Badai, gempa dan 2012

Sudah beberapa minggu angin badai musim bunga bertiup kuat di Syria. Kadang-kadang, boleh menggugat keimanan saya untuk melazimi pengajian selepas Subuh di jamik. Musim bunga disebut dengan “Rabi’” dalam bahasa Arab. Dalam kalendar hijrah, ada dua bulan yang dinamakan sempena musim ini iaitu Rabi’ul Awal dan Rabi’ul Akhir. Suhu sejuk di musim bunga tidaklah bersangatan, tetapi anginnya cukup untuk membuatkan kulit muka, pipi dan bibir menjadi kering… kuat dan membadai. Ditambah lagi apabila melalui kawasan lapang, sudah pasti segala benda ringan berterbangan.

 

Kekuatan angin yang melanda kini mengingatkan saya kepada gempa bumi di Haiti pada hampir 2 bulan lepas. Memang diakui, gempa yang berlaku di Haiti tanggal 13 Januari 2010 dan angin yang kuat melanda Syria kini berasal dari pencipta yang sama iaitu Allah. Tragedi gempa bumi sekuat 7 pada skala Richter yang berlaku pada pukul 4.53 petang waktu tempatan dan berpusat 15 kilometer dari barat Port-au-Prince, ibu negara Haiti itu, nyata memberi tamparan hebat buat negara miskin tersebut yang hanya bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan utamanya. Bencana tersebut disifatkan sebagai paling kuat dan paling buruk pernah melanda Haiti sejak 200 tahun lalu. Gempa bumi tersebut telah menyebabkan banyak bangunan dan infrastruktur ranap,selain meragut ratusan ribu nyawa.Kesan teruk ini menyebabkan ramai pihak menghantar bantuan atas nama kemanusiaan (walaupun kadang-kadang ia adalah ‘misi agama’). Pemimpin-pemimpin negara, artis, selebriti, badan-badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan kebajikan menghulurkan bantuan terus kepada Haiti. Tidak ketinggalan juga syarikat-syarikat gergasi internet seperti Yahoo! dan juga Twitter.

 

Namun, lebih kurang sebulan selepas itu, berlaku satu lagi gegaran gempa bumi di Chile. Kali ini lebih kuat daripada apa yang berlaku di Haiti. Gempa bumi di Chile tersebut dianggap antara yang paling kuat dalam sejarah, setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 300 orang, di samping mencetuskan ombak tsunami yang meredah Lautan Pasifik dan melanda Jepun sehari kemudian.

“Kekuatan alam sekali lagi membawa kemusnahan di negara kita,” kata Presiden Chile, Bachelet yang mengisytiharkan enam daripada 15 wilayah Chile sebagai ‘zon bencana’ berikutan gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter itu.

 

Lebuh-lebuh raya dan jambatan di negara yang mempunyai 16 juta orang penduduk di Amerika Selatan ini musnah dan bangunan runtuh apabila gempa bumi itu melanda kawasan kira-kira 325 kilometer ke barat daya ibu negara, Santiago. Ombak setinggi lebih dua meter menghempas pantai Chile selepas gempa bumi kuat itu dan kemudian bergerak meredah Lautan Pasifik, menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh di kepulauan terpencil Robinson Crusoe. Di pelabuhan Talcahuano, Chile, kapal pukat tunda dibawa ombak sehingga ke pusat bandar dan terdampar bersebelahan kereta-kereta yang ditinggalkan.

 

2012 DAN KIAMAT

Gambaran gempa yang berlaku cukup dahsyat pada pandangan kita. Namun, ia semestinya tidak sama dengan orang yang mengalaminya. Begitu juga yang berlaku dalam filem 2012. Gambaran “The End of Life” oleh Emmerich sangat dangkal dan cetek. Oleh sebab itu, Majlis Syura Ulama Indonesia membuat kenyataan sekitar 2012 bahawasanya ia menyesatkan aqidah umat Islam. Kenyataan tegas dari Indonesia sangat penting bagi mempertegas penyelewengan gambaran “Kiamat” khususnya di penghujung filem “2012”.

 

Walaupun visual dan scene yang begitu menakjubkan bagi sesetengah orang, mesej yang dibawa di dalam filem tersebut sangat dangkal kerana ia seolah-oleh meminta untuk semua masyarakat dunia bernaung di bawah Amerika. Mungkin juga filem ini adalah sebahagian daripada perancangan illuminati untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat dunia. [Boleh rujuk di sini]

 

ANGIN YANG MENGUJI

Semasa saya di Darul Quran, musim angin kuat sering memberi polemik kepada pelajar perempuan (kami istilahkan sebagai Banat). Kawasan lapang dan angin kuat membuatkan banat-banat sukar menjaga daripada menyembunyikan bentuk tubuh mereka. Ini memaksa mereka memakai baju sweater bagi mengelak keadaan tersebut. Cumanya pertikaian berlaku ketika menentukan tudung perlu diletak di dalam baju atau di luar. Ada sebahagian cenderung untuk letak di luar kerana beralasan apabila tudung diletak di dalam sweater, ia akan menampakkan bentuk badan.

 

Keadaan ini ditegur oleh ustaz saya. Katanya lebih baik letak di dalam sweater kerana tudung itu akan berterbangan apabila ditiup angin kuat. Perkara ini sememangnya menjadi realiti kerana telah banyak berlaku. Masalah menampakkan bentuk tubuh akan selesai sekiranya baju yang dipakai longgar dan tidak ketat.

 

UJIAN UNTUK ORANG BERIMAN

Mungkin ramai yang tidak ambil kisah tentang hal ini, akan tetapi saya amat memuji kepada mereka yang mengambil cakna. Ini disebabkan perkara ini melibatkan hukum dan persoalan dosa & pahala. Allah datangkan angin untuk uji para muslimah untuk menguji thabat mereka dalam agama. Sekali pandang dilihat biasa, akan tetapi sebenarnya mempunyai nilai yang tinggi.

Begitu juga dengan gempa yang Allah datangkan kepada manusia. Ia adalah ujian dan peringatan kepada orang beriman. Untuk orang yang tidak beriman dan lalai, ia adalah satu bala. Kembali kepada kita untuk merenung, berfikir dan bermuhasabah terhadap signal-signal yang Allah berikan kepada kita kerana setiap perkara yang berlaku di muka bumi ini ada pengajaran dan hikmahnya.

“Sesungguhnya pada penciptaan dan kejadian di langit dan di bumi itu, ada petanda dan pengajaran bagi orang yang melihat (berfikir)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s