Rindu untuk ditarbiah

Assalamualaikum dan salam perjuangan..

Sudah masuk bulan ketiga saya bergelumang dengan imtihan. Background kehidupan sepanjang musim imtihan hanya terhad kepada buku, masjid dan juga usrah. Banyak kali dalam tempoh ini saya asyik teringatkan sekolah lama saya, SMKA Sheikh Abdul Malek (SHAMS KT) yang menjadi medan mulanya saya di gelanggang dakwah dan tarbiah. Makin bertambah rindu apabila mengenangkan diri ini sudah lama tidak dibimbing oleh para murabbi tatkala banyak taklifat yang diberi kepada saya untuk membimbing orang walaupun saya tahu banyak kelemahan saya.

Kerinduan saya kepada suasana sekolah saya bukanlah kerana kecemerlangan akademik di peringkat PMR dan SPM nya, akan tetapi suasana tarbiyyah yang telah banyak membentuk diri saya sehingga saya menjadi diri saya hari ini. Saya tidak pasti apakah suasana yang mendasari biah sekolah saya selepas saya meninggalkannya pada 2001, akan tetapi apa yang pasti saya amat merindui apa yang saya lalui satu ketika dahulu.

Latarbelakang kehidupan saya sebelum masuk ke SHAMS adalah masyarakat peneroka Felda yang dihimpit dengan kesusahan dan sentiasa didoktrin dengan kejayaan anak-anak akan lebih baik sekiranya mereka masuk ke sekolah sains. Kurang penerapan agama dan kesedaran kembali kepada ajaran Islam walaupun Felda sudah dikenali dengan pusat gejala sosial orang Melayu. Walaupun ibu bapa saya bertugas sebagai pegawai Felda, akan tetapi sahabat-sahabat saya kebanyakannya adalah anak peneroka.

Ketika saya di tingkatan 1 dan tinggal di asrama, saya mengalami suatu kejutan budaya. Mana tidaknya, kami diasuh dengan solat jemaah 5 waktu yang saya jarang dapati ketika saya dirumah. Di rumah, saya ke masjid untuk solat jemaah biasanya malam jumaat dan hari jumaat sahaja, yang lain jarang sekali. Kemudian, saya melihat budaya abang-abang yang memakai jubah, serban, memberi tazkirah, menjadi qudwah kepada adik-adik dan sebagainya. Dalam hati saya merasakan ini satu dunia baru bagi saya.

Kemudian, tidak lama selepas itu kami pelajar tingkatan 1 akan dibentuk kepada kumpulan-kumpulan Ta’alim. Kumpulan ini akan dibimbing oleh abang-abang tingkatan 4 untuk mengajar kami semua fardhu Ain. Dari kumpulan ini, saya mula mengenali erti penghayatan hidup secara Islam, mula mengenali nama-nama ulama, mula mengenali perselisihan fiqh dan sebagainya. Dan yang lebih menyentuh jiwa saya ialah akhlak saya dibimbing baik oleh naqib saya waktu itu Ust Mohd Izzam Mohd Khazar (saya memanggilnya Abg Izzam). Contoh yang diberi oleh beliau menyebabkan saya mudah untuk mengikut dan saya cepat berubah. Solat jemaah saya patuhi. Akhlak saya pastikan untuk dijaga sebaik mungkin. Pemakaian pula saya cuba untuk lazimkan pemakaian sunnah, sehinggakan abah saya merasa pelik apabila saya selalu memakai kopiah ke mana sahaja saya pergi walaupun pada waktu itu memang menjadi satu kepelikan kalau orang memakai kopiah selain di masjid. Pernah sekali saya menempah jubah sebagai baju raya yang membuatkan mak dan adik beradik saya terkejut… “Pak Aji”, “Tok Imam” dan sewaktu dengannya antara gelaran awal yang saya perolehi daripada adik beradik sendiri. Tambahan pula kalau saya kenakan serban dengan jubah tersebut.

Namun semua kepelikan yang orang lihat terhadap perubahan saya itu saya lalui dengan baik kerana jiwa saya dituntun oleh abang-abang yang tidak jemu mentarbiah saya apatah lagi apabila ada juga abang-abang yang keluarga mereka senasib dengan saya.

Surah al-Maidah – pusat tarbiyyah kami

Naik ke tingkatan 2, saya mendapat murabbi ke-2 apabila Abg Izzam diberi mandat sebagai ketua pelajar dan tugasnya diberi kepada Abg.Fahzan. Insan ini telah membuka lagi dunia saya kepada seni tarbiyyah dan pembentukan diri. Saya dipertemukan dengan program-program tarbiyyah yang akhirnya berjaya membentuk cara saya berfikir. Di tahun itulah saya mula mendekati ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah Tuan Guru Haji Abdul Hadi walaupun saya tidak mengenalinya sebelum-sebelum itu. Di tambah pula dengan semangat reformasi, kesedaran dan perwatakan saya bertambah mudah untuk dibentuk dan dibina.

Bila difikir-fikir semula, seolah-olah sudah menjadi satu tradisi dan sistem kami di asrama dalam usaha pembentukan pelajar apabila form 5 akan membimbing form 2 dan form 4 akan membimbing form 1. Manhaj yang tersusun dengan perencanaan Allah !!

Mengenangkan suasana-suasana lampau, menyebabkan saya memuhasabah diri betapa lemahnya saya dalam memberi contoh kepada adik-adik senior dalam membentuk jatidiri mereka ketika ini. Tidak seperti abang-abang yang telah mentarbiah saya satu ketika dahulu walaupun pada waktu itu, mereka hanya berada di peringkat sekolah menengah.

Sungguh, saya amat mendambakan sentuhan-sentuhan tuntunan murabbi supaya jiwa ini teguh dalam menghadapi tribulasi perjuangan. Saya percaya, jiwa yang kontang dari siraman tarbiyyah mudah tercicir di ranjau dakwah dan perjuangan. Murabbi-murabbi yang berkaliber boleh membentuk generasi pejuang Islam yang bakal memerintah dunia insya-Allah.

Makin lama difikirkan perkara-perkara ini, semakin bertambah rindu saya untuk ditarbiah.

[00:35 am] Bait Setinggan – Mujtahid – Damsyik, Syria.

2 thoughts on “Rindu untuk ditarbiah

  1. kadang-kadang apabila kita menjadi senior, ilmu dan pengalaman akan menjadi murabbi. bahkan telatah ahli bawahan menjadi pengiktibaran kepada seorang yang ingin menjadi murabbi.

    Ikatkan diri dengan ilmu dan amal, berakhlak dengan penuh kesedaran bukan sekadar ingin menunjuk di depan adik-adik semata-mata. lakonan akhlak lama kelamaan akan terbau busuk pada suatu ketika.

    selamat berjuang..

    coretan ringkas seorang sahabat yang sedang mencari idea..ceh

    attakiri
    Perpustakaan Tun Seri Lanang
    UKM, Bangi
    9.39 am waktu Malaysia

    • Beza bila pengalaman menjadi murabbi dan juga ada insan yang menjadi murabbi ialah kita lebih cepat dibentuk dan lambat sekali untuk mengalah. Pengalaman dan kehidupan mungkin boleh jadi murabbi yang berguna tetapi syaratnya kita kena kuat. Kalau tidak kuat, kita akan tersungkur

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s