Ibrah dari Istisqa’

Syukur kepada Allah kerana saya dapat merasai pengalaman solat Istisqa’ semalam. Selama ini, saya hanya membacanya di kitab-kitab fiqah dan hadis ahkam, tetapi semalam banyak perkara yang saya dapat dari solat ini. Dalam mazhab syafie, orang Islam disunatkan untuk berpuasa 3 hari sebelum hari solat Istisqa sebagai tanda taubat dan penghambaan kepada Allah. Malah, pada hari solat itu juga, disunatkan berpuasa serta kita digalakkan untuk berpakaian dengan pakaian yang tidak melambangkan kemegahan dan keceriaan. Pakai baju yang lama-lama dan lusuh. Bentuk solat istisqa’ sama sahaja dengan solat Eid (Sembahyang raya), dilakukan di padang luas, 7 takbir pada rakaat pertama, 5 takbir pada rakaat kedua dan disusuli dengan khutbah. Apa yang lainnya ialah pada permulaan khutbah, kalimah istighfar menggantikan kalimah takbir yang dilaungkan ketika solat Eid. Bentuk khutbah juga akan menjuruskan kepada taubat dan meninggalkan kezaliman.

Saya mengucapkan syabas kepada Kementerian Wakaf Syria kerana telah melakukan inisiatif yang baik apabila meminta semua masjid di Syria membuat solat Istisqa’ kelmarin. Ini berikutan hujan lebat tidak pernah turun di Syria sejak beralih kepada musim sejuk pada awal November yang lepas. Alhamdulillah, Allah makbulkan permintaan hamba-hamba-Nya apabila menurunkan hujan rahmat hari ini, sesuatu yang menggembirakan semua orang.

Semalam saya bersolat Jumaat di Masjid Zainal Abidin dan mendengar khutbah dari Sheikh Mustofa al-Bugho, pengarang kitab fiqh Syafie yang terkenal “Fiqh Manhaji”. Saya merasakan khutbah pada kali ini ada kelainan yang nyata berbanding khutbah-khutbahnya sebelum ini. Khutbahnya kali ini mengulas mengenai peristiwa hijrah. Hanya satu perkara yang disentuh daripada peristiwa hijrah ini iaitu UKHUWWAH ISLAMIAH. Teguran-teguran yang dibuat seakan-akan dituju satu-persatu ke atas kepala saya, walaupun apa yang dicakapkan adalah untuk umum. Saya cuba melihat keadaan sekeliling, mulut-mulut jemaah terkumat-kamit mengucapkan istighfar. Allaah…

Setelah selesai solat jumaat, kami terus menunaikan solat Istisqa’. Ketika khutbah disampaikan, sheikh tidak henti-henti memuhasabahkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh umat Islam sekarang dan menyuruh semua orang untuk bertaubat. Khutbahnya yang berkesan membuatkan masjid “banjir” dengan air mata jemaah.

Usai solat, saya melihat status YM sahabat-sahabat saya yang lain. Nyata sekali, ramai yang terkesan dengan khutbah Istisqa’ kali ini walaupun bersolat di tempat yang berlainan.

Kejadian semalam dan hari ini membuatkan saya terfikir banyak perkara. Antaranya, perbezaan mutu khutbah kita dengan apa yang ada di Syria. Di Malaysia, khatib sering membaca khutbah berbanding “berkhutbah”. Malah, seringkali khatib-khatib yang “berkhutbah” akan digam kerana tidak membaca teks khutbah. Sudah pasti, apabila kita membaca, intonasinya tidak sama ketika kita bersyarah seperti biasa. Tarikannya juga lain dan sudah pasti kesannya lain. Di Syria, setiap tahun akan dibuat kursus untuk para khatib untuk melatih mereka berkhutbah, bukan membaca khutbah. Oleh sebab itu, banyak sekali keadaan di sini di mana imam di sesuatu masjid tidak akan menjadi khatib Jumaat lantaran Kementerian Wakaf menghantar khatib-khatib yang telah dilatih untuk berkhutbah.

Ibrah lain ialah Istisqa’ mengajar kita untuk sentiasa tunduk kepada kebesaran Allah. Kita juga diajar untuk sentiasa bertaubat daripada segala kesalahan kita. Setiap manusia sudah pasti membuat maksiat dan kesalahan. Sebaik-baik mereka ialah mereka yang segera bertaubat. Sepanjang khutbah solat Istisqa’, kita disunatkan untuk memperbanyakkan istighfar, selawat, doa dan membaca ayat 11 surah Nuh. Ayat ini memberitahu, selepas kita beristighfar, Allah akan melimpahkan rezeki kepada hamba-Nya.

Ibrah lain ialah bala Allah meliputi semua orang, bukan orang yang membuat maksiat sahaja. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada kita semua melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Tidak cukup kita hanya berada di tikar sejadah, berzikir, bertahmid, bertasbih, bertakbir dan berdoa sedangkan masyarakat terus berada dalam kegelapan jahiliyyah.

Ibrah yang paling saya ingat ialah Istisqa’ ini sebenarnya menguatkan lagi semangat pejuang-pejuang Islam untuk terus menentang kezaliman dan penyelewangan. Kezaliman yang semakin berleluasa sebenarnya mengundang kemurkaan Allah dan bala-Nya. Tidak harus bagi seorang pejuang untuk lari dari perjuangan mahupun berundur kerana letih, putus asa dan fed-up dengan mehnah yang ditempuhi. Saya teringat kisah yang diceritakan ketika mana Allah memerintahkan malaikat untuk memusnahkan sebuah kampung kerana berpaling daripada ajaran Allah. Lantas, apabila malaikat turun, mereka mendapati bahawa ada orang yang kuat beribadat tanpa mempedulikan kemaksiatan orang lain. Lantas malaikat mengadap semula Allah dan memberitahu bahawa terdapat manusia yang sedang beribadat kepada-Nya. Lalu Allah memerintah agar orang itulah yang perlu dimusnahkan terlebih dahulu. Pengajaran daripada kisah ini ialah tidak bekerja untuk terus menegakkan Islam dalam masyarakat adalah satu kesalahan besar tatkala ummah dihimpit dengan kejahilan dan kemaksiatan. Kita tidak boleh hanya duduk diam dan beribadah ritual, tetapi perlu juga turun ke lapangan ummah untuk memberi peringatan Allah dan khabar gembira-Nya.

Moga-moga istisqa’ yang dimakbulkan Allah ini dapat memberi ibrah kepada kita semua sebagai orang Islam yang amat mengimpikan Islam berdaulat semula di muka bumi Allah ini.

 

Bait Sting-Gun – 5 Muharram 1432 – 11.43 a.m

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s