Catatan selepas imtihan

Assalamualaikum dan salam perjuangan.

Sudah lama tangan ini tidak menaip untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat di teratak blog ini. Blog kawan-kawan saya pun sudah banyak yang tinggal bersawang kerana ramai yang sudah beralih arah kepada Facebook yang lebih ringkas dan banyak interaksi.

Saya mengambil masa 2-3 hari kebelakangan ini untuk berehat seketika setelah hampir sebulan setengah letih menelaah buku. Musim peperiksaan yang lepas tidak begitu baik buat saya walaupun saya amat selesa dengan kondisi dan suasana peperiksaan tahun ini. Namun muqarrar (silibus) yang banyak amat meyukarkan saya untuk menyimpan semua maklumat dalam peti maklumat otak saya. Moga-moga imtihan yang datang akan menjadi lebih baik.

Di celah-celah kesibukan mengulangkaji pelajaran, banyak perkembangan yang berlaku khususnya di tanah air Malaysia. Saya hanya mengikutinya dengan membaca beberapa blog sebagai aktiviti selang antara jadual mengulangkaji. Ya lah, mata pun dah naik senak tengok tulisan Arab, sekali sekala mahu juga tulisan rumi yang dirasakan lebih ringan.

Mungkin isu yang panas lagi hangat diperkatakan sekarang ialah isu lesen judi bola yang diluluskan oleh kerajaan Pusat kepada syarikat Berjaya Group. Walaupun syarikat ini dah memang dikenali dengan syarikat yang kaya kerana memegang seluruh francais 7-Eleven di Malaysia dan juga beberapa perniagaan besar yang lain, kerajaan masih meluluskan lesen judi ini yang bukan sahaja terhad kepada Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung bulan depan, bahkan kepada liga-liga bolasepak utama dunia yang akan mula berlangsung di penghujung musim panas nanti. Tindakan ini bakal menjadikan Malaysia “Negara Judi” kerana Genting Highlands telah mengesahkan kedudukannya sebagai no.1 dalam senarai ranking Casino Dunia. Kalah Las Vegas… Dengan kelulusan yang diberikan kepada Berjaya Group, pusat judi kedua akan dikuatkan di Bukit Tinggi..

Namun di sebalik isu kelulusan lesen judi bola, saya amat tertarik dengan satu lagi peristiwa yang amat bermakna dalam sejarah gerakan Islam dunia pasca kejatuhan khalifah Turki Osmaniah. Apa yang saya maksudkan ialah penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas yang telah selamat dirasmikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas pada 23 Mei 2010.

Pada saya, penubuhan dewan ini telah berjaya memberikan satu lagi bukti bahawa Islam yang didokong oleh Pas ialah gaya hidup yang sesuai untuk semua, bukan sahaja terhad kepada sesuatu bangsa yang telah dominan sebelum ini. Ia juga telah menunjukkan kesungguhan Pas untuk menyatukan semua pihak dalam negara ini tidak kira bangsa, keturunan dan agama untuk berada di bawah lembayung rahmat keadilan Islam yang diturunkan oleh Allah.

Antara peristiwa yang boleh dijadikan dalil kepada tindakan ini ialah apa yang berlaku dalam peristiwa hijrah di mana Rasulullah s.a.w telah menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan untuk ke Madinah. Abdullah bin Uraiqit bukanlah seorang Islam, akan tetapi oleh kerana dia tidak menyukai tindakan pembesar-pembesar Mekah yang zalim, dia turut membantu Rasulullah dan satu peristiwa besar dalam sejarah Islam iaitu hijrah selepas melihat pekerti yang ditunjukkan oleh baginda. Begitulah yang berlaku kepada orang-orang bukan Islam yang berada dalam DHPP ini. Mereka bukanlah Islam, tetapi mereka tidak menyukai kezaliman yang berlaku. Mereka telah melihat keadilan yang diperjuangkan oleh Pas buat sekian lama, lantas mereka tidak ragu-ragu untuk menyokong perjuangan Pas ini. Laksana Abdullah bin Uraiqit, ahli DHPP tidak lagi ‘takut’ kepada Islam.

Keazaman dan komitmen yang diberikan oleh Pas dalam menegakkan keadilan berjaya menunjukkan hasil apabila 20 ooo orang telah menjadi ahli DHPP. Sekali-sekala terfikir juga, kenapa mereka sanggup berubah, tak takutkah mereka dengan tindakan kerajaan zalim BN? Ditarik bantuan, projek tak dapat, kemajuan tiada dan sebagainya? Tidak bimbangkah mereka sebagaimana orang-orang Melayu bimbang untuk berubah? Letih memikirkan kenapa lah orang yang mengaku Islam sukar untuk berjuang Islam, orang bukan Islam rilek je..

Hari ini, Pas berada lebih tinggi daripada gerakan-gerakan Islam lain. Lebih tinggi dari Ikhwanul Muslimun dan Jamiat Islami apabila menerima bukan Islam sebagai ahli mereka. Kematangan Pas dalam politik Islam dan pemerintahan lebih terkehadapan dan meyakinkan. Perlu diketahui bahawa ahli DHPP bukan sahaja terdiri daripada Cina dan India, bahkan orang Asli, kaum Iban di Sarawak dan Kadazan di Sabah turut menyertai DHPP.

Saya amat mengharapkan agar penubuhan ini menjadi titik anjakan yang kuat untuk membolehkan Islam berdaulat di Malaysia. Dan saya amat mengharapkan sebelum saya menghembuskan nafas yang terakhir, saya sempat merasai nikmat hidup dalam pemerintahan Islam samada daulah ataupun khilafah Islamiah. Allahumma amin !!!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s