Ramadhan yang dinanti

Nisfu Sya’ban sudah berlalu. Ramadhan kian melambai-lambai kepada umat Islam yang mencintai limpahan rahmat dan pengampunan Allah yang terbuka luas tidak seperti bulan-bulan lain. Berbaki 2 minggu lagi, haruman Ramadhan sememangnya dinanti untuk dinikmati sepenuhnya.

PERSIAPAN

Sekiranya pelajar tingkatan 5 ingin mengambil SPM, persiapan dilakukan sejak mereka melangkah ke tingkatan 4 lagi. Apabila mereka menaiki tingkatan 5, usaha dipertingkatkan berganda. Akan bertambah lagi gandaan tersebut selepas trial exam lantaran dekatnya dengan peperiksaan SPM tersebut. Peningkatan ini dilakukan kerana semua orang menganggap besar dan bernilainya segulung sijil yang dinamakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi seorang pegawai kerajaan, kerjanya akan bertambah sibuk andaikata ada lawatan yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri  ke tempat mereka. Sudah pasti persiapan dilakukan paling kurang sebulan atau 2 bulan sebelum lawatan tersebut diadakan. Persiapan dilakukan kerana mereka menganggap besarnya majlis itu lantaran ia dihadiri oleh Perdana Menteri dan orang kebesaran.

Namun, sungguh aneh dengan kebanyakan orang termasuklah kita. Bagaimana boleh kita tidak melakukan persiapan dan bersungguh untuk bersiap bagi mengahadapi Ramadhan. Jika kita melihat kepada perkara dunia, bukan main lagi manusia bersungguh untuk membuat persiapan. Kalau Ramadhan, hari pertama itulah baru kita nak berpuasa, hari pertama itu lah baru nak buka al-Quran, hari pertama itulah baru nak kenal solat witir dan sebagainya. Bagaimana hal ini boleh berlaku?

Seperti 2 analogi yang saya bawa di atas, kita dapat simpulkan bahawa sebenarnya persiapan kita bergantung kepada sejauh mana kita melihat bernilai dan ‘besar’nya Ramadhan itu. Ada orang melihat Ramadhan itu bulan yang meletihkan dan menyusahkan. Ada orang melihat Ramadhan adalah bulan yang akan dibebankan dengan ibadah-ibadah ritual. Ada orang melihat Ramadhan dengan pandangan sinis dan negatif. Maka golongan-golongan ini tidak akan menghargai kedatangan Ramadhan. Lantas, tiada persiapan yang akan dibuat. Akhirnya, mereka tidak akan merasa ternanti-nanti untuk berjumpa semula dengan Ramadhan.

Adapun orang-orang yang melihat Ramadhan sebagai medan yang sangat berharga untuk beribadah, untuk mendekati Allah, juga sebagai peluang keemasan untuk memohon maghfirah yang diluaskan oleh Allah ketika Ramadhan. Golongan ini amat merindui dan menantikan kedatangan Ramadhan dan sangat berharap untuk menemuinya. Sudah pasti mereka akan melakukan persiapan untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Puasa sunat sudah dilakukan sejak Rejab lagi. Qiamullail dan tahajjud mula dilakukan di hujung-hujung minggu dan diperhebatkan lagi apabila semakin hampir dengan Ramadhan. Bacaan dan tadarus al-Quran sudah dimulakan dan diperhangatkan dalam tempoh masa yang panjang sebelum Ramdhan. Inilah bentuk persiapan yang dianjurkan oleh Islam. Adapun senarai menu berbuka puasa dan moreh, itu soal yang terkemudian. Ibarat kereta yang sudah dipanaskan enjinnya, hanya menunggu masa yang ditentukan untuk melakukan pecutan. Begitulah ibaratnya, Ramadhan adalah masa untuk kita memecut, bukan baru untuk memanaskan enjin.

MENANTIKAN RAMADHAN

Rasulullah S.A.W  telah mengajar kita untuk menantikan Ramadhan dan mengharapkan ketibaannya dengan doa. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, apabila masuk bulan Rejab Rasulullah berdoa :

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَارِكْ لَنَا فِى رَمَضَانَ

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban, dan berkatilah kami pada bulan Ramadhan”

Menantikan Ramadhan bukanlah hanya dengan duduk mengharap untuk bertemu dengannya. Sebaliknya, persiapan untuk menyambutnya perlulah dibuat. Bimbang nanti kita tidak sempat untuk bertemu Ramdhan yang mendatang.

Ya lah, kita pun tak pasti adakah kita sempat atau tidak untuk berjumpa dengan Ramadhan kali ini. Manalah tahu, maut menjemput kita terlebih dahulu. Tak mustahil kan?

Difahamkan ramai meninggal dunia apabila mendapat serangan jantung buat kali pertama. Sebahagiannya langsung tidak didahului oleh tanda-tanda awal. Diri sendiri pun tidak menyedari dihimpit risiko arteri tersumbat dan degupan jantung terhenti.

Ada pemain bolasepak yang kelihatan segar-bugar, aktif lagi bermain, tiba-tiba jatuh dan mati di tengah padang.

Maut mengintai di mana-mana dan bila-bila. Alangkah beruntungnya orang yang sentiasa bersiapa siaga untuk menemui Ilahi dan diberi kesempatan dan kesedaran untuk menambah bekalan, selain bertaubat nasuha.

MENYEGERAKAN TAUBAT

Setiap kita pasti ada pengalaman tersendiri diberi peluang kedua mengabdikan diri setulusnya, merasai kemanisan beribadah, khusyuk di hening pagi bermunajat, berdoa, “membuat janji baru” dengan Tuhan.

Namun, begitulah kelemahan insan … Keinsafan mudah hilang seperti juga ia kerap kali muncul secara drastik. Ia membekas hanya seketika, tidak mampu membentuk personaliti lebih unggul, dan kembali sombong, angkuh dan lalai.

Seharusnya, dalam menunggu Ramdhan yang dinanti, kita mesti membuat sesuatu untuk menyambutnya. Sekiranya kita membuat persiapan dan Allah menjemput kita sebelum bertemu dengan Ramadhan, insyaAllah kita sudah bersedia untuk bertemu denganNya. Nantikanlah Ramadhan dengan amalan kita !!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s