wala”?. Apakah kerana merasa “gah” bilama sering dijemput kestudio untuk berwacana maka kesopanan dan adab berjamaah tidak perlu diutamakan lagi?. Sayang..bilamana manusia berpelajaran dalam dunia informasi ini rela dijadikan “peluru” untuk musuh menembak pimpinan dan jamaahnya sendiri. Orang-orang kampung Memali dipendalaman Baling sangup di “tembak” kerana mempertahankan pimpinan dan tokguru mereka. Tapi kita yang berpelajaran yang berseminar di dewan-dewan berhawa dingin pula menjadi “penembak” pimpinan dan tokguru sendiri. Sesungguhnya menjadi orang jahil yang mulia lebih baik dari menjadi orang berilmu yang hina.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah. Marilah kita kembalikan kemanisan perjuangan ini dengan akidah,akhlak,ukuwwah, adab dan wala’ yang sejahtera terhadap jamaah dan pimpinan. Ada orang berjuang kerana mahukan pangkat dan kedudukan, ada orang berjuang kerana mencari pahala dan kebajikan dan ada orang yang berjuang kerana mencari “cinta” Rabbnya. Di manakah kita?.

One thought on “Dulu dan Kini : Di Mana Kita?

  1. Assalamualaikum ustaz…

    Terlebih dulu saya ingin mengucapkan syukur dan tahniah berhubung article di atas.

    Membaca tulisan ustaz mengingatkan saya di era tahun 80-an dan awal 90-an dulu.Saya bersetuju dgn pandangan ustaz mengenai situasi yg berlaku dewasa ini.

    Mengiungatkan kembali waktu itu membuatkan jiwa menjadi remaja semula.Semangat yg membara dan keyakinan yg tinggi terhadap pertolongan Allah membuatkan kita tidak sesekali merasa lemah mau pun hina apabila berdepan dgn kekuatan dan keangkuhan umno/bn.

    Semangat persaudaraan dan kasih sayang yg tinggi sesama ahli jemaah sesuatu yg amat berharga dirasai waktu itu.Semuanya adalah kenangan manis yg sukar dilupakan malah dirindui kehadirannya.Malah saya juga boleh tersenyum apabila mengingatkan pengalaman pahit berdepan dgn musuh…seolah-olah ianya kenangan manis.

    Apapun ianya telah berlalu.Kini kita menghadapi suatu keadaan yg berlainan dan lebih mencabar.Hanya yg benar2 ikhlas dan istiqamah shj yg akan mampu bertahan….insyaallah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s