Bergembiralah Wahai Pejuang

Hidup kita ini memang penuh dengan cabaran dan masalah. Setiap hari, masalah silih berganti. Selesai satu masalah, datang masalah yang  lain pula. Kadang-kadang, tak habis lagi satu masalah, kita ditimpa lagi dengan masalah. Begitulah rencam hidup kita.

Ada yang ditimpa dengan ujian kesakitan. Ada yang diuji dengan masalah keluarga. Ada yang dicabar kekuatannya dengan masalah pelajaran. Begitulah rencam kehidupan. Apatah lagi sekiranya kita telah memilih jalan perjuangan nabi Muhammad S.A.W. Jalan yang tidak dijanjikan dengan hamparan permaidani merah, tidak jua dijanjikan dengan kekayaan dunia. Jalan yang penuh onak dan duri. Setiap detik akan diuji dan diuji dan diuji dan seterusnya diuji lagi dan lagi…. Sehinggalah ke akhir hidup kita.

GHAZWATUL FIKR

Cabaran dunia kita sekarang amat menuntut kita untuk menguatkan kaki-kaki kita supaya kekal dalam perjuangan yang suci ini. Jihad yang kita dukungi bukanlah perkara yang suka-suka, kalau kita mahu kita ambil dan tatkala kita tak mahu, kita buangkan. Ghazwatul fikri yang dilancarkan merupakan lembaran baru peperangan musuh Islam terhadap Islam.

Ulama-ulama telah menyatakan dalam banyak kitab fiqh bahawa hukum jihad terbahagi kepada dua iaitu fardhu kifayah dan fardhu ain. Hukum jihad adalah fardhu kifayah sekiranya seruan jihad oleh ketua negara tidak dibuat kepada umum. Manakala ianya menjadi fardhu ain sekiranya seruan jihad dibuat untuk semua. Ia meliputi  keadaan sekiranya musuh Islam menceroboh negara Islam untuk tujuan perang, sekiranya tentera Islam bertembung dengan tentera musuh dan juga sekiranya ketua negara menyeru sesuatu kaum untuk keluar berjihad.

Kita menyedari bahawa kitab-kitab fiqh yang menceritakan mengenai jihad yang berbentuk fizikal adalah kerana mereka menghadapi musuh dari aspek itu sahaja. Dan mereka mengistinbat hukum fardhu ain atau fardhu kifayah berdasarkan keadaan tersebut. Jika umat Islam menghadapi serangan dari musuh yang terang-terang dapat dilihat dengan mata kepala dan hanya berada beberapa saf sahaja daripada bumi Islam, maka semua ulama Islam mengatakan pada ketika itu jihad sudah menjadi fardhu ain.

Kalau begitu rupanya sudah menjadi fardhu ain, maka cubalah kita fikir bagaimanakah hukum jihad itu apabila ideologi-ideologi yang bukan Islam telah masuk ke dalam negeri-negeri Islam, apabila musuh-musuh Islam menukar taktik mereka dengan melancarkan serangan pemikiran yang lebih bahaya daripada serangan senjata yang telah menyesatkan umat Islam dalam aqidah mereka.

Kalau ancaman musuh yang dapat dilihat secara zahir, maka yang akan mati hanyalah tubuh badan sahaja. Tetapi kalau serangan dari segi pemikiran, yang akan mati ialah akidah kita. Maka jihad menjadi lebih fardhu ain lagi daripada apa yang digambarkan dalam kitab-kitab fiqh yang dikarang oleh ulama’-ulama’ Islam di zaman silam.

Ya !!

Jihad itu fardhu ain. Tetapi caranya sekarang adalah berbeza (Tanpa menafikan jihad Qital).

KUANTITI YANG SEDIKIT

Sepanjang sirah perjuangan Rasulullah SAW, umat Islam telah banyak menghadapi siri-siri peperangan. Jika dilihat dari segi bilangan dalam kebanyakan perang, tentera Islam adalah lebih sedikit berbanding bilangan tentera musuh.

Dalam peperangan Badar, tentera musuh 950 orang sedangkan tentera Islam 315 orang.

Dalam peperangan Uhud, tentera musuh 3 000 orang sedangkan tentera Islam hanya 700 orang.

Dalam peperangan Ahzab, tentera musuh 10 000 orang sedangkan tentera Islam hanya 3 000 orang.

Dalam peperangan Mu’tah, tentera musuh 200 000 orang sedangkan tentera Islam hanya 3 000 orang.

Semestinya sejarah ini kembali berulang. Termasuklah kepada diri kita yang mewarisi perjuangan Islam dari Rasulullah SAW. Cabaran bilangan pejuang dan pekerja Islam yang sedikit sememangnya biasa di mana-mana tempat. Kalau penyokong kepada Islam, mungkin ramai. Tetapi kuantiti pendokongnya, itulah yang masalah.

Namun, kuantiti yang sedikit bukanlah alasan untuk kita lemah dan tidak majukan kaki untuk berjuang, kerana kita sudah maklum bahawa kuantiti bukanlah syarat kemenangan Islam. Kisah Tahlut dan Jalut di dalam surah Ali Imran memberi ibrah yang besar kepada kita. Agungnya surah ini sehingga dapat memberi pengajaran bagi setiap saat kehidupan pejuang. Kata tentera Thalut ketika melihat tentera Jalut yang sungguh luar biasa bilangannya :

 

“Sudah berapa banyak pasukan yang kecil (bilangannya) mengalahkan pasukan yang besar (bilangannya) dengan izin Allah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”

Kuncinya adalah sabar. Sabarlah yang mampu menguatkan kita untuk mengahadapi cabaran. Sabarlah jua yang telah menguatkan tentera-tentera Thalut untuk mengalahkan tentera-tentera Jalut. Sabar dalam jihad mempertahankan iman.

ISTIQAMAH

Dalam menghadapi segala cubaan dan dugaan ini, sudah pasti ada pasang surutnya. Adakala kita gagah melawan arus yang deras. Adakala kita tersungkur jatuh. Tatkala kita tersungkur jatuh ketika menghadapi dugaan, ingatlah itu tidak penting. Walau seratus kali kita tersungkur jatuh, apa yang penting ialah kita kembali bangkit. Tiada masalah berapa kali kita jatuh, tetapi yang penting berapa kali kita bangkit semula !! Ingatlah cabaran dan ujian membuatkan kita kuat berTAHAN dan berTUHAN.

Motivasikan diri kita untuk terus berjuang hingga ke akhir hayat. Moga istiqamah. Moga kita berada dalam senarai pejuang yang menegakkan kalimah Allah.

Jangan tiba saat kita mati nanti, kita masih tidak berjuang dan menyumbang kepada perjuangan islam.

Jangan juga kita meminta “rehat” daripada berjuang, bimbang nanti kita mati dalam keadaan tidak berjuang.

Wahai pejuang, sabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu.

Wahai pejuang, ketahuilah bahawa segala ujian adalah untuk memartabatkan dirimu.

Wahai pejuang, yakinlah bahawa akhirat itu pasti dan bahawa janji Allah itu benar-benar berlaku.

Wahai pejuang, yakinlah bahawa janji-Nya adalah Jannah. Perkara indah yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di sanubari.

Dengan janji ini, bergembiralah wahai pejuang.

 

Bait Sting-Gun – Dimasyq,

10.07 am.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s